11
Aug
07

Melayu Pulau Pinang terpinggir, penduduk dan ahli Umno piket depan PM

Mohd Sabri Said
Sat | Aug 11, 07 | 09:31:54 AM
BAYAN BARU, 11 Ogos (Hrkh) – Seramai 37 keluarga Melayu Kampung Sungai Nibung Besar, Bayan Baru bakal terusir apabila tanah yang mereka diami puluhan tahun di lot 1648 dan 1650 Mukim 12 Daerah Barat Daya dibeli oleh syarikat Avongold Valley Sdn Bhd untuk tujuan pembangunan perumahan komesial bernilai RM700,000.00 seunit.

ImageBaru-baru ini penduduk yang dikenakan saman oleh pemaju berkenaan kerana dianggap ‘berdegil’ terpaksa mengadakan piket aman di hadapan Jalan Aziz Ibrahim untuk menagih simpati banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.Harapan setinggi gunung diluahkan kepada Dato’ Seri Abdullah menerusi memorandum yang diserahkan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Cawangan Sungai Nibung Pantai,Kuraishah Syed Mohamad sewaktu Perdana Menteri mengadakan perhimpunan rakyat di Maktab Perguruan Tengku Bainun, Bukit Mertajam Ahad lepas.

Mengikut surat saman yang mereka terima, syarikat berkenaan mengarahkan penduduk meninggalkan kampung tersebut dalam tempoh sebulan mulai 30 Disember 2006 dengan wang pampasan RM30 ribu ke RM40 ribu sahaja.

ImagePengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Nibung Besar, Haji Karsa Haji Noordin ketika ditemubual wartawan menegaskan, penduduk sepakat tidak akan meninggalkan kampung halaman selagi syarat perjanjian antara pemaju dan penduduk iaitu rumah ganti rumah tidak mendapat perhatian.

Menurutnya, dengan pampasan sebanyak itu mana mungkin penduduk boleh mencari penempatan lain ekoran harga tanah dan rumah yang melambung tinggi semenjak kebelakangan ini.

“Jika pampasan sebanyak itu kami nak tinggal di mana. Kami bukan ada tanah lain melainkan pampasan dipertimbangkan semula, ” ujarnya.

Maka sebab itu, penduduk mengadakan pertemuan dengan pemaju berkali-kali untuk mempastikan permintaan untuk menaikkan lagi bayaran pampasan kerana pampasan yang dicadangkan tidak releven dengan keadaan sekarang.

Jika gagal, penduduk memohon jasa baik Perdana Menteri selaku peneraju parti yang menjadi tulang belakang orang Melayu di Pulau Pinang membeli kembali tanah itu demi menyelamatkan maruah orang Melayu yang sudah tergadai.

“Perbincangan dengan pemaju akan diteruskan sehingga berjaya tetapi satu jalan lagi kerajaan membeli balik tanah itu untuk menghindarkan kehilangan orang Melayu yang mendiami kawasan bandar, ” jelasnya yang juga bekas Setiausaha Umno Cawangan Sungai Nibung Pantai.

ImageKetua Pergerakan Wanita Umno Cawangan terbabit, Kuraishah Syed Mohamad kesal bagaimana hendak melaksanakan tugasan parti kerana tempat yang mereka diami akan musnah.

“Walau bagaimanapun, Pak Lah memang harapan kami kerana kami tidak mahu meninggalkan penempatan yang dulunya aman damai kini masyarakatnya resah memikirkan masa depan Melayu, ” tegasnya.

Seorang suri rumah, Salimah Ahmad, 71, pula tidak menyangka begini akhirnya hidup orang Melayu di Pulau Pinang tidak terbela dan melarat.

Jika ada syarikat bukan bumiputra yang membeli tanah milik Melayu kerajaan pimpinan Umno kena membelinya semula untuk menghindarkan orang Melayu daripada terus terhakis di bandar.

“Saya rasa jika beginilah nasib orang Melayu di Pulau Pinang apa akan terjadi pada generasi akan datang pastinya lebih terancam, ” tambahnya kecewa.

Harakahdaily difahamkan, Jawatankuasa Bertindak telah mengadakan pertemuan sebanyak empat kali dengan pemaju namun hasil belum memuaskan.

Bukan itu sahaja bahkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Wong Mun Hoe turut membantu supaya penduduk jangan bertindak secara persendirian sebaliknya duduk di bawah payung Jawatankuasa Bertindak.

Sementara itu, Timbalan Yang DiPertua PAS Bayan Baru, Haji Idris Abdul Rahman menyifatkan, begitulah nasib Melayu Pulau Pinang sekiranya masih menaruh harapan pada Barisan Nasional (BN) mereka hanya dibela sewaktu dekat pilihan raya.

Bila sudah menang mereka lebih utamakan projek mega di samping memperkayakan kroni semata-mata. – mks.


0 Responses to “Melayu Pulau Pinang terpinggir, penduduk dan ahli Umno piket depan PM”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: