08
Aug
07

KENYATAAN MEDIA BERSAMA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

Oleh BPPNS

 KENYATAAN MEDIA BERSAMA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) iaitu gabungan wakil-wakil NGO-NGO Islam yang prihatin dalam menangani pelbagai isu-isu berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia. Mesyuarat pada 16 Julai 2006 telah memutuskan untuk menubuhkan gabungan tersebut sebagai rangkaian gerak kerja bersama organisasi Islam di Malaysia. Hingga kini 80 NGO gabungan. Laman web rasmi: www.myislamnetwork.net

ALLIED COORDINATION COMMITTEE OF ISLAMIC N.G.O.s (ACCIN)
Al-Hidayah,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Belia PERKIM,
GEPIMA,
Islamic Information and Services (IIS),
Jamiyah,
Jemaah Islah Malaysia (JIM),
Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA),
Persatuan Al-Hunafa, Persatuan Darul Fitrah Malaysia,
Persatuan Ulamak Malaysia (PUM),
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT),
Research & Information Center of Islam (RICOI),
World Assembly of Muslim Youth (WAMY)

Kenyataan Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Islam Menolak Merdeka Statement CPPS, ASLI. Kami,

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Allied Coordinating Committee for Islamic NGOs (ACCIN), dua gabungan terbesar pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia yang dianggotai oleh lebih 100 buah pertubuhan, menolak Merdeka Statement in Commemoration of Malaysia’s 50th Anniversary of Independence yang disediakan oleh Centre for Public Policy Studies, Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) dan disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negara ini, yang turut cenderung untuk merombak terma-terma penting Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di Malaysia.

Dokumen ini didakwa bertujuan untuk melaksanakan Agenda Malaysia Baru (A New Malaysian Agenda) dengan mengemukakan lapan strategi teras. Antara lain, Merdeka Statement menganjurkan hak kebebasan beragama secara mutlak tanpa mengambilkira Peruntukan Perlembagaan serta undang-undang negeri dan persekutuan yang bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan masyarakat Islam serta menggariskan peraturan-peraturan tertentu mengenai pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia.

Saranan Merdeka Statement agar Majlis Raja-Raja Melayu mempertahankan hak rakyat Malaysia untuk memilih agama yang mereka sukai serta menghapuskan hukuman undang-undang terhadap individu yang melanggar undang-undang Islam mempunyai maksud tersembunyi untuk menghalalkan amalan murtad di Malaysia.

Adalah aneh untuk menyarankan Raja-Raja Melayu, yang mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan untuk memelihara kesucian agama Islam, supaya mempertahankan amalan yang melanggar syariat Islam. Dalam hubungan ini, saranan Merdeka Statement mengenai hak kebebasan beragama secara mutlak, bukan sahaja bertentangan dengan semangat Kontrak Sosial yang mempertahankan kedudukan istimewa Islam yang berada di bawah naungan Raja-Raja Melayu sejak zaman sebelum merdeka lagi, malah tidak mewakili pandangan majoriti masyarakat Islam di negara ini.

Beberapa saranan dalam Merdeka Statement mengenai usaha-usaha yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan antara kaum (inter-ethnic) dan dalaman kaum (intra-ethnic) adalah munasabah. Namun demikian strategi tertentu seperti pelaksanaan dasar diskriminasi positif yang memberikan layanan istimewa kepada pegawai-pegawai bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam adalah tidak wajar.

Ini kerana dasar diskriminasi positif yang dilaksanakan untuk kaum Bumiputera hanyalah di peringkat pengambilan ke jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, dan bukannya ketika mereka sudah berada dalam perkhidmatan untuk tujuan kenaikan pangkat dan sebagainya. Pelaksanaan dasar diskriminasi positif kepada pegawai-pegawai bukan Bumiputera sepertimana yang disarankan dalam Merdeka Statement tentunya akan menafikan hak munasabah pegawai-pegawai Bumiputera yang sudah berada dalam perkhidmatan awam.

Adalah tidak munasabah untuk menuntut pemberian “hak” yang baru kepada kaum bukan Bumiputera, sedangkan pada masa yang sama kaum Bumiputera diharapkan agar bersedia untuk melepaskan hak-hak istimewa mereka sepertimana yang telah termeterai dalam Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin kaum sebelum merdeka dan termaktub dalam Perlembagaan.

Hal ini menunjukkan bahawa apa yang sedang dilakukan oleh CPPS-ASLI dan organisasi-organisasi yang menyokong Merdeka Statement ialah perundingan semula Kontrak Sosial, bukannya penegasan semula Kontrak Sosial sebagaimana yang dicanang.

Tanpa persetujuan semua kaum, Merdeka Statement tidak wajar diangkat sebagai pernyataan yang mewakili hasrat seluruh warganegara Malaysia. Ia hanyalah pernyataan satu pihak. Di samping itu, “Agenda Malaysia Baru” yang terkandung dalam Merdeka Statement juga gagal mempertegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi negara, kedudukan agama Islam sebagai sebahagian daripada sistem perundangan dan pentadbiran negara, dan hak-hak masyarakat Islam untuk mendapatkan pengadilan menerusi sistem kehakiman Islam sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun pada prinsipnya kami mendokong usaha-usaha pengukuhan perpaduan nasional, memperkasa dayasaing negara di peringkat antarabangsa, mewujudkan ekonomi yang berinovatif, mengurangkan ketidakseimbangan pengagihan ekonomi, memperkasakan institusi-institusi demokrasi negara, melaksanakan reformasi pendidikan, menjamin kehidupan berkualiti dan menyokong usaha memerangi rasuah, yang turut disentuh oleh Merdeka Statement, kami, Pertubuhan-Pertubuhan Islam di Malaysia tetap memandang dokumen tersebut, jika dilihat intipatinya, adalah satu percubaan untuk merombak Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di Malaysia, atas nama Agenda Malaysia Baru dan dengan mengambil kesempatan sentimen sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Kami mewakili Pertubuhan-Pertubuhan Islam dengan sebulat suara mengulangi penegasan mengenai peri pentingnya seluruh warganegara Malaysia menghormati Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di negara ini, dan menolak saranan-saranan dalam Merdeka Statement yang bertujuan untuk merombak terma-terma penting Kontrak Sosial tersebut.

Walaupun dokumen tersebut turut mengandungi beberapa saranan yang positif tetapi percampuran dengan pelbagai bacaan dan saranan yang meragukan menjadikan keseluruhan dokumen tersebut bermasalah, negatif dan wajar ditolak.

Kami turut menyeru agar lebih banyak pertubuhan-pertubuhan Islam tampil menyokong kenyataan kami ini.

Tn. Hj. Yusri Mohamad
Tn. Hj. Mohamed Said Hj. Mohamed Razi

Pengerusi Penyelaras PEMBELA
Pengerusi ACCIN / Pengerusi Jamiah & Presiden ABIM

—————————————
Kenyataan ini diselaras untuk dikeluarkan oleh Sekretariat PEMBELA di atas alamat berikut:
Sekretariat ABIM Pusat Anjung Rahmat Batu 6, Jalan Gombak 53100 Kuala Lumpur
Tel: 03-6188 0300
Fax: 03-6189 6700
emel: pembela @myislamnetwork.net http://www.myislamnetwork.net


0 Responses to “KENYATAAN MEDIA BERSAMA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: