24
Aug
07

Tuduhan ke atas Zakaria digugurkan

Oleh: SUHANA ABDUL MUTALIB

ZAKARIA MD. DEROS.

KLANG 24 Ogos – Mahkamah Majistret di sini hari ini menggugurkan kesemua 13 pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 yang sepatutnya dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros.

Selain itu, Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah turut membenarkan kesemua 39 pertuduhan terhadap tujuh pengarah lain dari syarikat yang sama digugurkan.

Permohonan menggugurkan kes itu dibuat oleh pegawai pendakwa kanan dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Azmil Haron setelah mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Julai lalu.

Bagaimanapun, Azmil tidak memaklumkan kepada mahkamah sebab pertuduhan tersebut digugurkan.

Antara pertuduhan yang sepatutnya dihadapi oleh Zakaria dan tujuh pengarah lain ialah mengikut Seksyen 169 akta tersebut iaitu gagal membentangkan akaun, Seksyen 120 (gagal memberitahu perubahan alamat), Seksyen 143 (gagal mengadakan mesyuarat tahunan antara 2002 dan 2005) dan Seksyen 165 (gagal menyerah penyata untung rugi).

Zakaria bagaimanapun tidak hadir pada prosiding hari ini dengan alasan seorang anggota keluarganya meninggal dunia di Melaka malam tadi.

Beliau diwakili oleh peguamnya, J. R. Samuel dan Mozmi Sham Ahmad.

Pada 20 Julai lalu, Zakaria yang sepatutnya didakwa atas 13 tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965, tidak hadir di Mahkamah Sesyen di sini bagi menghadapi tuduhan tersebut kerana berada di Indonesia.

Syarikat yang beralamat di Jalan Papan, Pandamaran Industrial Area Pelabuhan Klang, disaman kerana gagal menyerah simpan kepada pendaftar satu notis mengenai perubahan kedudukan pejabat berdaftar dalam tempoh sebulan selepas tarikh perubahan kedudukan.

Sementara itu, Mozmi ketika ditemui selepas itu enggan menyatakan punca pertuduhan digugurkan sebaliknya meminta pihak media tidak membesarkan isu tersebut dan menerima keputusan yang telah diputuskan oleh majistret.


0 Responses to “Tuduhan ke atas Zakaria digugurkan”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: