19
Aug
07

Wawancara Mingguan Malaysia dengan 2 Anak Musa.

40: Angan-angan atau realiti? Perspektif dari 2 orang bin Musa


hm dan \

Wawancara Mingguan Malaysia dengan Dato’ Husam Musa

hmMINGGUAN: Ramai kalangan pimpinan UMNO yang menganggap kenyataan Datuk berhubung fokus Pas untuk memenangi 40 kerusi tidak ubah angan-angan Mat Jenin dan cuba menutup kebimbangan sendiri. Apakah asas keyakinan Datuk?

HUSAM: Pada tahun 2004, rakyat berasa euphoria, sebab terlalu lama berada di bawah pemerintahan seorang Perdana Menteri (PM) dan dalam tempoh 22 tahun itu, banyak berlaku konflik. Maka perasaan untuk meraikan perubahan itu wujud di kalangan rakyat dan membuatkan mereka memberi mandat terbesar kepada BN dengan keyakinan untuk menjayakan beberapa perubahan pentadbiran ke arah kebaikan rakyat.

Ini diikuti satu pengharapan yang sangat tinggi dan dalam masa yang sama PM membawa impian yang sangat besar termasuk janji-janji membaiki perjalanan pentadbiran negara, menghapuskan rasuah, pembaziran dan penyelewengan yang semua ini memberi faedah terbanyak kepada rakyat.

MINGGUAN: Jadi apa yang Datuk harapkan?

HUSAM: Termasuk dalam fikiran saya, tersirat satu harapan dalam sebahagian rakyat bahawa Perdana Menteri, Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mampu menyatukan dan membela orang Melayu.

Namun mandat besar membawa rasa selesa kepada kerajaan, pemimpin di semua peringkat. Apa yang dijanji tidak dilaksanakan. Contoh ketidaksamaan antara apa yang dijanji dengan apa yang dilaksanakan, kerajaan beri kenaikan gaji kepada kakitangan awam tetapi kemudian diumumkan VSS, wilayah pembangunan Iskandar yang meresahkan orang Melayu apabila dihadkan pemegangan aset dan tanah mula dijual kepada pihak Singapura.

Koridor Utara (NCER) hanya akan melebarkan jurang antara negeri apabila projek infrastruktur yang besar dibina di Pulau Pinang tetapi petani-petani Melayu hanya dijanjikan perkara yang subjektif seperti peningkatan hasil padi dan tiada penyelesaian tentang kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang.

Peningkatan gejala jenayah semakin membimbangkan sedangkan dua tahun setengah yang lalu ditubuhkan suruhanjaya yang memberi harapan kepada rakyat untuk melihat pasukan polis yang lebih baik.

MINGGUAN: Jadi Pas mengharapkan rakyat merasakan kuasa yang terlalu besar dengan kerusi yang banyak tidak menguntungkan lalu beralih sokongan kepada Pas?

HUSAM: Untuk menjadi pemerintah yang baik parti kerajaan tidak perlu undi yang terlalu banyak. Perlu ada check n balance yang lebih menyedarkan parti pemerintah dan kerajaan supaya bekerja lebih kuat dan hasrat rakyat dapat dilaksanakan.

Tetapi semakin jelas keadaan berlaku sebaliknya. Segala kepincangan hanya dapat dilaporkan di dalam blog. Lihat juga amalan Islam dan agama Islam semakin kencang dipersoalkan dan kerajaan tidak menunjukkan pendirian yang jelas dan tegas.

MINGGUAN: Di atas kepincangan yang digambarkan, mengapa Pas dan pembangkang tidak membayangkan kejayaan yang lebih besar, masih pada tahap pinggiran dan tidak untuk menguasai pemerintahan.

HUSAM: Fokus kepada 40 kerusi saya ibaratkan sebagai pendekatan yang merendah diri. Jika rakyat kata tidak cukup dan ahli kata mesti lebih, maka dia (rakyat) kena tingkatkan gerak kerja pilihan raya.
Sudah tentu Pas sendiri akan bertanding lebih daripada 40 kerusi. Cuma tumpuan diberikan kepada 40 kerusi. Dalam teori pengurusan, tumpuan boleh memberikan kemenangan.

Kedua saya tidak ulas persiapan parti lain. Saya hanya lihat skop parti saya, dan terserah jika rakyat nak beri lebih.

MINGGUAN: Apa ramuannya untuk menang kali ini bagi kerusi-kerusi sasaran?

HUSAM: Satunya pemilihan calon yang boleh memenuhi misi membawa pembaharuan pentadbiran iaitu calon yang boleh membawa suara rakyat dengan berkesan sebab itu mereka mestilah calon yang dekat dengan rakyat dan mempunyai kemampuan membawa suara tersebut.
Kedua, calon mesti ada kemampuan fikrah Islamiah yang syumul supaya kita boleh beri pendirian terhadap isu yang berlaku dalam kerajaan secara pandangan Islam yang kontemporari iaitu praktikal dan semasa.

Ketiga, mereka mesti mampu memberikan idea-idea yang baru. Persaingan kita dengan BN ialah persaingan idea, kita nak beri satu pembaharuan pentadbiran.

Maka sesetengah pihak merasakan ini satu gimik tetapi jika lihat balik statistik, ‘swing’ atau pusingan peralihan 15 peratus undi boleh berlaku. Sama ada sebahagian secara semula jadi atau sebahagian lagi berdasarkan pendekatan parti pembangkang. Dengan ‘swing’ 15 peratus pengundi BN, 40 kerusi bukan angan-angan.

MINGGUAN: Realitinya pada 1999 bila berlaku krisis di dalam UMNO, Pas hanya mampu memenangi 27 kerusi di Dewan Rakyat sedangkan sekarang tidak ada krisis. Bagaimana sasaran 40 kerusi mampu dicapai?

HUSAM: Saya rasa jika dikatakan kejayaan pembangkang hanya berdasarkan krisis parti lawan tidak terpakai sepenuhnya pada pilihan raya 1999. Membuktikan tidak semestinya hanya krisis, pencapaian pembangkang boleh melonjak naik.

Jika prestasi kerajaan lembap dan hilang hala tuju satu pengubahsuaian undi boleh berlaku. Dalam keadaan sekarang, kita ada mekanisme yang berada di luar kawalan kerajaan BN seperti Internet ( blog). Ini sumber maklumat baru untuk kita cuba keberkesanannya.

MINGGUAN: Sejauh mana pula persediaan Pas dalam mengatur barisan calon dan hubungan dengan parti pembangkang lain agar tidak bertembung?

HUSAM: Di beberapa negeri, banyak pembahagian kerusi telah selesai. Di Pahang, 90 peratus selesai bahkan diwujudkan jawatankuasa bersama PKR di bahagian dan mula bergerak. Di Perlis tak ada masalah begitu juga Terengganu. Alhamdulillah Pas telah panggil enam negeri berhubung persiapan pilihan raya iaitu Terengganu, Kedah, Perak, Perlis dan Selangor. Umumnya tidak banyak masalah berbangkit
Dalam konteks Kedah umpamanya BN tidak ada satu tokoh di peringkat Pusat. Pada awal dahulu Kedah ada Tunku Abdul Rahman Putra dan Tan Sri Mohamad Khir Johari disusuli Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini membantu BN mengekalkan kekuasaan di Kedah
Jadi jika Pas ada pendekatan tepat yang boleh dilaksanakan dalam konteks Kedah, perubahan boleh berlaku. Di Terengganu kita percaya ada sumber lain yang membantu sebelum ini.

Jadi dengan adanya kaedah celup jari (semasa mengundi) saya rasa setengah daripada strategi BN di Terengganu dapat dipatahkan. Dan keadaan di Terengganu akan kembali normal dengan undi rakyat sebenar yang bakal menentukan kemenangan BN.

MINGGUAN: Macam mana dengan DAP pula?

HUSAM: Ini pendapat peribadi saya… tak semestinya mengharapkan DAP semata-mata sebagai rakan, tetapi jika suatu masa Gerakan misalnya berminat dengan kita, kita tidak ada masalah. Jadi sekarang, kita hanya fokus pada medan kita. Medan orang, kita tak nak campur.

MINGGUAN: Datuk yakin pengundi bukan Melayu akan memberi undi lebih besar?

HUSAM: Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Tetapi suara untuk bawa perubahan demi kebaikan negara harus dikongsi bersama.

MINGGUAN: Perbezaan antara Pas dan BN semakin mengecil, sukar nak dibezakan dari segi kepimpinan dan melalui pendekatan. Mengapa Pas yang menganggap politik sebagai dakwah tidak boleh bergabung bersama UMNO bagi mengukuhkan agama dan bangsa?

HUSAM: Saya sebut masa Pak Lah mula-mula naik, orang Melayu menganggap beliau adalah ikon penyatuan Melayu yang salah satu ukurannya ialah layanan kerajaan pusat kepada Kelantan kerana Kelantan asasnya adalah Melayu.

Kalau kerajaan Pusat datang dalam cara untuk menawan Kelantan ‘by hook or by crook’ ini berlawanan dengan aspirasi rakyat sebelum ini. Jadi setakat hari ini orang Melayu tidak ada usaha kukuh untuk agenda orang Melayu.

Saya ambil contoh dadah, HIV dan AIDS. Dadah boleh membuatkan orang Melayu pupus. Ini isu dadah, ia soal moral. Jika tidak ada agenda terhadap dadah ini, ia akan menghapuskan masa depan orang Melayu. Jadi agenda Melayu bukan bermakna hanya Pas dan UMNO bersatu tetapi meliputi agenda yang lebih besar.

MINGGUAN: Pas takut tenggelam dalam gabungan itu sedangkan ia dikatakan mempunyai ramai cerdik pandai?

HUSAM: Pada pendapat saya, isu ini ialah satu perangkap untuk menyekat kemaraan Pas seakan-akan Pas perlu bergabung dengan UMNO sebagai agenda Melayu. Ia selalu ditonjol semasa pilihan raya.
Bagi saya, jika kita ada pasukan ahli Parlimen yang kuat, kita boleh beri sumbangan yang banyak kepada kebaikan orang Melayu dan negara keseluruhan.

MINGGUAN: Datuk gambarkan kekuatan Pas semakin memuncak tetapi sejarah pilihan raya di Kelantan sendiri menunjukkan ia hampir tumbang. Tidakkah sebenarnya wujud kebimbangan ketara bahawa Pas akan kehilangan kuasa di negeri ini?

HUSAM: kita ada kebimbangan dan harapan. Kita kena sentiasa bimbang, dan kebimbangan ini membuatkan kita bekerja lebih kuat dengan berusaha memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat melalui idea-idea baru.

Alhamdulillah Kelantan mendahului perubahan-perubahan dan hari ini pelbagai pihak melancarkan skim perlindungan insurans mereka hingga akhirnya UMNO negeri ini juga melaksanakan skim takaful mereka.
Kita ada beberapa cadangan lagi, antaranya memberi cuti prabersalin iaitu 15 atau 10 hari sebelum kelahiran kerana apabila semakin sarat, mereka semakin kurang berkeupayaan. Selain itu kita nak beri peruntukan di hospital bagi disalurkan kepada ahli keluarga pesakit yang miskin sebagai sara hidup sementara menanti pesakit di hospital dan pemberian subsidi gas memasak kepada rakyat bagi mengurangkan kos hidup.

MINGGUAN: Datuk dilihat seorang yang bakal pengganti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar jika Pas terus berkuasa, tetapi ramai yang berpendapat tanpa beliau, kesatuan dalam Pas negeri ini akan terburai.

HUSAM: Saya meletakkan kedudukan saya ditentukan oleh parti, walaupun saya ada hasrat untuk bertanding di luar Kelantan seperti di Putrajaya atau di Wangsa Maju. Saya nak bawa apa yang saya mampu tegur kerajaan dan idea-idea di peringkat Dewan Rakyat. Tetapi kalau parti kata, saya bertanding Parlimen atau tak payah bertanding, saya tidak ada masalah. Saya cari kepuasan kerja tanpa mengharapkan imbalan.

MINGGUAN: Ada pihak menggambarkan sudah mula berlaku perpecahan dalam Pas Kelantan dan akan serius selepas ketiadaan Nik Aziz dalam kepimpinan.

HUSAM: Saya sedikit pun tidak terganggu dengan spekulasi macam itu. Tidak perlu kita peduli pada spekulasi seperti itu. Dalam parti mana pun termasuk Pas, parti mesti berjalan terus biarpun pemimpin pergi. Dalam Islam, kita mesti terus berjuang selagi hidup.

RIAKSI ANUAR MUSA PULA
Angan-angan atau realiti?

\
DATUK SERI ANNUAR MUSA.

MUKADIMAH
Apabila Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengeluarkan kenyataan bahawa fokus Pas untuk memenangi 40 kerusi pada pilihan raya umum akan datang, ada yang berpendapat ia hanya gimik. Mereka berpendapat kenyataan itu untuk menutup kebimbangan tentang masa depan parti itu yang kian suram di samping meningkatkan moral jentera Pas.

Parti itu dikatakan hanya bergantung kepada Kelantan sebagai benteng terakhir bagi membolehkannya terus bernafas. Setelah tiga penggal, pengaruhnya berasaskan sokongan rakyat dalam pilihan raya didakwa semakin terhakis malah hampir tumbang.

Dalam temu bual dengan wartawan Mingguan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan HERMAN HAMID, Husam mengakui adanya kebimbangan di Kelantan.

‘‘Kita kena ada kebimbangan dan kebimbangan ini membuatkan kita bekerja lebih kuat,’’ kata Husam sambil menekankan pelbagai usaha dilakukan bagi terus memenangi hati rakyat. Beliau juga menjelaskan kenapa fokus untuk memperoleh 40 kerusi Parlimen itu bukannya angan-angan.

Tetapi bagi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa, beliau tidak yakin Pas mampu memperoleh kerusi yang banyak di Kelantan. Bagi kerusi Parlimen, beliau menjangkakan Pas hanya akan menang dua kerusi. Ini berdasarkan perubahan sikap rakyat di negeri itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah menyelesaikan banyak masalah di Kelantan dan naluri rakyat negeri itu ‘‘orang berbudi, kita berbahasa’’.

Justeru, bagi UMNO dan BN, Annuar melahirkan keyakinan untuk membentuk kerajaan di negeri itu. Malahan mereka sudah tidak sabar menantikan pilihan raya umum.

‘‘Saya sebut kepada Pak Lah, kalau boleh di pihak Kelantan, biar pilihan raya umum dipercepat. Kita sudah bersedia dan rakyat bersedia bersama kita,’’ kata Annuar.

MINGGUAN: Datuk Husam Musa baru-baru ini memberitahu bahawa Pas mampu untuk memenangi 40 kerusi Parlimen bagi pilihan raya umum akan datang. Apa pandangan Datuk Seri?

ANNUAR: Bagi orang yang mengenali cara Husam berpolitik, kita dapat fahami bahawa kenyataannya ialah 100 peratus kenyataan peribadi yang tiada kena-mengena dengan Pas. Ini terbukti apabila Presiden Pas dan Mursyidul Amnya memberi reaksi yang berbeza.

Ini yang saya sebut sebagai Husamisme. Husam suka menjadi ‘spin doctor’, spin sesuatu untuk mendapatkan reaksi tertentu tetapi pada masa yang sama kita boleh anggap sebagai perang psikologi kepada masyarakat yang Pas bukan kecil atau sudah nak mati.

Namun realitinya berlainan. Kenyataan itu sama seperti kata Abu Nawas ‘di sini tidak ada wang’, maknanya Pas mengeluarkan angka yang dalam sejarah parti itu tidak pernah capai. Ini mengesahkan Pas dalam keadaan terdesak, tidak yakin dengan kedudukan mereka.

MINGGUAN: Namun Husam tegaskan, fokus ini ada asas berdasarkan ‘mood’ rakyat kepada BN yang tidak sama seperti 2004.

ANNUAR: Itu asas subjektif yang tidak pernah ada sebarang bukti. Pembangkang pastinya timbulkan isu yang banyak. Tetapi realitinya, BN menang pilihan raya kecil secara bersiri, dalam kawasan Pas, UMNO, MCA dan MIC. Kebetulan pula pilihan raya kecil ini menjelang pilihan raya umum. Rumusannya kepimpinan PM terus mendapat endorsement rakyat.

Tidak dinafikan memang ada usaha mengecilkan PM. Masa penggal pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu juga sama bahkan bukan sahaja dari pembangkang tetapi dalam UMNO hingga berlaku pertandingan Timbalan Presiden. Sebagai orang lama, saya melihat penggal pertama Pak Lah adalah stabil dan berkembang baik dari segi ekonomi dan pentadbiran.

Pak Lah dapat meletakkan negara pada landasan yang betul. Dengan falsafah pendekatan Islam Hadhari dan tampil dengan RMK-9 dan rancangan pembangun koridor, segala-galanya tertib dan menampakkan hasil.

Jadi jika dulu feel good factor itu berdasar ‘euphoria’ Pak Lah baru ambil alih jawatan, dan sekarang feel good factor itu masih di situ berdasarkan relaiti sebenar. Pembangkang cuba timbulkan krisis, tetapi tidak ada krisis, cuba timbulkan polemik, juga tidak ada.

Pada saya kalau hendak dibandingkan, biar epal dengan epal. Nak banding Pak Lah dengan Dr Mahathir, biar banding penggal pertama masing-masing.

Yang jelas segala-galanya dilihat tenang dan diterima. Pas hatta Keadilan sekalipun tidak mepunyai banyak peluang. Sebab itu andaian mampu mencapai 40 kerusi Parlimen itu jauh panggang dari api.

MINGGUAN: Feel good factor kepada Pak Lah dilihat turut membawa kemenagan BN menang besar di Kelantan. Apakah faktor itu boleh terus bertahan?

ANNUAR: Feel good factor itu datang dalam bentuk berbeza. Tahun 2004 euphoria bertukar kepimpinan dan kelegaan orang yang marah kepada Dr. Mahathir yang sebelum ini pembangkang sedikit berjaya ‘mencederakan’ bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi feel good factor sekarang adalah hasil kepimpinan Pak Lah. Itu berbeza. Sekarang feel good factor ialah cara kepimpinan Pak Lah. Seperti rakyat merasakan sektor pertanian dan luar bandar dapat perhatian. Zon-zon yang tertinggal dapat keseimbangan, program pembasmian kemiskinan dipertingkatkan, kakitangan awam diberi keselesaan termasuk kenaikan gaji, keadaan kewangan dipulihkan, keyakinan pertambahan pelaburan asing langsung (FDI), ini perkara yang nyata di zaman Pak Lah.

Sebab itu jika kita banding tiga tahun pertama kepimpinan Pak Lah dan Dr. M, sekarang jauh lebih tenteram dan baik. Jadi dalam kedaan begini Pas susah untuk hadapi Pak Lah. Pas lebih mudah hadapi Dr. M.

MINGGUAN: Apakah serangan peribadi terhadap pentadbiran Pak Lah yang menjadi strategi utama pembangkang sekarang mampu memberi kesan kepada pengundi Kelantan yang bermastautin di luar negeri ini?

ANNUAR: Itu normal, pendekatan pembangkang memang begitu. Cuma kita kena ingat, sekarang ialah politik abad 21. Pengundi kita sebahagian besar berpendidikan dan cerdik pandai. Main politik dengan humban tuduhan yang tidak dapat buktikan, orang tidak akan percaya. Itu beza politik 20 tahun dulu.

Dan ini yang dihadapi Pas. Pendekatan Pak Lah lebih Islamik dan merendah diri. Apa benda yang orang tak suka pada Dr Maharthir buat, itu yang Pak Lah jadikan panduannya. Bagi saya Pas memang menghadapi masalah untuk ‘menyerang’ Pak Lah.

MINGGUAN: Bagi konteks pengundi luar yang dilihat lebih mudah cenderung kepada isu-isu nasional akibat serangan Pas ini, Datuk Seri lihat bagaimana?

ANNUAR: Berdasarkan lawatan ke universiti dan program dengan anak Kelantan di luar, suasana sangat berubah. Mereka ingin melihat Kelantan berubah dan mereka hargai pendekatan Pak Lah terhadap Kelantan.

Anak-anak Kelantan akan bersama-sama BN. Apa lagi isu yang cuba diada-adakan Pas bukan isu besar macam 1999 yang menggempur ibu kota hingga membawa versi KL ke kampung. Sekarang tiada situasi krisis. Jadi apa pertimbangan penduduk di luar? Mereka kini ghairah melihat pembangunan koridor pantai timur, anak-anak Kelantan di luar mahu lihat Kelantan lebih maju.

Berhubung stigma yang melihat Kelantan sebagai telah sebati dengan Pas hingga menyukarkan kerajaan Pas ditumbangkan?

ANNUAR: Ini tidak tepat, Pas perintah setelah UMNO berpecah. UMNO juga sebati dengan Kelantan. UMNO ditubuh di Kelantan lebih awal daripada Pas. Kemudian datang Pas, dan tiup api perpecahan. Bila orang Kelantan berpecah, masa itu masih sama kuat. Tetapi dalam UNMO pula berpecah. Perpecahan untuk berebut kerusi Menteri Besar cukup hebat. Ia berjaya diambil kesempatan oleh Pas.

Selepas beberapa penggal UMNO membina kekuatan akhirnya UMNO perintah balik. Maka jika kaji sejarah, Pas juga jatuh setelah mereka berpecah. Kalau Pas benar-benar kuat, dia tidak akan jatuh. Ini maknanya Pas dan UMNO sama kuat. Sebab itu dalam keadaan sekarang tiada siapa berani meramalkan. Sebab itu Husam buat kenyataan itu kerana dia sendiri tidak yakin pertahan kerajaan Kelantan. Dia sebut 40 tetapi hendak pertahan 23 kerusi yang ada itu dari segi psikologi.

MINGGUAN: Teori Pas dan pembangkang mengatakan putaran kekurangan kerusi BN setiap kali kemenangan besar seperti tahun 1995 akan berulang?

ANNUAR: Itu dikatakan pendelum. Namun soalnya sejauh mana. Pada dasarnya mungkin. Namun BN pastinya bersedia untuk pendelum itu. Kalau untuk kata teori pendelum betul semua, maka Pas tidak boleh bertahan sehingga 17 tahun atau BN tak boleh bertahan dari merdeka sampai sekarang. Kita boleh kontrol setakat mana ‘swing’ kalau ada. Kita boleh atasi. Kita ada kaedah.

Bagaimana pula dakwaan mengatakan rakyat tidak akan lagi mudah memberikan majoriti besar kepada BN?

ANNUAR: Mudah sahaja, bagaimana rakyat akan beri undi kepada Pas jika dia lihat Kelantan yang 17 tahun diperintah Pas. Apakah Kelantan dapat jadi negeri contoh? Jika Kelantan ekonominya meningkat, kadar kemiskinan kurang, FDI tinggi, pelancong bertambah, pendapatn per kapita penduduk tinggi dan ada banyak projek infrastruktur yang diusahakan kerajaan, mungkin Pas boleh dapat 40 kerusi malah boleh perintah Malaysia.

Tapi masalah Pas sekarang dia berlandaskan retorik dan slogan. Pengundi sekarang berpendidikan. Mereka boleh tengok di Kelantan. Projek kerajaan negeri macama mana? Saya boleh senaraikan berpuluh retorik Pas yang tidak dapat dilaksanakan. Apakah rakyat negeri lain nak ikut cara Pas di Kelantan?

Pas pernah mengakui kebimbangan di Kelantan menyebabkan mereka kini semakin berlumba membuat program untuk kebajikan rakyat. Datuk Seri lihat bagaimana pula ‘milleage’ ini untuk Pas?

ANNUAR: Terus terang saya seronok sebab dia kini bermain mengikut rentak kita. Yang kita khuatir dulu dia main isu agama, mengkafirkan, bagi barang, buat projek itu kebendaan, haram. Main snuker haram, judi. Sekarang dia juga beri barang, Nik Aziz pula nak rasmi snuker, mula berjinak dengan pertunjukan pentas, main dikir barat dan wayang kulit. Dari segi strategi, kita berjaya menarik Pas ikut rentak kita. Ini kerana dari setiap skop, apa yang kerajaan Pas ada kita ada.

MINGGUAN: Sejuah mana Datuk Seri melihat kekuatan Pas di Kelantan sekarang?

ANNUAR: Pas mempunyai sembilan kawasan yang menjadi kubu dia. Kita akui. Namun ada lebih 20 kerusi yang kekuatan antara BN dan Pas sama banyak. Kita ada 12 kerusi yang dia tidak dapat memecah kubu kita. Maknanya, sekarang ini apabila dia ikut rentak kita, dalam keadaan asas yang kita sama kuat, saya ramal kerajaan Pas akan tumbang. Ini menjadi sebab kenapa Nik Aziz tidak berani berundur walaupun dia sudah tidak boleh melaksanakan tugas Menteri Besar dengan baik. Prestasinya, undi popularnya, kesihatannya dan ketajaman fikiranya menurun. Dia duduk di situ dan lepas kepada anak buah untuk buat kerja. Kalau dalam UMNO pemimpin macam ini dah lama jatuh.

Kita boleh lihat indikator, perhimpunan yang kita buat tidak pernah menghadapi sebarang masalah. Suasana ini tidak berlaku suatu masa dahulu. Saya boleh banding bagaimana riak penerimaan rakyat pada 1990 dan 1995. Dulu kalau kereta bawa PM lalu orang Kelantan pandang sinis, sekarang saya iring PM lalu kedai kopi, orang dalam kedai kopi angkat tangan lambai kepada PM.
MINGGUAN: Kekuatan UMNO di Kelantan pula?

ANNUAR: Kekuatan UMNO yang pertama ialah perpaduan. Kekuatan selanjutnya ialah dasar semasa pendekatan Kerajaan Pusat terhadap Kelantan. Ini total 100 peratus perubahan kepada pendekatan yang dipakai pada masa Dr. Mahathir, Pak lah proaktif memberi keutamaan kepada Kelantan. Bulan ini sahaja tiga hari Pak Lah ke Kelantan, kita bawa masalah Kelantan, Pak Lah selesaikan. Naluri orang Kelantan, orang berbudi kita berbahasa. Orang Kelantan pantang dianiayai. Dan cara Pak Lah sangat lunak dengan nurani orang Kelantan. Insya-Allah dengan pelbagai lagi yang akan diumumkan di bawah koridor pantai timur ini akan meletakkan orang Kelantan dalam satu mood bergerak bersama Pak Lah dalam arus perdana.

Makanya jika pilihan raya diumumkan esok, apakah harapannya untuk BN di Kelantan?

ANNUAR: Prospeknya saya ramal kita akan bentuk dua pertiga majoriti. Pas akan pertahan mungkin kurang dari 10 kerusi. Saya sebut kepada Pak Lah, kalau boleh di pihak Kelantan, biar pilihan raya umum dipercepat. Kita sudah bersedia dan rakyat bersedia bersama kita dan apa yang kita bawa mendapat sambutan baik rakyat.

MINGGUAN: Ramalan 40 kerusi Pas itu?

ANNUAR: Saya ramal di Kelantan Pas hanya akan menang dua sahaja dan UMNO 12. Maknanya dia kena cari 38 lagi di luar Kelantan. Kerusi DUN kita akan dapat antara mungkin sekitar 33 dan 35.


0 Responses to “Wawancara Mingguan Malaysia dengan 2 Anak Musa.”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: