05
Aug
07

Road Show Artis Simbol Seks Amerika

Road Show Artis Simbol Seks Amerika

Gwen Stefani ke Kuala Lumpur:

Najib dan Khairy berpura – pura mengisytiharkan
Malaysia Negara Islam.

Malaysia terus membenarkan “pencerobohan” akhlak dan moral oleh pihak asing apabila membenarkan seorang artis simbol seks Amerika Syarikat Gwen Stefani yang akan mengadakan konsertnya di Stadium Bukit Jalil pada 21 August 07 kelak .

Promosi yang sedang giat dikaca tv dan akhbar jelas menggambarkan kerajaan Malaysia tidak pernah rasa bersalah membenarkan konsert seumpama itu berlangsung dalam negara kita .

Sebelum ini konsert Scorpion , Michael Jackson , Inul Daratista dan ramai lagi pernah melangsungkan konsert mereka di negara Islam Hadhari ini . Kini akan tiba giliran Gwen Stefani pula menghiburkan pengasas dan para pendokong Islam Hadhari dengan tarian lucah dan tentunya pula pakaian yang menjolok mata dan mengghairahkan .

Saya lihat , mutaakhir ini kian pesat dan bercambah penganjuran konsert yang bertaraf nasional mahupun internasional berlatar belakangkan peningkatan indeks jenayah yang meningkat tinggi dan krisis akhlak yang parah .

Beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan berita 9 pelajar perempuan di salah sebuah sekolah dalam wilayah Pahang Tenggara telah bertindak ala mafia dengan membuli dan mendera pelajar perempuan yang lain sekaligus merakamkan gambar bogel mangsa untuk disebar melalui handphone kepada orang ramai.

Sebelumnya , kita hanya mampu menekup mulut tanpa apa lagi yang boleh diucapkan apabila melihat laporan akhbar bagaimana klip video perlakuan jijik pelajar sekolah yang lengkap beruniform sedang “melapah” rakan perempuan mereka , dirakamkan dengan menggunakan handphone lalu disebarkan kepada umum .

Peristiwa di atas adalah satu dua contoh peristiwa dari ribuan peristiwa perlecehan akhlak dan moral yang berlaku dalam negara kita . Tahapnya semakin kritikal dan keadaannya semakin tenat.

Lebih tenat apabila kerajaan seperti tidak menyedari bahaya ini. Mereka masih membenarkan penganjuran konsert hiburan melampau , program realiti tv yang melekakan dan iklim sosial yang tidak bermaruah dan tidak harmonis.

Islam Hadhari Menghampakan

Saya pernah menaruh harapan kepada Islam Hadhari setelah dipujuk oleh pelbagai pihak yang menegaskan bahawa Pak Lah serius ingin melaksanakan Islam . Walaupun saya sedar bahawa saya pernah tertipu selama 22 tahun kerana memberi pengharapan serupa kepada Dr. Mahathir ( Tun ) dengan program Islamisasinya .

Memandangkan Pak Lah memiliki karektor dan latar belakang yang jauh beza dengan Mahathir , saya menjadi lunak lalu turut menaruh harapan buat Pak Lah agar Islam dapat dilaksana dalam negara kita .

Hanya 4 tahun setelah Islam Hadhari dilancarkan sebagai “turning point” UMNO dan BN menghadapi pilihanraya ke 11 /2004 , harapan yang saya bina kini runtuh berkecai dengan pelbagai tindakan dan kenyataan pengasas Islam Hadhari yang bercanggah dengan syariat , dilaku dan diucap penuh rela.


Insiden “sentuhan” mesra Pak Lah di bahu Datuk Micheel Yeoh dalam satu majlis makan malam sempena Monsuun Cup , pembelian Jet eksekutif bernilai RM 200 juta , mengalung tugu pahlawan negara yang nyata bercanggah dengan Fatwa Kebangsaan dan banyak lagi insiden yang membunuh harapan saya selama ini.

Beberapa hari lalu , Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak selaku Timbalan perdana Menteri pula tampil mengulangi pengisytiharan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam .

Apakah mereka cuba sekali lagi ingin memberi harapan kepada rakyat khasnya yang beragama Islam untuk terus menyokong mereka ?

Belum pun sebulan pengisytiharan yang diulang kembali , kini mereka terus mem”buli” minda rakyat dan memperbodoh masyarakat dengan pengisytiharan Islam terhadap itu dan ini tetapi dalam masa yang sama mereka terus mencemarkan nama mulia Islam ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang dianjurkan atau yang dibenarkan ianya dianjur.


Nampaknya , kalau pilihanraya 2004 UMNO hadapi dengan perisai Islam Hadhari maka untuk pilihanraya 2007/08 , mereka menggunakan senjata Malaysia Negara Islam .

Saya sungguh jengkel dengan Negara Islam UMNO ini . Sebelum ini mereka menangkap al Fadhil ustaz Yusainee Yahya sejurus selesai menyampaikan kuliah maghrib di sebuah surau di Seksyen 18 Shah Alam , Al Fadhil Ustaz Aqil Hayy di Surau al Ikhwan Serdang Selangor . Keduanya ditangkap kerana kesalahan menyampaikan kuliah maghrib tanpa tauliah .

Seorang Imam tua ditangkap selepas 2 hari beliau dipecat berlaku di Pulau Pinang . Penguasaan masjid kembali dirampas penuh zalim semata – mata kerana aduan dari ahli UMNO , yang tidak pun berminat untuk berjamaah di masjid atau surau . Namun ianya berlaku dalam negara ini sebaik sahaja Dato’ Seri Najib mengisytiharkan Malaysia Negara Islam .

Memalukan ! sungguh memalukan apabila kesucian nama Islam digunakan untuk membalut dan menyelimutkan sikap hipokrit mereka yang tamak dan rakuskan kuasa dan pengaruh .

Sungguh memalukan tindakan mereka . Tidak beradab susila dan tidak pula bertamaddun


0 Responses to “Road Show Artis Simbol Seks Amerika”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: