07
Aug
07

Bunuh: Hakim marah siasatan polis sambil lewa

06-08-2007 09:22:19 PM


Hakim: Pegawai penyiasat ke tempat kejadian tanpa bawa pakar forensik dan detektif. Senjata juga tidak ditemui. (foto The Star)

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan dua orang buruh daripada tuduhan membunuh selepas Hakim Datuk Abdul Halim Aman berkata beliau mendapati banyak kelemahan dalam siasatan polis kerana ia dilakukan atas dasar “janji siap”.

Dalam keputusannya membebaskan dan melepaskan Syed Halil Syed Mohamad, 23, dan Mohd Nazri Jailani, juga 23, daripada tuduhan membunuh Jamzi Afzan Ahmad tahun lepas, beliau berkata siasatan yang dilakukan oleh ASP Noorleyda Ahmad amat menyedihkan kerana terdapat terlalu banyak kelemahan dan pelbagai persoalan.

Katanya kekuatan kes pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan yang dijalankan tetapi bagi kes ini, siasatan Noorleyda hanya bagi memenuhi “pelengkap cara” saja.

“Bagi kes sepenting ini, pegawai penyiasat hanya datang dua kali saja ke tempat kejadian tanpa membawa pakar forensik dan pegawai detektif, malah senjata digunakan mencederakan mangsa seperti besi, kayu dan kapak juga tidak ditemui di situ.

“Keterangan beberapa saksi menyatakan wujudnya lima pekerja Indonesia di ladang getah ketika kejadian, malah seorang daripadanya turut cedera dan dirawat di Klinik Gambang, tetapi butiran mereka tidak dikemukakan di mahkamah,” kata Abdul Halim.

Beliau mempersolkan mengapa pegawai penyiasat tidak perincikan identiti pekerja-pekerja Indonesia terbabit dan kaitannya dengan kes pembunuhan ini dan bagaimana kecederaan itu terjadi.

“Timbul persoalan, adakah pekerja Indonesia itu pendatang haram yang perlu dilindungi, dan jika ya, siapa yang mendapat manfaatnya, atau adakah mereka ini yang sebenarnya terbabit dalam pembunuhan itu,” katanya.

Syed Halil dan Mohd Nazri, kedua-duanya buruh ladang di Felda Lepar Hilir 2, bersama lima orang lagi yang masih bebas, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, kerana membunuh Jamzi, 22, antara 12.01 tengah malam dan 2.15 pagi 7 Julai 2006 dalam dalam satu kebun getah di Gambang di sini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amy Ling Huoy Yi. Syed Halil diwakili peguam bela Bob Arumugam manakala Mohd Nazri diwakili Sairil Hamd Abdul Manaf.

Hakim Abdul Halim berkata walaupun polis mengetahui pembabitan beberapa warga Indonesia dalam kes pembunuhan itu, tiada usaha mengesan mereka dilakukan sama ada menerusi sekatan jalan raya pada malam kejadian atau keesokan harinya.

Disebabkan terlalu banyak kelemahan siasatan dalam kes ini, beliau mencadangkan agar polis menetapkan satu prosedur piawai operasi (SOP) yang khusus untuk pegawai penyiasat.

“Jika SOP itu sudah ada, tiba masanya polis menyemak semula supaya pendekatannya bersesuaian dengan keadaan terkini,” kata beliau sambil menyarankan agar perkara itu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan.

Abdul Halim berkata tugas seorang pegawai penyiasat bukan setakat merakam percakapan saksi, mengarahkan anggota mengambil gambar, melukis rajah kasar atau menghantar barang kes ke Jabatan Kimia.

“Perlu ada SOP yang membezakan siasatan bagi kes bunuh, rasuah, dadah, rogol, curi dan kes cabul kerana semuanya tidak sama.

“Jadi polis perlu ada garis panduan yang jelas dan lengkap untuk pegawai penyiasat patuhi terutama jika mereka baru memikul tanggungjawab itu,” katanya. BERNAMA


0 Responses to “Bunuh: Hakim marah siasatan polis sambil lewa”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: