18
Aug
07

Mahathir ‘meletup’, jalan damai dengan Abdullah sudah berkubur

Analisis Isu Mohd Rashidi Hassan

aWalaupun perjumpaan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri di Langkawi masih baru, dengan paparan gambar makan semeja dengan Timbalan Perdana Menteri, semuanya itu tidak boleh dijadikan asas untuk berdamai, semuanya sudah buntu, kecuali jika hanya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan tampuk pemerintahan.

Ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, kelmarin (15 Ogos) begitu mengejutkan, nadanya amat keras, tiada tanda-tanda kesihatannya boleh menghentikan ketegasannya menolak kepimpinan Umno yang ada sekarang.

bMantan Perdana Menteri Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Umno memikirkan semula sokongan yang diberikan kepada penggantinya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir bukan sahaja menempelak Abdullah, bahkan beliau menggesa rakyat, khususnya orang-orang Melayu dalam Umno untuk menolak kepimpinan orang yang dipilihnya menggantikan beliau empat tahun lalu kerana Malaysia sudah diibaratkan sebagai ‘rotten state’.

Pada majlis perjumpaan yang dianjurkan oleh pengendali laman web dan blog di Yayasan Kepimpinan Perdana anjuran Majlis Prihatin Malaysia (PRIMA), Mahathir sudah tidak boleh menutup kemarahannya yang membuak-buak terhadap Abdullah.

Selepas 22 tahun menerajui Umno, empat tahun mewariskan kepada Abdullah, Mahathir begitu kecewa dengan partinya sendiri.

Mahathir tidak segan mengulangi betapa kesetiaannya kepada Umno, tetapi tidak boleh menyembunyikan betapa ahli-ahli Umno kini seolah-olahnya manusia yang tidak bermaruah dan tiada harga diri.

Dalam ucapannya Mahathir berulangkali mengungkit betapa maruah perwakilan Umno Kubang Pasu, dalam pemilihan G7 tahun lalu, digadaikan dengan hanya RM200 sahaja.

Berdiri tiga jam membelasah Abdullah

Bagi Mahathir, kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja merosakkan kerajaan, malah menghancurkan parti Umno kerana membenarkan rasuah berleluasa dalam parti, menjadikan ahli partinya penakut seperti ‘lembu dicucuk hidung’.

Di sebalik mengalami beberapa serangan jantung, Mahathir begitu bertenaga berdiri hampir tiga jam untuk berucap dan menjawa pelbagai persoalan yang dibangkitkan para hadirin.

cJelas Mahathir tidak segan untuk menyifatkan orang Melayu bacul kerana akan mengundi Umno pada pilihan raya akan datang, walaupun parti itu akan meletakkan ‘tunggul’ sebagai calon.

Mahathir menempelak Melayu dalam Umno yang disifatkan tiada pendirian, tiada jati diri dan tiada maruah.

“Saya kecewa dengan kaum saya…kalau letak tunggul kayu pun mereka akan sokong kerana tunggul kayu itu tunggul Umno,” katanya.

Mahathir mahu orang Melayu mencontohi kebijaksanaan kaum Cina yang tahu menilai kewibawaan sesebuah parti dan melihat kredibiliti calon sebelum mengundi.

Bekas Presiden Umno itu mendakwa ahli-ahli parti tersebut tidak mempunyai pemikiran strategik ketika membuat keputusan dalam pilihan raya seperti pengundi Cina.

Dengan nada kesal Mahathir berkata orang-orang Melayu khususnya ahli Umno tetap akan memberikan undi kepada parti itu walaupun pemimpin parti itu menjual agama, bangsa dan negara.

Majlis Tertinggi Umno tidak berfungsi

Menambah kekecewaannya yang tidak terubat itu, Mahathir dengan nada keras mengkritik Majlis Tertinggi Umno kerana seolah-olahnya tidak berfungsi lagi sebagaimana MT pada zamannya menerajui Umno selama lebih 22 tahun.

gBukan sahaja ahli-ahli Umno yang ‘bacul’ malah anggota MT juga sama, tidak berani menegur dan hanya menyerah tunduk kepada keputusan yang dibuat oleh Presiden dengan dibantu oleh Timbalan Presiden.

“Sekarang kesetiaan kepada pemimpin (dirujuk kepada Abdullah lebih daripada setia kepada raja. Kalau tak sanggup menentang itulah nasib kita…kalau tak berani menentang, kita akan jadi kuli di negara kita sendiri,” katanya.

Di sebalik kecaman kerasnya kepada Abdullah, Mahathir pada masa yang sama menafikan beliau menyebelahi pembangkang, tetapi setia dengan Umno untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Saya menyebelahi parti Umno tidak bermakna saya menyebelahi pemimpin parti. Dulu saya lawan Tunku (Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra) sebab saya sayang Umno tapi akhirnya dia dengar dan berundur.

“Saya sebelahi parti (Umno) tetapi itu tidak bermakna saya menyebelahi pemimpin parti (Abdullah),” ujar beliau.

Isu-isu yang dibangkitkan dan diulangi Dr Mahathir

Pada peringkat awal ucapannya, Mahathir dengan tegas mengkritik pelancaran Koridor Utara yang dilancarkan Abdullah baru baru ini.

Beliau dengan tegas menyatakan kekesalannya, pada ketika zaman pentadbirannya melancarkan projek sejumlah RM 2 billion yang dianggap mega Mahathir menerima kritikan yang pedas.

Namun katanya, apabila Abdullah melancarkan projek jauh lebih mega sehingga berbelas billion, semua mendiamkan diri dan tidak berani menegur Abdullah. Secara sinis Mahathir berkata, PM begitu rajin mengumumkan projek mega untuk pembangunan negara, “but nothing on the ground.”

Begitu juga dengan Syarikat Berkait Kerajaan (GLC) sekarang itu tidak wujud untuk kepentingan rakyat jelata, malah ia disalahgunakan untuk memperkayakan individu tertentu dari kalangan keluarga, katanya.

Mahathir juga terus menempelak kerajaan khususnya dalam kelemahan pengendalian penjualan MV Agusta dengan harga 1 Euro.

yMalah Mahathir mendedahkan kemungkinan perundingan antara Proton dengan Volkswagen juga akan merugikan negara apabila syarikat asing tersebut dikatakan mahu membeli kepentingan 51 peratus dalam Proton hanya dengan RM1 sahaja.

Jika benar, fenomena ini begitu memalukan. Apakah kerugian Proton yang menjadi kebangaan rakyat begitu besar sehingga terpaksa digadaikan kepada syarikat asing hanya dengan RM1?

Mahathir membuat pendedahan ini bukan sebagai rakyat biasa, beliau adalah Penasihat Proton dan juga Penasihat Petronas yang dilantik secara rasmi oleh kerajaan.

“Well you know this country, this is not British Advisor, this is Malaysian Advisor,” perlinya, merujuk kepada perlantikan yang menafikan sebarang peranan kepada beliau.

Sepanjang ucapan dan soal jawab bersama beliau, Mahathir turut membangkitkan isu ‘panas’ yang didakwanya Abdullah begitu takut dan tunduk kepada kehendak Singapura antaranya, pembinaan jambatan, Kompleks CIQ, isu air, isu penjualan pasir, isu wang rakyat Malaysia dalam Central Provident Fund (CPF) Singapura dan juga isu Pulau Batu Putih.

Persepsi Mahathir terhadap Abdullah

Kesimpulan, apa yang dipertegaskan Mahathir adalah mengenai kredibiliti PM, Abdullah tiada wibawa dan tidak mampu menerjui kerajaan.

Kepada satu soalan yang mempersalahkan Mahathir kerana melantik Abdullah menjadi penggantinya, beliau tidak menafikan, dahulu beliau melihat Abdullah seorang yang baik, “…tapi hati orang mana kita nak tahu.”

tSecara jelas Mahathir mengulangi bahawa hasratnya untuk melihat Abdullah sebagai PM hanya satu penggal sahaja dan selepas itu diberikan kepada orang lain.

Mahathir seolah-olahnya seperti gunung berapi yang sedang meletup dan memuntahkan laharnya. Harapannya kepada Abdullah sudah musnah, negara kelam kabut, Umno sudah dihancurkan.

Kata Mahathir secara berseloroh, dulu daging tangannya luruh dicium anak-anak buah dalam Umno, baru dua minggu melepaskan jawatan beliau kehilangan sebahagian besar sahabatnya.

“La (sekarang) ni daging dah tumbuh balik dah, sebab tak dak sapa nak cium,” katanya sambil ketawa.

Apa pun yang diperkatakan, apa pun yang diucapkan Mahathir sebenarnya adalah manfestasi daripada kekecewaan yang amat sangat terhadap pengantinya yang semakin lembab dan hampas.

Masalahnya bukan sahaja rakyat sudah terpesong. Sindrom mandom Umno yang dibawa dan diwar warkan oleh media sudah meresapi ke benak rakyat. Siapakah lagi yang boleh diharap untuk memperbetulkan kemandoman ini?


0 Responses to “Mahathir ‘meletup’, jalan damai dengan Abdullah sudah berkubur”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: