15
Aug
07

Mahathir gesa orang Melayu tolak kepimpinan Abdullah

 KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Hrkh) – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada kepimpinan negara hari ini yang disifatkan telah banyak melakukan kerosakan dan yang membiarkan amalan rasuah berleluasa mutakhir ini.

Beliau berkata demikian dalam syarahannya dalam program anjuran Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Image

“Orang Melayu dia undi Umno tanpa sebab, kalau letak tongkol kayu pun sebagai calon Umno, mereka akan pangkah dan Umno akan menang. Berbeza dengan orang Cina orang Cina ada perkiraan untuk menyokong mana-mana parti,” katanya sinis.

“Orang Cina dia buat penilaian, tak semesti ahli MCA akan undi MCA dan tidak semestinya ahli DAP akan undi DAP, begitu juga Gerakan. Itu sebab kita tengok macam di Pulau Pinang, ada kalanya MCA memang, ada kalanya DAP menang dan ada kalanya Gerakan menang kerana orang Cina akan menilai undi untuk agenda mereka,” katanya.

“Bila menang besar, pemimpin akan kata ini semua kerana mereka dan mereka akan bermegah dengan kemenangan itu,” tegasnya.

Melihat kepada pentadbiran negara yang terlalu lemah dengan amalan rasuah cukup membarah, rakyat pula mudah dibeli dengan hanya nilai suapan RM200 ia hanya akan menjurus kepada kemusnahan negara ini, kata Tun Mahathir.

Katanya lagi, dalam pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu 2006, beliau bertanding sebagai perwakilan.

Namun kerana rasuah RM200 untuk membeli setiap orang penyokong setianya, beliau kalah dengan cara yang paling kotor sekali.

“Ini orang akan kata saya buat tuduhan, tetapi saya alami dan saya tahu ia berlaku. Kalau Ketua Bahagiannya nak kata tidak ada, apa boleh buat sebab jika bawa kepada Jawatankuasa Disiplin pun kata tiada, tetapi saya yang lalui saya tahu ia berlaku,” tegasnya sinis.

Bercakap soal Pilihan Raya Umum ke-12, beliau yakin pilihan raya kali ini akan dijalankan dengan penuh rasuah dan penggunaan wang.

Beliau mendapat maklumat bahawa kini adanya usaha untuk mengumpul dana oleh pihak tertentu untuk menyumbang kepada dana pilihan raya.

Justeru, beliau yakin sekali kepimpinan Umno yang membenarkan rasuah berlaku di negara ini akan menggunakan rasuah dalam pilihan raya akan datang.

Baginya, jika orang Melayu memilih pemimpin yang melakukan rasuah dan memberi undi kerana sogokan RM200, bermakna kepimpinan yang akan menerajui negara adalah kepimpinan yang rasuah.

Beliau kecewa dengan sikap orang Melayu yang sedemikian rupa yang tidak berfikir untuk menentang pemimpin yang rasuah yang boleh merosakkan negara.

Malah hari ini amalan rasuah telah sebati, dan perasuah akan dibebaskan hanya dengan menafikan tuduhan ke atas mereka ini.

Justeru, beliau sekali lagi melahirkan keyakinan bahawa kepimpinan negara yang ada hari ini adalah kepimpinan yang bermasalah yang perlu ditolak oleh orang Melayu dan rakyat.

Begitupun beliau mahu Umno kekal sebagai kerajaan yang memerintah, sambil meletak keputusan kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang boleh menggantikan pemimpin yang ada hari ini.

Sementara itu beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam hari ini yang dilihat semakin buruk berbanding ketika era pemerintahannya.

Katanya lagi, hari ini rakyat bimbang untuk keluar rumah memandangkan jenayah pembunuhan yang menjadi-jadi, setelah pembunuh yang sah membunuh bebas setelah mahkamah membebaskan dengan pendakwaan dikatakan gagal menampilkan bukti.

Ini membuatkan keadaan tidak lagi selamat, katanya.

Sementara itu beliau juga membuat kenyataan sinis memperli Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin yang disifatkan sebagai seorang yang ditaktor.

Kenyataan itu dibuat setelah seorang hadirin bertanya, benarkah ada persamaan yang dibuat oleh seorang penulis akhbar berbahasa Inggeris bahawa sikap Dr Mahathir sama dengan Khairy.

“Saya dulu dituduh sebagai diktator dan macam-macam lagi, jadi kalau nak samakan Khairy dengan saya, ialah, tetapi saya bukan diktakor kerana saya dalam membuat keputusan boleh mengubah semula keputusan setelah ada orang yang menasihati saya,”katanya sinis.

Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir itu Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, yang hadir sama dalam majlis berkenaan, berkata, kenyataan Dr Mahathir itu adalah signal kepada rakyat supaya tidak lagi memberi undi yang banyak kepada Umno/BN.

Ujar Mahfuz, mandat yang besar yang diberi kepada Umno/BN hanya akan membuatkan kerajaan yang ditadbir parti itu meneruskan kesalahan demi kesalahan tanpa sebarang proses ‘check and balance’ yang berkesan.

Kenyataan Dr Mahathir itu sekali gus mengajak rakyat menolak kepimpinan negara yang ada hari ini yang diselubungi rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, beliau menyeru rakyat terutamanya orang Melayu terpanggil dengan seruan Dr Mahathir supaya menolak kepimpinan negara yang cukup bermasalah hari ini.

Dalam program yang sama, seorang pensyarah Universiti Malaya, Professor Rustam yang mengajukan pandangan dan soalan kepada Dr Mahathir menyebut, Umno tidak boleh diharapkan lagi menjadi parti yang boleh membawa kepada perubahan.

Baginya, untuk mengharapkan Umno mengubah masalah yang ada hari ini ‘jalannya sudah tertutup’.

Justeru, Rustam merayu Dr Mahathir memimpin gerakan rakyat untuk mempertahankan negara dari terus dirosakkan pemimpin yang ada hari ini.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang turut hadir sama pula menyifatkan bahawa kenyataan Dr Mahathir jelas membuka ruang kepada rakyat supaya menilai semula kepimpinan negara yang ada hari ini.

Katanya dengan segala kelemahan dan kebobrokan pentadbiran yang dikuasai anak menantu Perdana Menteri, beliau mahu rakyat bersatu menolak kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga menghulur tangan kepada Dr Mahathir atas nama Pemuda PAS untuk memberi kerjasama dalam mempertahankan hak agama, bangsa dan negara yang kini telah dirosakkan oleh kepimpinan negara yang ada hari ini.


0 Responses to “Mahathir gesa orang Melayu tolak kepimpinan Abdullah”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: