10
Aug
07

Kebakaran ragut lima nyawa, TNB apa perasaan anda?

Image
BERAPA billion TNB untung tahun ini?

Oleh Husam Musa

LIMA sekeluarga dari Kluang, Johor, maut di mamah api. Lilin mungkin punca kebakaran. Bapa, ibu dan tiga anak terpaksa bergelap sudah lima hari bila bekalan elektrik rumah mereka dipotong oleh TNB.

Pilu. Terkedu. Begitulah nasib keluarga miskin dihimpit beban hidup. Tragedi ini, mungkin petunjuk kepada masalah sebenar beban kesempitan hidup yang di alami oleh rata-rata rakyat marhaen di seluruh negara.

Kenaikan kos hidup sekarang telah menghantar kehidupan boroh yang dibantu isteri berjual di gerai untuk sara kehidupan mereka sekeluarga ke penjuru sempit sehingga mereka gagal membayar bil elektrik.

Ya. Tetapi adakah fungsi TNB hanya sekadar mengaut keuntungan? Tidakkah boleh sebilangan penduduk miskin seperti ini diberikan sedikit pertimbangan kemanusian?

Mereka telah terkorban

Yang tinggal ialah pemimpin untuk menghitung nasib rakyat dengan segala bahana kepincangan dan kebobrokan yang ada. Adakah di sana secebis kejujuran untuk membelanjakan harta negara secara hemah tanpa pembaziran dengan menghentikan projek tanpa tender dengan harga tinggi kepada kroni terpilih?

Bolehkah kekayaan dari khazanah minyak negara tumpah kepada semua keluarga dhaif seperti ini?

Selamat jalan, anak bangsaku Kasmuri Jasman, 44, Sufiah Abdul Karim, 41, Hishamuddin, 13, Nizammuddin 9, dan Nurul Macella, 8.

Allah merahmati ruh anda semua! Semoga anda semua terpilih mendapat nikmat syurga tanpa hisab.

Sudikah pemimpin di atas sana mendengar jeritan kesusahan rakyat ramai?

BACA JUGA

Demi tiga anak di IPTA, rela elektrik dipotong

KLUANG:  Allahyarham Kasmuri Jasman, 44, yang maut bersamasama isteri dan tiga anaknya selepas rumah mereka terbakar awal pagi ini, terpaksa menangguhkan pembayaran bil elektrik rumahnya kerana mahu menggunakan wang bagi membiayai pengajian tiga lagi anaknya yang menuntut di institusi pengajian awam tempatan.

Jiran dan tuan tanah kepada keluarga mangsa Jamliah Othman, berusia lingkungan 60-an, berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh isteri Kasmuri, Sufiah Abdul Karim, 41, beberapa hari lepas.

“Sudah lima malam rumah mereka bergelap selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik kerana mangsa tidak menjelaskan bayaran. Akibatnya, mangsa sekeluarga terpaksa menggunakan lilin,” katanya kepada pemberita di rumahnya, yang terletak bersebelahan rumah mangsa hari ini.

Jamliah, yang khuatir dengan penggunaan lilin di rumah Kasmuri boleh menyebabkan kebakaran. memaklumkan hal itu kepada pejabat bomba dan penyelamat Kluang tiga hari lepas.

“Saya dan jiran percaya kebakaran disebabkan oleh lilin yang mungkin terjatuh akibat ditiup angin kuat pagi tadi, sebelum menyambar barangan di rumah kayu itu,” katanya.

Kasmuri merupakan kakitangan syarikat pembuat jubin, Malaysia Mosaic manakala isterinya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Tiga anak pasangan malang itu iaitu Salahuddin, lingkungan 20-an menuntut di Kolej Universiti Tun Hussein Onn (Kuittho); Faizah Nor, lingkungan 20an di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Juliana, 19, penuntut matrikulasi di Universiti Sains Malaysia (USM).

Jamliah berkata beliau hanya menyedari tentang kebakaran itu apabila dikejutkan oleh menantunya yang tinggal bersama-samanya pada pukul 3.30 pagi.

“Jiran-jiran tidak dapat membantu mangsa kerana kejadian berlaku amat cepat, ditambah pula penduduk semua sedang nyenyak tidur,” katanya.

Seorang lagi jiran, Hamzah Othman, berusia lingkungan 50-an, mengakui kemungkinan api lilin menjadi punca kebakaran yang mengorbankan Kasmuri dan anggota keluarganya.

“Awal pagi tadi, angin amat kencang dengan hujan. Saya percaya lilin itu jatuh dan apinya membakar langsir rumah mangsa,” katanya.

Bagaimanapun abang ipar Kasmuri, Sudirman Abdul Karim, 45, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kluang, berkata berdasarkan perbualannya dengan Nurul Farhana [foto kiri] yang terselamat, ubat nyamuk dipercayai menjadi punca kebakaran itu.

“Nurul kata mungkin api ubat nyamuk yang diletakkan dalam bilik menjadi punca kebakaran,” katanya sambil menambah, Nurul Farhana, pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil masih trauma dan enggan bercakap banyak.

Sudirman yang tiba di tempat kejadian pada pukul 5 pagi selepas dimaklumkan oleh jiran Kasmuri, berkata dua mayat yang rentung ditemui di bilik air, manakala mayat tiga yang lain, iaitu Sufiah dan dua anaknya ditemui di bahagian dapur.

Semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belahan Tampuk, Rengit, Batu Pahat, katanya. BERNAMA

LAGI KISAH SEDIH

Tiga anak kecil maut cuba selamatkan ibu bapa

KLUANG:  Ketiga-tiga anak pasangan mangsa Kasmuri Jasman, 44, dan Sufiah Abdul Karim, 41, berkemungkinan masih hidup ketika ini jika mereka tidak kembali semula ke rumah yang sedang terbakar untuk membantu ibu bapa mereka.

Jiran mereka Zainita Ali, 27, berkata ketika kejadian, Hishammuddin, 13, Izamuddin, 9, dan Nurul Macella, 8, telah berada di pintu depan rumah selepas diarah keluar oleh ibu mereka.

“Tetapi ketiga-tiga mereka masuk semula ke dalam rumah apabila melihat ibu dan bapa mereka rebah. Mereka tidak keluar lagi selepas itu,” katanya yang turut berusaha menyelamat mangsa-mangsa dalam kejadian pada pukul 3.55 pagi tadi.

Zainita dan suaminya Mohd Shahril Ali, 30-an, dan adiknya Mohd Idham, 23, hanya sempat menarik keluar Nurul Farhana, 15, dan menghalangnya daripada memasuki semula rumah yang sedang terbakar itu.

“Kami tempatkan Nurul Farhana yang berkeadaan trauma di dalam rumah kami yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mangsa. Takut dia masuk balik,” kata Zainita.

Kebakaran itu mengorbankan Kasmuri, pekerja di Malaysian Mosaic, isterinya Sufiah, pembantu kedai makan dan tiga orang anak mereka.

Sepasang warga emas yang hanya dikenali sebagai “Azila” dan “Saiman”, kedua-dua 60-an, serta seorang kanak-kanak dipercayai cucu mereka turut terselamat.

Pasangan Kasmuri dan Sufiah, turut mempunyai tiga anak lain yang kini yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam iaitu Salahuddin dan Faizah Nor, kedua-duanya berumur 20-an dan Juliana, 19.

Salahuddin [foto kanan] menuntut di Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUITHO), Faizah di Universiti Putra Malaysia dan Juliana di Kolej Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Sementara itu Zainita berkata, suaminya masih mengalami kepenatan setelah terbabit dengan usaha menyelamat terpaksa dirujuk ke Hospital Daerah Kluang dan kini tidak mampu untuk bercakap-cakap kerana trauma.

Beliau berkata suaminya kepenatan kerana mereka baru sahaja tiba di rumah mereka pada kira-kira pada 3 pagi tadi dari Kuala Lumpur.

“Saya sedang mengemaskan rumah sebelum kami sekeluarga terdengar kaca-kaca yang pecah dan melihat rumah jiran sedang marak dijilat api. Kejadian berlaku dengan cepat sekali,” katanya.

Sebelum kejadian, kampung itu turut dilanda hujan dan angin kencang dan kebanyakan jiran sedang tidur waktu itu.

Kesemua jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belahan Tampuk, Rengit, Batu Pahat selepas selesai proses bedah siasat petang ini.klpos/bernama/mstar


0 Responses to “Kebakaran ragut lima nyawa, TNB apa perasaan anda?”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: