03
Aug
07

Betulkah kerajaan takut sangat dengan web, bloggers?

Pendapat Oleh Amin Iskandar

SERANGAN  terhadap penulis-penulis blog dan lamanweb masih lagi belum berhenti. Lepas satu-satu dipanggil oleh pihak polis. Baru-baru ini giliran Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan Malaysia Today dipanggil memberikan keterangan di IPD Dang Wangi selepas Ketua Penerangan Umno, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib membuat laporan polis.

Muhd Taib mendakwa Raja Petra telah menghina Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam. Raja Petra adalah penulis blog kedua yang telah dipanggil oleh polis selepas Nathaniel Tan. Apa yang ditakutkan sangat oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) terhadap penulis blog dan lamanweb?

Jawapannya mudah sahaja. Ini adalah kerana penulis blog dan lamanweb telah memecahkan monopoli maklumat dan berita yang selama ini dipegang oleh media cetak dan elektronik arus perdana.

Umum telah mengetahui bahawa media cetak dan elektronik memihak kepada Umno dan BN. Segala berita dan maklumat yang mencabar kekuasaan Umno dan BN, sudah tentu tidak akan mendapat tempat dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, The Star, TV3 dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tidak salah jika Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, The Star dan TV3 memihak kepada Umno dan BN. Ini adalah kerana mereka dimiliki oleh syarikat-syarikat yang rapat dengan Umno dan BN.

Tetapi salah bagi RTM untuk berat sebelah kerana ia adalah milik negara. Sesuatu yang dimiliki oleh negara seharusnya bebas dan adil. Tetapi lain yang berlaku di Malaysia. RTM telah menjadi mesin propaganda Umno dan BN.

Parti pembangkang dan aktivis media alternatif berhadapan dengan undang-undang dan kawalan ketat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri.

Tarik balik permit

Bila-bila masa permit boleh ditarik atau dihentikan oleh KDN. Sebagai contoh, kita boleh lihat terhadap apa yang berlaku kepada Harakah yang juga merupakan lidah rasmi bagi Parti PAS. Pada tahun 2000, KDN telah meminda permit yang diberi kepada Harakah.

Kalau sebelum itu Harakah boleh dikeluarkan secara mingguan, permitnya telah ditukar dan Harakah dibenar diterbit dua kali sebulan. Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima nasib yang lebih malang lagi. Sehingga hari ini, mereka masih lagi belum mendapat permit bagi Suara Keadilan.

Jangan mimpilah untuk melihat parti pembangkang atau aktivis media alternatif untuk mempunyai televisyen mereka sendiri. Itu tidak akan berlaku. Maka sebab itulah internet menjadi popular di kalangan parti politik pembangkang dan aktivis media alternatif.

Di alam siber, segala maklumat dan berita bebas bergerak tanpa sekatan dari KDN. Belum sempat media arus perdana melaporkan sesuatu berita, lamanweb dan blog telah mendedahkan berita itu terlebih dahulu. Kalau dulu ada sesetangah berita dan maklumat dapat ditutup atau disembunyikan oleh media arus perdana, sekarang ini tidak lagi. Lamanweb dan blog akan mendedahkan maklumat dan berita yang cuba disembunyikan oleh media arus perdana.

Contohnya seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat baru-baru ini. Pada 19 Julai 2007, Washington Post melaporkan bahawa Jilani Humayun, 59, warganegara Pakistan telah ditahan di New York kerana menyeludup senjata. Senjata yang diseludup oleh Jilani termasuklah alat ganti kepada pesawat perang. Jilani dikatakan telah menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menghantar senjata-senjata yang diselupnya ke Iran.

Media-media arus perdana telah menyembunyikan berita ini walaupun berita ini adalah satu berita yang besar. Laman web alternatif dan blog telah mendedahkan berita ini. Jika tidak rakyat Malaysia sudah tentu tidak tahu tentang berita ini. Inilah yang telah menjadikan lamanweb alternatif dan blog begitu popular di kalangan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia yang selama ini hanya mendapat maklumat dan berita daripada sebelah pihak sahaja sekarang ini sudah berpeluang untuk mendapatkan berita dan maklumat daripada pihak yang satu lagi — lamanweb, blog dan webTV yang semakin hari semakin banyak di internet.

Siaran langsung

Malahan, sekarang ini, perhimpunan agung parti pembangkang boleh ditonton secara langsung di internet, seperti Muktamar PAS dan Kongres PKR baru-baru ini.

Menurut http://www.internetworldstats.com, pengguna internet di Malaysia telah meningkat daripada 3.7 juta pada tahun 2000 kepada 11 juta pada tahun 2006. Hampir separuh daripada rakyat Malaysia mengakses internet. Malahan, pengguna internet di Malaysia dijangka menjangkau separuh daripada populasi negara dalam beberapa tahun lagi.

Ini sebenarnya yang ditakuti oleh pemimpin Umno dan BN. Mereka boleh menggunakan KDN untuk menutup suratkhabar. Tetapi mereka tidak boleh menutup lamanweb. Tambahan lagi ‘server’ kebanyakan lamanweb dan blog terletak di luar negara.

Secara sedar atau tidak, sebenarnya pemimpin Umno dan BN yang membantu mempopularkan lamanweb dan blog. Lihatlah apa yang berlaku kepada malaysiakini. Dulu sewaktu zaman Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, malaysiakini seringkali diserang oleh media arus perdana. Promosi percuma telah diberi kepada malaysiakini.

Begitu juga kepada Malaysia Today. Raja Petra mendakwa bahawa pembaca blognya telah meningkat kepada lima juta sehari selepas Muhd Taib membuat laporan polis terhadapnya dan Malaysia Today. Ini semua gara-gara promosi percuma yang diberikan oleh pemimpin Umno dan BN.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Norza Zakaria telah mencadangkan supaya kerajaan menggunakan ISA terhadap penulis blog. Saya rasa cadangan Norza tidak begitu bijak.

Ini adalah kerana wang kerajaan akan dibazirkan dengan begitu banyak. Tambahan lagi, Kem Kamunting sudah pasti tidak akan menampung penulis-penulis blog yang begitu banyak seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan.


0 Responses to “Betulkah kerajaan takut sangat dengan web, bloggers?”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: