03
Aug
07

Abdullah Tidak Mahu Jadi PM Yang Sesatkan Rakyat

KOTA BAHARU, 3 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan bukan bertujuan menyesatkan umat Islam di negara ini atau menimbulkan kemarahan rakyat bukan Islam.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata 10 prinsip yang terkandung dalam Islam Hadhari adalah pendekatan paling sesuai untuk membangunkan modal insan termasuk dalam kalangan mereka yang bukan Islam.

Beliau berkata sebagaimana yang ditekankan sebelum ini, Islam Hadhari bukan mazhab baru dalam Islam atau kumpulan (ajaran) “Pak Lah” tetapi ia merupakan konsep yang dilengkapi asas nilai sebenar dalam ajaran Islam.

“Apa yang paling dibimbangi kalau saya sebagai Perdana Menteri menunjukkan dasar dan arah yang salah. Saya tak mahu menjadi Perdana Menteri yang menyesatkan rakyat dan dimarahi Allah,” katanya ketika merasmikan Multaqa Ulama dan Intelektual Islam Kelantan 2007, yang dihadiri kira-kira 5,000 peserta di sini, hari ini.

Abdullah selepas majlis itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 7,000 jemaah di Masjid Muhammadi di sini.

Abdullah berkata konsep Islam Hadhari tidak perlu dicurigai termasuk oleh bukan Islam kerana ia bertujuan melahirkan insan yang berhemah tinggi, berjaya dan maju, sehingga dikagumi di seluruh dunia.

“Walaupun saya pemimpin beragama Islam tetapi pembangunan yang dilaksanakan menerusi konsep Islam Hadhari adalah untuk semua termasuk bukan Islam,” katanya.

Perdana Menteri berkata menerusi konsep Islam Hadhari juga, Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negara paling berjaya dalam mengurangkan kadar kemiskinan.

“(Penurunan kadar kemiskinan) ini bukan laporan daripada kerajaan tetapi daripada PBB. Kita bersyukur tetapi kerja kita belum selesai, kita kena tingkatkan lagi usaha.

“Kita juga akan berusaha untuk memastikan kemiskinan tegar dihapuskan langsung, dan menjelang 2010, tiada lagi masalah itu di Malaysia,” katanya.

Abdullah berkata umat Islam perlu menguasai ilmu pengetahuan bagi menjadikan mereka bangsa dihormati dan setanding dengan bangsa lain.

Perdana Menteri berkata sebenarnya melalui ilmu pengetahuan, umat Islam mampu membuktikan bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik.

“Menuntut ilmu itu wajib bagi orang Islam tetapi kenapa dalam negara Islam ada kadar buta huruf yang tinggi. Mengapa ramai masyarakat Islam yang kurang maju,” katanya.

Abdullah, yang juga pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berkata beliau hairan kerana banyak negara Islam masih mundur dan rakyatnya hidup dalam serba kekurangan walaupun negara mereka dikurniakan pelbagai sumber kekayaan.

“Tiada ilmu, negara dan bangsa tidak dapat dimajukan,” katanya.

“Sebagai Pengerusi OIC, pendirian kita ialah untuk memperkasakan ekonomi negara Islam kerana bila umat Islam lemah, orang akan persoalkan apakah Islam agama yang terbaik,” katanya.

Abdullah juga berkata bahawa selepas 50 tahun negara Merdeka, banyak pembangunan dilakukan oleh kerajaan sehingga menjadikan rakyat negara ini dihormati masyarakat luar.

“Besar maknanya menjadi bangsa yang Merdeka kerana masih ada negara yang Merdeka tetapi rakyat mereka masih lagi hidup dalam keadaan menderita dan tidak bermartabat,” katanya.

Pada majlis itu, Mufti Kelantan Datuk Hasbullah Mohd Hassan dinamakan sebagai Tokoh Ulama Kelantan dan pendakwah bebas, Prof Dr Muhammad Uthman el-Muhammady, sebagai Tokoh Intelektual Islam Kelantan.

— BERNAMA


0 Responses to “Abdullah Tidak Mahu Jadi PM Yang Sesatkan Rakyat”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: