03
Aug
07

BOLA: Dua dekad penuh hampa


Liga semi-pro dan profesional gagal tingkatkan pasukan bola sepak kebangsaan

GEMILANG pencapaian dinikmati pada majoriti dekad 1960an yang mencecah kemuncak sepanjang era 1970an, sebelumnya menjelmakan keyakinan betapa bola sepak negara bakal bakal mendominasi rentetan gemilang sebaik tempoh 1980an menjelmakan diri.

Sepanjang dekad itu, bertitik tolak daripada perubahan teraju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Sultan Ahmad Shah mengambil alih kepimpinan daripada Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1984, menyaksikan bola sepak negara dipacu ke arah lebih sistematik dan profesional.

Hasil usaha itu, lembaran baru dibuka dengan pengenalan Liga Separuh Profesional pada 1989, selepas penelitian rapi yang turut menyaksikan golongan bijak pandai bola sepak negara menjelajah benua Eropah untuk mencari formula terbaik buat memastikan langkah bakal diatur, bakal membuahkan hasil.

Seketika, ianya jelas menampakkan kesan positif. Jumlah penyokong meningkat mendadak, keghairahan dan semangat pemain begitu membuak-buak ketika pemain juga menjelmakan prestasi hebat ekoran daripada gembira menikmati imbuhan kewangan lebih menggalakkan.

Namun ianya tidak kekal lama. Gejala negatif mula mengambil alih ketika kesungguhan di tengah padang digantikan ketaksuban mencari untung di luarnya. Akibat daripada itu, layak ditakrifkan betapa satu generasi pemain negara terhapus angkara pembabitan dengan gejala rasuah bola sepak yang terdedah apabila lebih 120 pemain dan pegawai disisihkan kerana pembabitan mereka.

Kebetulan, ianya berlaku pada 1994 – tahun sama FAM memutuskan untuk menaikkan taraf saingan domestik kepada status profesional sepenuhnya.

Jelaslah, benih pincang yang sudah tersemai, tidak cuba dihapuskan sepenuhnya. Kerana bermula daripada tempoh itu, kejatuhan dan kemerosotan ibarat menjelma sedikit demi sedikit.

Malaysia tidak lagi digeruni. Pentas Sukan Sea tidak lagi mampu ditakluki ketika saingan peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia sekadar menyaksikan pasukan negara hadir buat mencukupkan bilangan negara peserta ketika garang aksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik, Piala Asia mahupun Piala Dunia, jauh sekali.

Tempoh beberapa tahun berikutnya pula tambah ‘terganggu’ dengan kehadiran kelompok pegawai yang lebih mahu menumpukan perhatian kepada usaha menjaga kedudukan, memikat sokongan ahli gabungan dan tidak begitu memperdulikan ketelusan usaha untuk menaikkan martabat bola sepak negara.

Kerana itu jugalah, Liga Malaysia mula jadi bahan lawak jenaka. Apa tidaknya, setiap tahun, ada sahaja perubahan kepada format pertandingan dilakukan – baik jumlah pemain import yang sentiasa berubah-ubah ataupun jumlah pasukan dalam liga utama yang turun naik, bergantung kepada sekuat mana pengaruh pasukan yang disingkirkan.

Kemuncak derita itu terserlah apabila barisan pemain negara dipaksa mengakui betapa mereka kian jauh ketinggalan angkara kekalahan teruk ketika Kejohanan Piala Asia baru lalu. LEbih malang, wibawa FAM selaku penganjur terbilang juga kian terhakis akibat kedangkalan pengetahuan pegawai yang memikul tanggungjawab.

Apa kesan terpaksa ditanggung? Paling ketara, tiada siapa lagi mahu percayakan bola sepak negara, baik pemainnya yang dianggap tidak punya kesungguhan, ataupun kelompok pegawai yang dilabel syok sendiri dan hanya pentingkan agenda peribadi.

Mereka mungkin tidak menyedarinya, ataupun buat-buat tidak peduli. Tetapi bola sepak negara yang sebelumnya sudah mahu bersinar, terpadam langsung angkara himpunan kombinasi segala faktor negatif ini.


FAKTA
Rekod Bola Sepak Malaysia 1985-2007

Pestabola Merdeka
1985 – Korea Selatan
1986 – Malaysia
1987 – Olimpik Czechoslovakia
1988 – Hamburger SV
1991 – Admira Wacker (Austria)
1993 – Malaysia
1995 – Iraq
2000 – New Zealand
2001 – Uzbekistan
2006 – Myanmar

Rekod Bola Sepak Malaysia

Piala Dunia
1984-2006: Tidak layak

Sukan Olimpik
1984-2008: Tidak Layak

Piala Asia
1984-2004: Tidak layak
2007 – Layak selaku tuan rumah

Piala Tiger/AFF
1966: Naib juara
1998: Peringkat kumpulan
2000: Tempat ketiga
2002: Tempat keempat
2004: Tempat ketiga
2007: Separuh akhir

Sukan Sea
1985: Gangsa
1987: Perak
1989: Emas
1991: Peringkat kumpulan
1993: Peringkat kumpulan
1995: Peringkat Kumpulan
1997: Peringkat Kumpulan
1999: Peringkat Kumpulan
2001: Perak
2003: Gangsa
2005: Gangsa


0 Responses to “BOLA: Dua dekad penuh hampa”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: