03
Aug
07

DR HARON DIN: ‘Dunia tak dapat, akhirat pun terlepas’

Wawancara Khususnya kepada Menteri Sukan, janganlah  membuat komen (tentang pakaian altet wantita) yang mengajak orang ramai supaya melanggar hukum Allah, ‘tidak pulang modal’ nanti. Jangan  yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.
Oleh Intan Abdullah

BANYAK  isu yang disinggungnya, bermula peranan ulama memperjuangkan kemerdekaan negara dan membebaskan ummah. Juga menyentuh perhimpunan para imam seluruh negara, isu murtad yang tidak pernah diselesai, di samping mengkritik tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau turut mengulas pandangan mufti yang mengharamkan umat Islam bekerja di bar, selain memberi komentar tegas terhadap kenyataan Menteri Belia dan Sukan mengenai isu pakaian wanita dalam aktiviti sukan. INTAN ABDULLAH mewawancara Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din berhubung isu semasa membabitkan umat Islam.


HARAKAH: Komen Dato’ terhadap kenyataan Raja Nazrin Sahah  atas penghargaan baginda kepada ulama sebagai teras kebangkitan negara.

DR HARON DIN: Malaysia seperti dikejutkan kenyataan amat bermakna Raja Nazrin yang menyentuh sumbangan ulama kepada kemerdekaan negara  dan gerakan membangunkan ummah, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Dr Zulkifli Mohamed, Ustaz Baharudin Abdul Latif dan Dr Burhanudin Al-Helmy. Ia satu pengiktirafan rasmi daripada seorang Raja Muda.

Sayang titah seumpama itu diperkecilkan media dan rakyat tidak mengetahuinya. Kenyataan Raja Nazrin itu mesti dipandang serius semua pihak khususnya pemerintah.

Peranan ulama membebaskan umat juga jelas di selatan Thailand. Misalnya, Syeikh Abdul Samad Al-Palembangi walaupun orang Palembang tetapi berjuang di Thailand dan mengakhiri hayatnya di sana.

Ulama memberi rangsangan agar umat bangun menentang segala macam kezaliman khasnya kezaliman pemerintah. Selepas tamat penjajahan, ulama terus menggerakkan ummah mengisi kemerdekaan selaras peranan insan sebagai khalifah Allah untuk mengimarahkan bumi  dengan hukum-hukum Allah.

Bukan sahaja ulama zaman dahulu yang menyumbang ke arah kemerdekaan malah ulama  terkemudian  terus menerus menyambung tugas besar ini untuk memperbetulkan apa  yang tempang dalam masyarakat khususnya apabila pemerintah  tidak menggunakan kuasa itu dengan sebaik-baiknya untuk memartabatkan  agama.

Baru-baru ini dianjurkan muzakarah imam-imam dari seluruh negara membabitkan  4,000 imam, tetapi yang banyak dibincangkan hanya Islam Hadhari.

Program seumpama itu sudahpun dibuat beberapa kali. Yang terbaru adalah  yang terbesar sehingga menggunakan  ‘outrider’ untuk mengiringi imam-imam ini dalam semua program mereka walaupun berlaku juga kemalangan.

Mungkin kerajaan mahu menunjukkan mereka memberi layanan begitu istimewa kepada imam-imam, termasuk menaiki  bas mewah dan ‘outrider’ yang begitu ramai.

Soalnya, apakah imam-imam di seluruh Malaysia sudah mencapai suatu tahap layanan pemerintah yang sesuai dengan kedudukan mereka, misalnya dari segi elaun? Akah mereka selama ini mendapat tempat di hati pemerintah dengan tidak pernah membelakangkan mereka dalam semua kegiatan pembangunan ummah? Ataupun itulah seumur hidup mereka mendapat layanan istimewa, seperti di Bangi dan Putrajaya baru-baru ini.

Layanan  bukan dengan mengarak mereka sahaja. Apakah pandangan imam-imam  sentiasa diambil kira ataupun ataupun sekadar membaca khutbah yang sedia dikarang. Hatta khutbah nikah dibaca daripada teks. Jika ada imam bagi sesetengah negeri membaca khutbahnya sendiri atau terus berkhutbah  tanpa merujuk teks, atau membaca khutbah tetapi menambah beberapa ayat, itu sudah dianggap menyalahi arahan dan boleh diambil tindakan.

Saya ada pengalaman sendiri, apabila saya diminta sebuah masjid menyampaikan khutbah tanpa teks. Selepas selesai solat Jumaat beberapa hari kemudian, imam masjid itu dipanggil, malah sampai ke peringkat mereka hampir dipecat.

Semuanya  menggambarkan selama ini imam-imam ini tidak diberi penghargaan sesuai tahap mereka sebagai imam. Sudahlah begitu lama elaun mereka tidak boleh menampung kehidupan dan tidak boleh hidup sepenuh masa sebagai imam tanpa ada pekerjaan lain.

Tiba-tiba hari itu mereka mendapat  layanan yang begitu istimewa. Sama dengan masyarakat Melayu, apabila berkahwin dipanggil raja sehari, dipakai bajunya disarung  kasutnya, dikipas tetapi esoknya dia balik sebagai orang biasa. Jadi, saya bimbang kalau-kalau yang dikatakan dalam muzakarah itu, sehari sahaja dilayan sedemikian baik dan kemudiannya ditinggalkan seperti keadaan sebelumnya.

Sudah sewajarnya  imam  menjadi ketua agama di tempatnya, daerah, mukim atau kampungnya. Dia disanjung dan dihormati oleh masyarakat. Sewajarnya pemerintah memberi mereka yang sepatutnya, dan pandangan mereka dihargai, diberi kebebasan meluahkan teguran.  Jangan dipaksa imam  mengikut telunjuk pemerintah.
Ini bermakna tahap imam adalah seperti orang suruhan sedangkan tidak sepatutnya mereka menjadi orang suruhan. Kerana mereka ini punyai ‘capability’, ‘personality’ dan ‘ability’ yang tersendiri yang mereka boleh menunjuk ajar pemerintah dan masyarakat.
Komen Dato’ tentang kenyataan Perdana Menteri berhubung isu murtad dalam ‘International Islamic Forum’ baru-baru ini?

Isu murtad di Malaysia bukanh isu baru. Seawal 1963 ketika seorang koperal di Perak keluar Islam dan menjadi pengikut Buddha, heboh ketika itu tetapi tidak ada sebarang tindakan. Hinggalah hari ini masih begitu juga.
Murtad sememangnya sebahagian daripada kesalahan jenayah dalam Islam yang dimasukkan dalam kategori hudud. Agama meletakkan ia satu  kesalahan serius. Tetapi hal murtad ini sentiasa mendapat  ‘cover up’ daripada pemerintah dengan menyatakan bahawa ia  perkara  sensitif.

Tidak boleh dibuat komen atau diambil tindakan  walaupun kita telah 50 tahun merdeka. Kesalahan ini belum nampak ruang akan dijadikan  kesalahan hudud. PM hanya meminta jabatan agama menyiasat dengan teliti apa sebab mereka tinggalkan agama.

Di mana silapnya agama yang mereka pegang selama ini sampai mereka nak meninggalkannya? Di mana baiknya agama yang mereka nak peluk berbanding Islam?
Permintaan PM  itu walaupun dilihat ada gunanya  tetapi masakan selepas  50 tahun merdeka,  dengan adanya pegawai-pegawai agama di setiap negeri dan ada pula bahagian khusus untuk menangani ajaran  salah dan sesat, kita tak dapat mengenal pasti kelemahan orang-orang yang sanggup menukarkan agama ini?
Kalaulah 50 tahun baru nak kaji, baru nak lihat semula, nampaklah kita memandang begitu ringan kepada masalah murtad yang begitu besar.

Rata-rata orang mengetahui, hatta tidak payah kita buat satu kajian terperinci pun, bahawa ada beberapa faktor yang menjadi punca murtad.
1. Ilmu agama sebahagian besar masyarakat di Malaysia agak mendatar.
2. Pengetahuan tentang akidah Islam tidak cukup untuk menghadapi cabaran.
3. Akhlak umat Islam tidak berteraskan  akhlak Islam sebenar, malah lebih terpengaruh dengan Barat.
4. Gerakan dakwah tidak sampai ke sasaran.
5. Gejala sosial yang kian mengancam akidah Islam berleluasa.
5. Program yang menyimpang umat Islam daripada Islam begitu subur dan berkembang.
6. Komitmen pemerintah menjaga umat Islam khasnya akidah tidak serius. Aktiviti golongan yang menentang Islam hebat dan mencapai matlamat.

Semua sebab-sebab ini diketahui umum tetapi PM  masih juga mahu ia disiasat dahulu.

Ada pihak yang menyalahkan ulama dan jabatan agama Islam sedangkan kita sendiri tidak berperanan. Ada hadis bermaksud bahawa manusia itu akan mengikut agama raja mereka,  yakni bukan tertakluk kepada individu raja  tetapi pemerintah secara umum. Kalau pemerintah itu komunis atau kapitalis, maka masyarakat yang terbentuk akan menjadi sebagaimana ideologi pemerintah.

Kalau pemerintah tidak sangat hendak meletakkan pencegahan bagi menjaga akidah umat Islam untuk mengelak murtad, maka mereka boleh mengadakan undang-undang Islam yang sesuai dengan perubahan zaman sebagai satu cara untuk menanganinya. Selagi tidak ada satu usaha seperti ini, murtad  akan terus menjadi isu sampai bila-bila.

Manusia zaman ini banyak mencanangkan hak kebebasan manusia tanpa mengingati bahawa di sana juga ada  hak Allah. Sengaja kita melupakan  kita ini makhluk yang dijadikan Allah dan dianugerahkan banyak kelebihan. Lazimnya, jika orang berbudi kita berbahasa, orang berbuat kebaikan kepada kita, kita membalas kebaikan kepadanya. Akan tetapi apabila Allah melakukan kebaikan kepada manusia, kita lupa hak Allah kepada kita.

Satu hadis menceritakan Muadz bin Jabal menjadi pembonceng kepada himar yang dinaiki  Nabi s.a.w.  Dalam perjalanan itu, Nabi bertanya kepada, “Muadz, kamu tahukah apakah hak Allah ke atas manusia?”

Nabi sendiri menjawab: “Hak Allah ke atas manusia hendaklah mereka menyembah Allah dan tidak menyengutui-Nya walau sedikitpun.” Hadis ini menjelaskan ada hak asasi Allah kepada manusia. Sedangkan manusia asyik membincangkan hak asasi mereka tetapi tidak pernah bincangkan hak asasi Allah.

Hak asasi ini saya terjemahkan bahawa manusia hendaklah sembah Allah Taala dan tidak menyengutui-Nya. Apabila insan melanggar hak tersebut, maknanya kita mencabul ‘hak asasi Allah’. Kes murtad ini memang relevan sangat dan jangan semata-mata kita perjuangkan hak asasi manusia tetapi kita tidak pernah melihat hak asasi Allah, sedangkan Dia lebih mustahak untuk kita lihat berbanding hak manusia.
Bagaimana dengan isu hukum bekerja di premis yang menjual arak seperti ditegaskan oleh dua orang mufti dan isu penyanyi kelab malam yang ditangkap di Perak baru-baru ini?

Merujuk  kenyataan beberapa mufti  tentang pekerja Islam yang terlibat dengan sektor yang jelas haramnya seperti di kilang membuat arak, bar-bar untuk menghidangkan arak dan sebagainya, yang dikatakan perlu ada penguatkuasaan yang serius bagi memastikan umat  tidak terlibat.

Ada saranan supaya mengadakan satu undang-undang yang menghalang umat Islam supaya tidak bekerja di tempat-tempat sebegini. Ini satu lagi perkara  seolah-olah ulama dahulu tidak pernah memberi penekanan  hal-hal sebegini  sehingga baru hendak ditimbulkan.

Saya menyanjung tinggi pandangan yang seperti ini dengan harapan dia membawa satu pemberat untuk didengar oleh pemerintah.
Ketika program Sure Heboh diperkatakan sudah ada komen mufti ketika itu. Mufti Perak membuat kenyataan bagi pihak mufti-mufti lain hasil muzakarah mereka. Konsert Sure Heboh adalah haram.

Malang sekali pandangan yang begitu baik telah ditentang oleh PM sendiri, apatah lagi menteri-menteri lain termasuk juak-juak yang semuanya melawan dan memperkecilkan fatwa tersebut. PM ketika itu berkata mereka sepatutnya buat kertas kerja terlebih dahulu untuk dibentang dan dibincang. PM berkata, apakah mereka (mufti-mufti) telah berfikir untuk membuat suatu hukum?

Timbul persoalan, adakah wajar seorang yang bukan bidangnya memberi komen untuk tidak mahu menerima suatu hukum yang dibuat oleh orang yang menguasai bidangnya, iaitu mufti. Kalau itu berlaku, maka dengan sendirinya kita mengetahui pandangan yang disebut akhir-akhir ini pun tidak akan mendapat layanan pihak pemerintah

Bukan sahaja ada orang Islam  bekerja di kilang arak atau menghidang arak di bar-bar tetapi ramai juga terlibat dalam kasino, karaoke, hiburan yang bercanggah dengan Islam dan beberapa sektor yang memang ketara berlawanan dengan Islam.

Elok sangat difikirkan tindakan berkesan untuk memperbaiki keadaan daripada pihak berwajib dengan penguatkuasaan yang benar-benar berkesan. Jangan jadi seperti penguat kuasa sebelum ini di Wilayah Persekutuan yang pernah menyerbu di kelab malam ‘Zouq’ dan menangkap beberapa orang yang terlibat tetapi esoknya diarahkan bebas. Insiden sama juga berlaku di Selangor.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said dalam kenyataannya kepada media antarabangsa mendakwa di Malaysia isu pakaian ahli sukan wanita dalam acara renang dan gimnastiik yang begitu menjolok mata misalnya tidak pernah menimbulkan masalah.
Beberapa tahun lalu apabila timbul isu pakaian wanita dalam sukan, ada seorang menteri yang faham agama berkata, “tidak mengapa dalam sukan untuk memakai pakaian sedia ada kerana semasa penonton melihat mereka bersukan, orang tidak melihat badan mereka tetapi melihat permainan mereka”.

Seolah-olah hendak mengatakan, dalam sukan  tidak mengapalah kalau wanita mendedahkan aurat kerana ia tidak menjadi masalah. Kita kadang-kadang lupa kerana kita hendak menjadi apologetik, kepada satu tindakan yang kita buat salah, tetapi hendak membolehkan yang salah itu tidak salah, atau yang dilarang itu tidak dilarang, kita menggunakan kononnya logik akal.

Hukum tetap hukum, akal dalam Islam bukanlah sumber hukum walaupun kita boleh  berijtihad. Akan tetapi, ijtihad wujud dalam keadaan memerlukan hukum baru, dan di sinilah akal berperanan dalam berijtihad seperti yang telah digariskan oleh syarak. Bgaimanapun, dalam hal yang jelas hukumnya seperti menutup aurat, ia hendaklah dipatuhi tanpa sebarang pertikaian.

Jika bermain di tengah penonton lelaki bukan mahram, maka hukum berpakaian hendaklah dipatuhi. Bukanlah bermaksud apabila wanita bermain sukan bola keranjang, nak kena pakai telekung. Kenakan pakaian yang sesuai tetapi masih tetap menjaga batas.

Contohnya atlet wanita dari Bahrain yang berpakaian menutup aurat, Ruqayya al-Ghasara. Beliau menang acara 200 meter olahraga di Sukan Asia, Doha. Menutup aurat tidak menghalang Ruqayya untuk mencapai kejayaan sehingga kemuncaknya. Kalau dia boleh buat demikian (tutup aurat) sampai ke peringkat antarabangsa, apa alasan kita untuk mengatakan tidak boleh (bersukan dengan menutup aurat)?

Jangan kerana terlalu ingin berjaya  dalam sukan, sewenang-wenangnya mereka menganjurkan masyarakat melanggar hukum agama. Khususnya kepada Menteri Sukan, janganlah  membuat komen yang mengajak orang ramai supaya melanggar hukum Allah, ‘tidak pulang modal’ nanti. Jangan  ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.’ Dunia tak dapat, akhirat pun tak capai.

Hati-hatilah dalam memberi komen terutama tentang pakaian. Jangan sampai merendah-rendahkan hukum Allah.


0 Responses to “DR HARON DIN: ‘Dunia tak dapat, akhirat pun terlepas’”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: