19
Aug
07

Serangan Mahathir dan PM yang terus “buat bodoh, buat sadin”

A Kadir Jasin

DARIPADA laporan laman-laman berita web bebas, blog dan beberapa buah akbar arus perdana, terdapat dua mesej pokok dalam ucapan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada para penulis, termasuk blogger, yang mengunjungi beliau pada 15 Ogos.

Pertama, hanya laman-laman berita web bebas dan para blogger yang boleh diharapkan untuk melaporkan kebenaran dan mengubah keadaan negara yang merunsingkan sekarang.

Kedua, sesuatu yang keras dan jelas perlu dilakukan kepada Pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyekat negara daripada terus menuruni jalan kemusnahan.

Laman berita web bebas Malaysiakini memetik Dr Mahathir sebagai berkata bahawa blogger adalah satu-satunya saluran yang masih boleh diharap untuk bersuara mengenai masalah negara.

Katanya Umno kini lumpuh sepenuhnya dan tidak lagi boleh melakukan apa-apa untuk memperbaiki dirinya apatah lagi menyelesaikan masalah negara.

Mengenai perkara pertama, soalnya apakah mampu laman berita web bebas seperti Malaysiakini dan laman sensasi Malaysia-Today yang dikemudikan oleh Raja Petra Kamaruddin serta blog-blog politik menggerakkan pendapat umum untuk melakukan perubahan seperti yang diharapkan oleh Dr Mahathir itu?

Jawabnya IA dan TIDAK.

IA kerana kegiatan memblog sudah menjadi begitu luas dan semakin mendapat perhatian umum, khasnya daripada pemerintah dan partinya yang berasa terancam dengan apa yang dibincangkan di dalam blog.

Boleh dikatakan tiada hari berlaku tanpa pembesar politik dan pengendali (handler) mereka membuat kenyataan mengecam, mengancam dan mengutuk blogger. Ini secara langsung memberi publisiti percuma kepada saluran baru maklumat dan pendapat ini.

TIDAK kerana sebaran dan liputan Internet yang masih terhad dan disertai pula oleh tindak balas pemerintah yang keras. Sudah ada blogger yang menutup laman masing-masing kerana takut.

Sebaran dan liputan blog masih terhad kepada kawasan bandar dan di kalangan masyarakat kelas menengah. Penduduk luar bandar dan golongan berpendapatan sederhana dan rendah, yang berupa majoriti daripada pengundi, masih tersisih.

Malah dikhuatiri bahawa ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) akan mewujudkan suatu lagi kekangan antara kumpulan yang berada dengan yang tidak berada iaitu jurang maklumat (information gap).

Selain itu adalah tidak mustahil unsur-unsur sabotaj digunakan untuk menyekat sebaran dan tebaran maklumat berasaskan Internet, terutama menjelang pilihan raya umum nanti.

Misalnya, pembekal jaringan Internet yang dikuasai pemerintah seperti Telekom Malaysia (TM) dan Minos boleh dikenakan tekanan agar “menyukarkan” komunikasi Internet.

Ini tidak susah dilakukan, khanya di kawasan luar bandar dan pekan-pekan kecil di mana perkhidmatan telefon tidak dianggap keutamaan.

Sejak pelancaran komunikasi selular, pembekal-pembekal perkhidmatan telekomunikasi seolah-olah tidak lagi memberi keutamaan kepada pembekalan dan penyelenggaraan talian tetap (fixed line). Mereka lebih mengutamakan perkhidmatan selular yang menjanjikan pulangan lebih tinggi.

Lagipun, dengan menyukarkan komunikasi Internet kawasan luar bandar kesannya kepada kegiatan ekonomi dan perniagaan tidaklah terlalu buruk, tetapi memberi kesan yang cukup positif menyekat pengundi luar bandar daripada terus dibom oleh maklumat Internet dan blog.

Mengenai objektif “mengubah” Pentadbiran Perdana Menteri Abdullah “bagi menyekat negara daripada terus menuruni jalan kemusnahan”, saya rasa ia adalah sesuatu yang amat sukar dilaksanakan.

Pertama sekali, Perdana Menteri nampaknya mengamalkan sikap tidak ambil peduli, tidak ambil kisah, buat bodoh, buat sadin dan berdiam diri terhadap isu-isu penting yang dibangkit oleh pelbagai pihak.

Harus diakui bahawa Abdullah adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno yang amat berkuasa – lebih berkuasa daripada Dr Mahathir ketika beliau Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Abdullah bukan sekadar Perdana Menteri dan Presiden Umno, beliau adalah Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Menteri Kewangan – dua kementerian yang paling berkuasa di negara kita.

Selain itu, beliau mempunyai kawalan terus ke atas peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak hampir RM50 bilion di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kewangan dan Keselamatan Dalam Negeri.

Dengan kuasa politik, pentadbiran, kewangan dan propaganda yang begitu besar dalam genggamannya, apakah mampu bagi sesiapa pun melakukan sesuatu untuk menggugat Abdullah sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri?

Yang perlu difikirkan dan dikhuatiri, khasnya oleh ahli dan pembesar Umno, adalah kemungkinan kedudukan Abdullah tidak tergugat tetapi Umno dan Barisan Nasional tercabar.

Dr Mahathir dan sesiapa juga yang sependapat dengan beliau harus realistik bahawa kemutlakan kuasa dan kedudukan Abdullah hari ini berpunca daripada tindak-tanduk dan keputusan-keputusan yang berlaku pada era mantan Perdana Menteri itu sendiri.

Abdullah dan petugas-petugas peribadinya setakat mengambil kesempatan mengeksploitasi dan memaksimumkan kuasa serta keistimewaan yang wujud dalam Umno dan Kerajaan sejak zaman Dr Mahathir lagi, khasnya sekatan dan halangan untuk bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti.

Ini adalah realiti yang perlu diakui bukan sahaja oleh Dr Mahathir malah oleh setiap ahli dan pembesar Umno, jika mereka mahu parti mereka kembali demokratik dan pentadbiran negara tidak dilarikan (hijacked) oleh pihak-pihak tertentu.

Saya sedikit pun tidak berasa bersalah atau teragak-agak mengungkit perkara ini. Saya sudah membayar harga tinggi bercanggah pendapat dengan kepemimpinan Umno mengenai perkara ini.

Pada penghujung tahun 1999, akhbar New Sunday Times yang saya sunting ketika itu menyiarkan sebuah rencana oleh penulis Askiah Adam yang mengutuk keputusan “tiada pertandingan” oleh Majlis Tertingg Umno bagi jawatan-jawatan tertinggi parti pada pemilihan tahun itu.

Ia adalah rentetan kepada peristiwa penyingkiran Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Secara kebetulan Anwar berupa pemimpin tertinggi Umno yang terakhir naik pangkat melalui pertandingan.

Bagi jawatan presiden, tali terakhir berlaku pertandingan adalah pada tahun 1987 apabila Dr Mahathir ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum itu, Musa Hitam dicabar dua kali oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Timbalan Presiden – 1982 dan 1984. Allahyarham Abdul Ghafar mencabar dan mengalahkan Musa pada tahun 1987. Manakala Anwar mencabar Ghafar pada tahun 1993 menyebabkan Ghafar menarik diri.

Tetapi selepas itu semua jawatan tertinggi Umno – Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Naib Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan Ketua Puteri semuanya “menang tanpa bertanding.”

Kalau ada pun pencalonan atau ura-ura pertandingan ia sekadar wayang kulit untuk memberi gambaran bahawa masih ada saki baki demokrasi dalam Umno.

Kerana keputusan tiada pertandingan inilah Umno semakin hari semakin ketandusan daya kepemimpinan, autokratik dan jumud mendefinisikan pengertian taat setia. Semakin banyak pembesar Umno yang berasa bahawa jawatan yang mereka pegang adalah hak dan bukan keistimewaan. Sokongan ahli ditukar menjadi taat setia.

Berlatarbelakangkan kesedaran dan realiti ini, saya bimbang bahawa Dr Mahathir mungkin meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap para blogger.

Pada masa yang sama, saya khuatir ahli akar umbi Umno mungkin begitu hampa dengan kepemimpinan parti hingga menolak calon parti mereka sendiri pada pilihan raya umum akan datang seperti yang berlaku pada tahun 1999. – kadirjasin.blogspot


3 Responses to “Serangan Mahathir dan PM yang terus “buat bodoh, buat sadin””


  1. 1 pezze
    August 20, 2007 at 6:44 am

    PM buat sardin or dibuat dari sardin? Hmmmm……


Leave a reply to pezze Cancel reply