03
Aug
07

Pertembungan tiga penjuru di Pulau Pinang?

Oleh Zulkifli Mohamed (Malaysia Today)

PULAU PINANG: Tidak mustahil, pertandingan tiga penjuru seperti mana berlaku pada pilihan raya umum 2004 berulang, sekiranya rundingan pembahagian kerusi antara Keadilan dan DAP negeri ini tidak diselesaikan secara memuaskan.

Difahamkan beberapa pemimpin Cina dalam Keadilan negeri ini, bersedia menjadi calon bebas, sekiranya DAP berkeras meletakkan calon di kawasan ‘milik’ Keadilan.

Seorang pemimpin terbabit yang menghubungi Malaysia Today berkata, perkara itu telah dibincangkan secara serius oleh ‘kumpulan’ mereka.

Malah, katanya ada yang telah menyatakan hasrat akan keluar parti, sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Negeri tersebut mempunyai 13 kawasan Parlimen dan 40 DUN dengan pengundi Cina menguasai majoriti di lapan Parlimen dan 25 DUN.

Pada pilihan raya lepas, berlaku pertembungan tiga penjuru antara calon pembangkang Keadilan dan DAP menentang Barisan Nasional (BN), membabitkan satu kawasan Parlimen dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kawasan parlimen berkenaan ialah Batu Kawan dan DUN membabitkan Bagan Dalam, Sungai Pinang dan Bukit Tambun.

Berdasarkan keputusan, Keadilan dan DAP masing-masing ‘memenangi’ dua kawasan yang ditandingi.

Keadilan memperolehi undi melebihi DAP di Parlimen Batu Kawan dan DUN Bukit Tambun, sementara Bagan Dalam dan Sungai Pinang menjadi ‘milik’ DAP.

Parlimen Batu Kawan, Keadilan mendapat 8099 undi, sementara DAP 6552 undi.

Di DUN Bukit Tambun, calon Keadilan Goh Kheng Huat memperolehi 4992 undi, sepatutnya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 59 undi sekiranya undi pembangkang tidak berpecah.

Calon DAP Ng Yeow Chong memperolehi 1092, dan calon Lai Chew Hock dari BN mendapat 6030.

Bagi kerusi Bagan Dalam, DAP mendapat 4720 dan KeADILan 758 undi.

Sementara itu, DAP mendapat 4127 dan PKR 847 undi bagi DUN Sungai Pinang.

Semua kawasan yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru itu dimenangi BN.

“Berdasarkan keputusan pilihan raya 2004, DAP sepatutnya bertolak ansur dengan menyerahkan kerusi Parlimen Batu Kawan dan DUN Bukit Tambun kepada Keadilan, dan bukannya menyatakan hasrat mendapatkan kerusi berkenaan,” jelas jurucakap kumpulan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Keadilan Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohd Hashim ketika mengulas perkara itu berkata pihaknya akan tetap memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

“Kita akan pastikan tidak akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara DAP dan Keadilan, atau PAS dengan Keadilan” jelasnya kepada Malaysia Today.

Menurut Zahrain, perbincangan pembahagian kerusi antara parti itu dengan DAP dan PAS yang memasuki pusingan kedua berjalan lancar.

Jelasnya dalam menentukan pembahagian kerusi, beberapa kriteria telah diambilkira, termasuk sokongan pengundi dan persediaan jentera pilihan raya di kawasan berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan calon bebas, perkara itu di luar kawalan pihaknya.


0 Responses to “Pertembungan tiga penjuru di Pulau Pinang?”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: