11
Aug
07

Bertolak ansur tuntut lunaskan bil tertunggak

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)TRAGEDI yang mengorbankan pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka dalam kejadian kebakaran di Kampung Tengah, Kluang kelmarin sememangnya menghibakan perasaan.

Bayangkanlah betapa sedihnya perasaan empat lagi anak kepada pasangan Kasmuri Jasman dan Sufiah Abdul Karim yang bukan saja kehilangan tempat tinggal malah bergelar yatim piatu dalam sekelip mata.

Apatah lagi tiga daripada empat anak-anak malang itu sedang menuntut di institusi pengajian tinggi dan selama ini amat bergantung kepada ibu bapa mereka dari segi kewangan dan kasih sayang.

Kejadian tersebut semestinya mengundang trauma terutama kepada Norfarhana Kasmuri yang terselamat kerana sempat melarikan diri melalui pintu depan dan kemudian menjerit meminta tolong.

Sesungguhnya sebagai manusia kita tidak dapat menyelam jauh ketentuan yang ditetapkan oleh Allah, namun boleh saja disimpulkan kejadian tersebut mengundang hikmah serta pengajaran tersendiri.

Persoalan yang timbul sekarang ini ialah sejauh mana kita mampu membenarkan kemiskinan menjadi punca segala penderitaan serta keciciran di kalangan masyarakat.

Miskin dikaitkan sebagai punca anak-anak tidak bersekolah yang kemudian melarat kepada alasan meningkatnya masalah sosial dan kini miskin juga dijadikan punca lima beranak maut dalam keadaan rentung.

Apatah lagi dalam kes keluarga malang ini, rumah mereka terbakar dipercayai gara-gara menggunakan lilin selepas bekalan elektrik di rumah sewa mereka dipotong kerana bil yang tertunggak sebanyak RM800.

Dalam hal ini, arwah Kasmuri lebih mementingkan belanja untuk membiayai persekolahan anak-anaknya serta menanggung keperluan asas keluarganya dan bekalan elektrik ternyata bukanlah keutamaan ketika ini.

Sememangnya sebagai pengguna kita bertanggungjawab menjelaskan bil-bil utiliti untuk memastikan bekalan air dan elektrik misalnya dapat terus dinikmati. Kelalaian berbuat demikian terutama kepada golongan yang mampu dan tidak dibelenggu oleh tuntutan-tuntutan hidup yang mendesak akhirnya akan membebankan diri sendiri.

Bagi kelompok miskin, mengetepikan sebahagian gaji mereka untuk membayar bil utiliti sering kali bukan keutamaan kerana yang lebih penting ialah memastikan anak-anak tidak kebuluran. Bagi ibu bapa yang prihatin terhadap masa depan anak-anak, gaji yang diperoleh sering kali dikorbankan untuk menyekolahkan mereka.

Apatah lagi perkembangan sistem persekolahan di negara kita sekarang ini memberi gambaran bahawa tiada lagi yang percuma walaupun kita mendakwa menawarkan pendidikan percuma. Segala-galanya perlu dibayar hatta di peringkat sekolah rendah lagi.

Kita boleh sahaja membayangkan betapa terhimpitnya seorang ketua keluarga apabila anak-anak mereka bersekolah serentak. Keadaan menjadi lebih mendesak apabila dua atau tiga orang anak ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam masa yang sama. Tolak tepi soal membayar yuran. Membuat persediaan untuk memasuki universiti pun kini memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit. Melihat kepada usia tiga anak arwah Kasmuri yang sedang menuntut di IPT dan sesi pengajian baru sahaja bermula, boleh saja disimpulkan bahawa perbelanjaan yang banyak telah diperuntukkan kepada mereka. Itu belum lagi diambil kira perbelanjaan untuk anak-anak lain yang juga sedang bersekolah.

Seperkara lagi ialah syarikat-syarikat utiliti mesti berlaku adil kepada semua pengguna baik orang perseorangan mahupun syarikat-syarikat besar atau kilang-kilang ketika membuat keputusan untuk memotong perkhidmatan.

Kita biasa mendengar malah angka juta turut dibentangkan di Dewan Rakyat apabila memperkatakan tentang kegagalan syarikat-syarikat besar serta kilang-kilang gergasi melunaskan bil utiliti mereka.

Di sebalik kegagalan itu dan syarikat-syarikat utiliti menanggung kerugian yang banyak, mereka dibenarkan untuk terus beroperasi tanpa ada cubaan untuk memotong bekalan atau menghentikan perkhidmatan.

Sebab itu, ada syarikat yang selamba meneruskan operasi walaupun bil tertunggak mereka mencecah ratusan ribu ringgit tanpa ada rasa bersalah jauh sekali menunaikan tanggungjawab untuk melangsaikan hutang tersebut.

Jika yang tidak membayar itu ‘ikan bilis’ cepat sahaja bekalan perkhidmatan dipotong sedangkan apa sangatlah RM800 itu jika dibandingkan dengan berjuta-juta ringgit ‘hutang’ syarikat-syarikat besar.

Kita tidak menyalahkan pihak yang berkenaan di atas kejadian malang yang menimpa keluarga arwah Kasmuri tetapi apa yang berlaku sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Bukankah lebih elok jika layanan yang adil diberi kepada semua pihak tanpa mengenal siapa mereka.

Banyak yang boleh dipelajari daripada berita kehilangan nyawa lima beranak itu dan yang pasti kemiskinan tidak sepatutnya terus-terusan dijadikan alasan atau punca sesuatu bencana kerana dalam kita menuju status negara maju, kemiskinan terutamanya di bandar-bandar mesti berada pada paras sifar.

Artikal Asal – Utusan – bil tertunggak


0 Responses to “Bertolak ansur tuntut lunaskan bil tertunggak”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: