06
Aug
07

3 tonggak utama bina negara

Raja Dr Nazrin mahu generasi muda pastikan pembangunan dilaksana secara berkesan


KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam, menggariskan tiga tonggak utama dalam memastikan usaha pembinaan negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan berkekalan, termasuk kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan.

Dua tonggak lagi ialah keadilan ekonomi dan sosial bagi semua rakyat serta tadbir urus yang baik serta masyarakat sivil yang berkembang pesat, titah baginda ketika menyampaikan ucap utama pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar kali pertama, di sini, semalam.

Mengenai keadilan ekonomi dan sosial, Raja Nazrin bertitah, semua kumpulan dalam masyarakat, tanpa mengira etnik, agama atau gender, perlu terbabit dalam membuat keputusan yang memberi kesan terhadap kehidupan serta rezeki mereka.

“Mereka perlu ada suara dan tempat dalam semua sektor. Mereka perlu memikul tanggungjawab yang sama banyak dalam memastikan kejayaan masyarakat. Rakan untuk kita bekerja dan bermain, persahabatan yang kita jalin, jangan sekali-kali disempitkan oleh faktor etnik,” titahnya.

Raja Nazrin bertitah bahawa tanggapan, semangat kedaerahan dan sikap cauvinis, boleh dibasmi jika seseorang itu berinteraksi secara aktif dengan mereka daripada kumpulan etnik atau agama lain, sekalipun ia hanya membabitkan seorang guru, polis atau rakan sekolah.

Mengenai tonggak ketiga iaitu tadbir urus yang baik dan masyarakat sivil yang berkembang pesat, Raja Nazrin bertitah bahawa institusi tadbir urus perlu mempamerkan dan menjana norma serta perlakuan yang cekap, produktif serta adil.

“Hanya mereka yang berkemampuan, bertanggungjawab dan benar-benar jujur saja dibenarkan menyandang jawatan pemimpin. Mereka yang tidak cekap, tidak berkebolehan dan paling penting, mengamalkan rasuah, perlu dipinggirkan secara habis-habisan,” titahnya.

Raja Nazrin juga bertitah bahawa langkah konkrit bagi mencegah amalan rasuah dan melahirkan amalan pengurusan yang berteraskan kecekapan, ketelusan serta kebertanggungjawaban, perlu diwujudkan.

“Amat penting bagi kita mempunyai pemimpin yang mempunyai keazaman yang tinggi untuk memelihara perpaduan dan tidak menggunakan agama serta semangat etnik bagi mengukuhkan kerjaya politiknya, hingga sanggup menggadai keamanan dan keselamatan,” titahnya.

Raja Nazrin bertitah bahawa jika pemimpin yang dipilih gagal berbuat demikian, maka mereka perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan dan dibawa ke muka pengadilan.

Dalam titah ucapannya, Raja Nazrin turut mengemukakan beberapa cadangan mengenai bagaimana rakyat Malaysia, khususnya pemimpin muda, boleh menyumbang ke arah meneruskan kejayaan dalam pembinaan negara.

Langkah pertama, titah baginda, ialah memahami Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara, yang menjamin hak setiap rakyat Malaysia.

“Sejajar dengan ini, integriti dokumen itu perlu dilindungi,” titah baginda. – Bernama


0 Responses to “3 tonggak utama bina negara”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: