24
Aug
07

Takut berdialog: Muhammad memalukan Melayu Umno

Oleh Zulkifli MohamedLaman M@RHAEN


Akhirnya mahu atau tidak, Ketua Penerangan Umno Muhammad Muhd Taib telah memalukan ahli parti itu, apabila terpaksa akur yang beliau tidak mampu berdepan dengan para bloggers secara terbuka, walaupun sebelum itu beliau menyifatkan golongan tersebut sebagai pengecut.Sabtu lalu Muhammad nampak hebat apabila menuduh para bloggers pengecut kerana merahsiakan identiti dan mendaftar web mereka di luar negara, bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang tempatan.

Walaupun tidak menamakan bloggers terbabit, namun warga siber tahu, siapa yang dimaksudkan Muhammad.

Ekoran itu, pengendali web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin, mencabar Muhammad menganjurkan majlis dialog terbuka bersama beliau, di hadapan ahli-ahli Umno dan diadakan di bangunan Umno sendiri.

Bagaimanapun, Muhammad dilaporkan enggan berbuat demikian dengan alasan Raja Petra cuba mengalihkan isu sebenar.

Makna kata, bekas menantu Almarhum Sultan Selangor itu, seperti lain-lain pemimpin Umno bukanlah ‘sejantan’ seperti yang dianggap sebahagian ahli parti itu.

27 Julai lalu ahli Umno menggangap Muhammad sebagai ‘hero’ apabila membuat laporan polis terhadap Malaysia Today.

Malah ‘kejantanannya’ kononnya semakin terserlah apabila beliau berkata sanggup mati dibom demi mempertahankan Raja, agama, bangsa dan negara.

Rupa-rupanya apabila diuji, ‘jantan’ mereka hanyalah di kelompok penyokong dan nampak gah dalam media milik mereka. Apabila diajak berdepan secara terbuka mereka akan kecut dan menikus – tidak lebih dari itu.

Sebelum ini pun, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang disifatkan seorang pemimpin hebat oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Norza Zakaria, menikus seribu bahasa apabila dijemput berdebat oleh Pemuda PAS, selepas menantu Perdana Menteri itu berdegar-degar mempertahankan Malaysia sebuah negara Islam.

Itu bukannya kali pertama, Khairy dan pemimpin-pemimpin Umno lain menolak pelawaan debat terbuka daripada pihak yang bercanggah pandangan dengan mereka.

Muhammad salah seorang daripadannya. Beliau menolak cabaran Raja Petra dengan alasan pengendali web Malaysia Today itu cuba menutup ‘kesalahan besar’ yang kononnya menghina Yang Di-Pertuan Agong, Islam dan Melayu.

Bekas Menteri Besar Selangor, yang pernah menipu bapa saudara Raja Petra, Almarhum Sultan Selangor itu, berkaitan kahwin lari beliau dengan anakanda sultan di Siam, dilaporkan mencabar pula Raja Petra untuk mendaftarkan Malaysia Today dalam negara, sekiranya berani.

Tidak pasti, sama ada Muhammad membaca atau tidak artikel Raja Petra bertajuk “Muhammad son of Muhammad, I Accept!” yang menjelaskan beberapa perkara, termasuk ketidakberanian pelayar dalam negara menjadi hos Malaysia Today.

Sebagai menghormati Muhammad, yang dikatakan kurang mahir berbahasa Inggeris itu, Malaysia Today turut menterjemahkan artikel tersebut dalam bahasa Melayu, bertajuk ‘Muhammad anak Muhammad, saya terima!.’

Berbalik kepada alasan penolakan Muhammad, sebab itu, Raja Petra menawarkan batang tubuhnya yang tidak perlu didaftar di luar negara, untuk berdepan dengan pemimpin Umno secara terbuka di bumi Malaysia.

Sepertimana kata Raja Petra: “Saya akan tarik balik perlindungan yang ada pada saya dan biarkan saya diadili oleh kerajaan serta membenarkan apa juga bentuk tindakannya.”

Nah, peluang apa lagi Umno mahu. Rezeki terpijak jangan ditolak.

Malah, sekiranya perlu, Umno boleh menggunakan undang-undang zaman batu – ISA dan OSA, untuk menutup mulut celupar anak raja keturunan Bugis itu.

Muhammad tidak perlu lagi berdalih mencabar Raja Petra untuk mendaftar webnya di dalam negara.

Ini kerana beliau telah serahkan jiwa dan raganya untuk diadili secara terbuka di depan ribuan ahli Umno di kandang Umno sendiri.

Muhammad dan pemimpin Umno sepatutnya merebut peluang keemasan ini, menganjur majlis dialog tersebut untuk ‘membelasah’ Raja Petra dan para bloggers yang dikatakan menabur fitnah dan penakut itu.

Setidak-tidaknya pun, sekiranya Muhammad gentar berhadapan dengan bloggers, beliau boleh mengupah ‘cyber troppers Umno’ untuk mengambilalih tugas itu.

Jadi, tidaklah sepertimana kata web pro-Umno, yang semazhab dengan Utusan Malaysia, iaitu Agendadaily yang menganggap cabaran Raja Petra itu untuk ‘memerangkap’ Umno.

Yang pasti, penolakan Muhammad itu mengecewakan banyak pihak yang ingin melihat Ketua Penerangan Umno itu benar-benar jantan.

Kita berharap Muhammad pertimbangkan semula keputusannya. Jangan memalukan Melayu Umno!

Berita asal: http://malaysia-today.net/blog2006/beritankom.php?itemid=7502
24.08.2007


0 Responses to “Takut berdialog: Muhammad memalukan Melayu Umno”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: