29
Aug
07

Merdeka: Antara pembohongan Umno-Khairy dan penjelasan Raja Nazrin

MENANTU Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin (yang pernah menyifatkan bloggers politik sebagai monyet) melompat lagi. Seperti biasa, apa pun kenyataannya – mungkin kalau dia terbatuk sekalipun – ia akan dijadikan berita utama (dan sering mengecewakan ketuanya, Hishamuddin Hussein) oleh akhbar-akhbar harian utama, khususnya Berita Harian dan New Straits Times.

Untuk kesekian kalinya Khairy melompat tinggi bagi menunjukkan dia pembela paling lantang apabila Umno-BN ditempelak. Ramai masih ingat gelagat “samsengnya” di depan khalayak elit politik semasa hari penamaan calon pilihan raya kecil Ijok tidak lama dahulu. Nampak dia begitu ghairah menunjukkan bahawa dialah orang yang boleh diharapkan untuk berdada dengan seteru politik Umno di medan paling depan.

Di Seremban semalam, Khairy berkata Pemuda Umno meminta semua pihak menerima hakikat bahawa program dan aktiviti yang dilaksanakan sempena sambutan kemerdekaan negara tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan BN. Tambahnya, sudah termaktub dalam sejarah bahawa kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah hasil perjuangan dan tuntutan yang dilakukan parti memerintah.

Keegoan Khairy

“Sejarah tidak boleh diubah bahawa parti yang menuntut kemerdekaan dan menjayakan kemerdekaan negara ialah parti memerintah iaitu Perikatan (Umno, MCA dan MIC) pada masa itu dan kini BN. Ketika itu di manakah parti pembangkang? Jadi, kemerdekaan negara sudah sinonim dengan parti memerintah dan kita tidak boleh pisahkan segala program kemerdekaan yang akan disambut Jumaat ini dengan parti memerintah,” katanya.

Saya rasa Khairy mungkin terkesan dengan tajuk utama muka depan Harakah terbaru: “MERDEKA JADI KEMPEN BN”. Harakah melihat sambutan 50 tahun merdeka bukan saja bertukar menjadi perayaan kempen besar-besaran (atas pembiayaan wang rakyat) untuk menayangkan “kehebatan” Umno, malah berdasarkan poster dan billboard raksasa yang terpampang di lokasi-lokasi strategik, seolah-olah yang mahu ditonjolkan ialah personaliti Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jelas, perancang kempen pilihan raya BN, khususnya “tukang putar” di belakang Abdullah, mahu menjadikan peristiwa sambutan merdeka besar-besaran ini sebagai salah satu “feel good factor” yang memungkinkan BN mengulangi kegemilangan 2004. Bagaimanapun, pada hemat saya, jika dilihat beberapa petunjuk, hasrat Abdullah untuk mengeksploitasi hari bersejarah itu tidak mudah dicapai. Rakyat tahu membezakan antara gemerlap silauan palsu dengan realiti kehidupan seharian yang semakin menekan. Beberapa propaganda murahan di tv, misalnya tayangan filem pendek terbitan Umno Malaysia melalui TV3 malam 28 Ogos, bagi saya, langsung tidak membekas.

Harakah turut memetik kenyataan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang menyifatkan sambutan merdeka tahun ini umpama hari ulangtahun Umno. “Kalau begini cara sambutannya, saya tidak akan merayakan Hari Kemerdekaan,” katanya. Tinjauan rambang menunjukkan rakyat Malaysia begitu keberatan mengibarkan Jalur Gemilang terutama pada kereta masing-masing, dan tahun ini mencatatkan rekod terburuk dalam sejarah walaupun sepatutnya ia paling meriah dirayakan. Masakan tidak, ada pihak berasa mengibarkan bendera Malaysia seumpama memasang bendera Umno!

Mungkin ramai sudah muak dengan karenah Khairy yang dilihat licik mencari publisiti murahan, dan mereka ini tidak mahu media alternatif seperti Harakah dan Harakahdaily terikut-ikut dengan rentak tari Naib Ketua Pemuda Umno itu. Apabila selalu sangat kita memberi respons terhadap kenyataan liarnya, bermakna kita turut sama mempromosi nama Khairy dan ini memang digemarinya pun.

Umno hijacked perjuangan kemerdekaan

Namun, merujuk isu kemerdekaan, singgungan Khairy itu perlu dijawab. Rakyat wajar diingatkan bahawa pihak yang mahu mengubah sejarah adalah pemimpin Umno, yang terbukti hijacked perjuangan kemerdekaan di saat-saat akhir selepas mendapat restu British dan rela mempertaruhkan maruah orang Melayu. Kini, segala-galanya yang berkaitan dengan usaha menuntut kemerdekaan mahu dibolot Umno seolah-olah pihak lain langsung tidak memberi sumbangan apa-apa.

Sekali lagi saya sarankan agar kita meneliti pembentangan sejarah oleh Jabatan Arkib PAS yang kami siarkan secara bersiri dalam Harakahdaily ini, sebagai satu usaha kami mendedahkan perjalanan sebenar satu proses panjang menyingkirkan penjajah. Oleh kerana fakta-fakta ini sukar ditemui dalam rujukan rasmi, terutama teks sekolah, maka satu perancangan besar mesti diusahakan supaya rakyat terbanyak dapat mengetahuinya melalui saluran alternatif. Pihak oposisi, khususnya PAS, perlu melipatgandakan lagi gerak kerja, dengan pelbagai pendekatan, bagi menyakinkan masyarakat bahawa banyak kecacatan sejarah yang belum dibetulkan.

Kemunculan Hizbul Muslimin (Parti Orang-Orang Muslimin Malaya) pada 17 Mac 1948 yang digerakkan oleh Ustaz Aby Bakar al-Baqir, Mudir Maahad Ehya As-Shariff, di Gunong Semanggol, Perak membawa mesej jelas untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, selain bertujuan membentuk negara Islam sejagat dan mewujudkan Tanah Melayu sebagai sebuah negara Darul Islam.

Sebelum itu, Parti Kebangsaaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan, juga untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu, dan turut memainkan penting dalam penubuhan Umno pada 11 Mei 1946. Pembabitan PKMM – yang memperjuangkan kemerdekaan penuh itu – dalam Umno ternyata amat membimbangkan British sehingga Dato Onn Jaafar didesak penjajah supaya memutuskan hubungan Umno dengan PKMM, dengan sengaja mencari helah untuk bertelingkah dengan PKMM berhubung dengan lambang bendera Umno.

Sengaja saya tekankan peranan Hizbul Muslimin kerana PAS yang ditubuhkan pada 1951 sering dianggap sebagai mewarisi intipati perjuangannya apabila ia diharamkan, dan para pemimpinnya ditahan, beberapa bulan selepas perisytiharan darurat pada 18 Jun 1948. Turut sama diharamkan ialah PKMM dan beberapa pertubuhan lain. Dalam kekosongan itulah, antara tahun 1948 hingga 1951, ketika para pejuang bangsa, terutama dari kalangan ulama dan golongan kiri, dikurung penjajah British, Umno memperkukuhkan tapaknya tanpa sebarang saingan daripada parti-parti lain.

PAS warisi perjuangan Hizbul Muslimin

Menurut catatan seorang profesor sejarah: “Dalam waktu singkat Hizbul Muslimin menunjukkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan semua badan politik dan bukan politik di Tanah Melayu yang mana kegiatan dan perlembagaannya selari dengannya. Ia dengan lantang menegaskan adalah haram untuk berada di bawah tindihan penjajah dan ini cukup membimbangkan British. Memang menjadi dasar British untuk menghapuskan sebarang gerakan berunsurkan agama, memperjuangkan kemerdekaan dan semangat Pan-Islamisme. Malayan Security Service (MSS), sebuah badan risik British dalam laporannya, Political Intelligence Journal, Januari – Ogos 1948, kepada Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, mengesyorkan supaya badan seumpama itu diawasi.”

Catatan sejarah membuktikan bahawa meskipun berbeza pendapat berhubung dengan corak kemerdekaan yang mahu dituntut, PAS tidak mengkhianati atau menghalang usaha-usaha Perikatan yang mahu mencari jalan mudah mencapai kemerdekaan dengan British. PAS, misalnya, memberikan sokongan sepenuhnya terhadap rombongan Tunku Abdul Rahman, Presiden Umno ke London pada bulan September 1953.

Sebelum itu, para ulama di seluruh negara, mengerahkan anak-anak murid mereka untuk bersama-sama Dato Onn bangkit menentang Malayan Union, tanpa mengambil kira siapa yang akan mendapat laba besar selepas penjajah diusir. Jika tok-tok guru ini tidak memanfaatkan rangkaian mereka di segenap pelosok, masakan Dato Onn mampu mendapat sokongan di ceruk-ceruk kampung memandangkan beliau datang daripada keluarga elit yang terpisah dengan ratap tangis derita umat di peringkat bawahan.

Usah kita ulangi bicara tentang peranan besar parti-parti selain Umno, sama ada parti Islam, golongan nasionalis mahupun kelompok kiri, malah, seperti catatan Ahmad Boestamam, dalam bukunya Lambaian dari Puncak, ketika beliau ditahan British kerana penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda semasa berumur 21 tahun, golongan pelacur turut membantu perjuangan Ibrahim Yaakob, Ketua KMM, bagi menentang penjajah. Mereka turut ditahan bersama Boestamam dan ditempatkan di penjara Singapura.

Pelacur turut bantu memerdekakan negara

Apabila Boestamam menyoal wanita-wanita malang itu, mengapa ditangkap, mereka menjawab: “Kerana kami orang Berahim Yaakob.” Namun mereka tidak pula menjadi anggota KMM. “Kalau tidak, kenapa ditangkap,” soal Boestamam. “Kami menjadi pengintip rahsianya. Kami kenal baik dengan Berahim Yaakob, malah rapat dan mesra. Sewaktu meladeni asakar-askar Inggeris yang hendak memuaskan nafsu mereka dengan kami, dia meminta supaya kami mengorek rahsia mereka, seperti berapa ramai jumlah mereka, di mana kubu mereka di seluruh negara, dan banyak lagi,” jawab wanita berkenaan sambil menjelaskan mereka melakukannya di hotel-hotel di Kuala Lumpur.

Kisah penghujung usia seorang pejuang kemerdekaan tulen, bekas Yang Dipertua PAS dan sebelumnya ketua PKMM, Dr Burhanuddin al-Helmy (yang disifatkan pegawai perisikan British sebagai “Ghandi of Malaya) lain pula tragisnya. Sudahlah segala jasanya tidak dikenang kerajaan Perikatan, beliau ditahan tanpa bicara hampir lima tahun. Ramlah Adam merakamkan keadaannya semasa dalam tahanan yang seterusnya membawa kepada kematian Dr Burhanuddin. Sengaja dinukilkan kembali kisah pilu ini untuk melihat bagaimana kerajaan Perikatan ketika itu sanggup memberi layanan tidak berperikemanusiaan kepada seorang insan pejuang begitu dikenali sikapnya yang cukup berhemah dan paling bersopan santun.

“Beliau tidak seperti Ahmad Boestamam, tidak menggunakan masa itu (dalam tahanan) untuk menulis memoirnya, tetapi lebih banyak menumpukan masa untuk beribadat, mengaji al-Quran dan membaca kitab-kitab serta buku falsafah. Beliau sentiasa tersenyum dan menyerahkan diri kepada Allah. Penyakit asma yang agak teruk menghalangnya menulis.

“Kesihatan Dr Burhanuddin sangat terganggu kerana penahanannya itu. Beliau tidak begitu selesa dan kurang tidur. Tembok batu yang sejuk, yang sentiasa menemaninya, mengekang perasaan dan badannya. Beliau juga mula diserang penyakit batu karang. Beliau sentiasa diganggu ketika membuang air kecil; selalu dikatakan ada orang ingin berjumpa dengannya dengan segera. Ini membantutkan hasratnya. Oleh sebab ini terlalu kerap dilakukan terhadapnya, timbul satu rasa takut dalam dirinya, sehingga sangat sukar sekali untuk beliau membuang air kecil, sehingga memudaratkan kesihatannya. Beliau juga tidak selesa dengan keadaan bilik tahanannya yang meletakakan tandas di dalamnya. Ini merunsingkan beliau untuk melakukan ibadat. Ini mungkin satu strategi untuk melemahkan keimanan dan ketahanannya sebagai pemimpin PAS.

Dr Burhanuddin dizalimi penjajah baru, Perikatan

“… itu menjadikan beliau sangat uzur. Beliau kerap dimasukkan ke Hospital Taiping awal 1969. Beliau lebih banyak menghabiskan masanya dengan membaca akitab dan mengaji al-Quran walaupun berada di katil hospital. Sembahyang lima waktu tidak pernah ditinggalkannya, namun bicara soal politik dana ilmu tasawuf juga tidak diketepikannya. Akhirnya kerajaan membebaskannya. Namun beliau tidak menandatangani surat pembebasan itu kerana beliau percaya beliau tidak bersalah. Pembebasan itu tidak bermakna baginya. Keadaannya terlalu uzur dan masih terlantar di hospital. Sebulan kemudiannya pada 10 Oktober 1969, Allah menjemputnya untuk bersemadi di alam baqa. Tidak ada penghormatan negara untuknya.”

Dr Burhanuddin yang dikenali lemah-lembutnya itu, seperti dalam catatannya sendiri, ketika ditahan pada Januari 1965 disoal-siasat secara tidak beradab, bermula jam 9 pagi sehingga 12 malam atau lebih. “Setiap hari sekurang-kurangnya saya digari sebanyak enam kali. Bilik kurungan lokap tidak cukup angin menyebabkan saya susah hendak bernafas. Kelemasan menyebabkan saya sakit dada dan terasa panas pada pembuluhan nafas dan paru-paru. Sepanjang ditahan hingga berbelas kali saya diserang penyakit lelah. Satu hari doktor memberitahu bahawa dalam tubuh saya kekurangan air. Air liur saya pekat dan mulut kekeringan kerana saya hanya diberi minum secawan teh pagi, secawan air panas masa makan tengahari dan malam.

“Yang mengazabkan saya adalah susah hendak buang air besar dan buang air kecil. Saya tidak diberi memakai kaca mata padahal dari umur 15 tahun saya telah berkaca mata. Saya tidak diberi sabun. Saya tidak diberi berus gigi. Saya tidak dibenarkan membaca al-Quran,” tulis Dr Burhanuddin dalam catatan peribadinya, yang kini dibukukan oleh Saari Sungib, “Hari-Hari Aku Dizalimi”. Beliau mengaku pernah diancam untuk dibogelkan oleh pasukan SB semasa soal siasat. Ingat, segala penganiayaan ini bukan dilakukan semasa era penjajah, tetapi di bawah kuasa Perikatan, yang begitu dibanggakan peranan mereka dalam menuntut kemerdekaan, oleh orang seperti Khairy.

Kisah pahit getir perjuangan seorang lagi nasionalis Melayu, Mustapha Hussain, bekas Naib Presiden KMM, yang kemudiannya hanya kalah satu undi kepada Tunku Abdul Rahman dalam pemilihan Yang Dipertua Umno bagi menggantikan Dato Onn, boleh turut dikongsi rasa melalui rakaman anaknya sendiri, Insun Sony Mustapha dalam buku terbitan DBP.

Khairy sibuk tebalkan tabungan peribadi

Mungkin Khairy begitu sibuk memperkasakan kedudukannya untuk mengisi tempat Hishamuddin nanti, atau dia dikhayalkan dengan “tugas penting” mengagihkan projek-projek berbilion ringgit untuk kroni, selain menebalkan tabungan peribadi menabur umpan membeli undi, sehingga tidak sempat membaca karya sejarah sebenar perjuangan bangsa.

Saya cuba membataskan catatan ini agar tidak melalut untuk sekali lagi memperincikan detik-detik penting sejarah yang cuba dipesongkan itu. Kesombongan Khairy yang mahu memperlecehkan sumbangan pembangkang bukan reaksi mengejutkan, malah itulah yang mahu disumbatkan Umno ke dalam minda rakyat. Budaya mahu memonopoli segalanya untuk diri sendiri adalah lumrah Umno. Lihat sajalah, misalnya slogan “sifar pembangkang” di Selangor, “lautan biru” di Terengganu, adalah manifestasi keegoan Umno untuk berkuasa mutlak, sambil menganggap kritikan dan teguran adalah suara-suara subversif yang mesti dihapuskan.

Saya tidak pasti berapa banyak dana awam dan wang pembayar cukai yang dihanguskan dalam sambutan mega ini. Umno yang hidup dengan wang rasuah kelihatan cuba tidak menggunakan tabung pilihan rayanya apabila mengambil kesempatan menukar perayaan negara menjadi kempen BN dan penonjolan imej Abdullah. Dalam tulisan sebelum ini saya mengaitkannya dengan beberapa billboard tertentu, yang sudah tentu dibiayai duit rakyat. Ini sebenarnya menambah-panjangkan senarai salahguna kuasa, tetapi sedihnya ia diterima sebagai satu kelaziman.

Membebaskan minda rakyat yang terpenjara

Khairy dan kelompok yang menguasai singgahsana kuasa sememangnya sentiasa mempastikan media dan saluran maklumat rasmi hanya menyiarkan bahan yang selari dengan keyakinan palsu mereka. Pembohongan demi pembohongan adalah basahan bibir mereka. Mereka langsung tiada rasa malu untuk mendakwa sesuatu yang sebenarnya bukan milik mereka. Ia bukan hanya berlegar di sekitar perjuangan kemerdekaan generasi awalan dahulu, malah fakta yang terbentang di depan mata pun mahu diselewengkan jika ia tidak menguntungkan mereka.

Perjuangan membebaskan minda rakyat yang terus terkepung dan terpasung ini menagih pengorbanan luar biasa. Jika bapa-bapa kita dahulu menggadai kehidupan dengan menempuh seribu satu kepayahan dan keperitan, berdepan tekanan penjajah dan kemudiannya dizalimi anak-anak warisan penjajah, maka amatlah malu kita, generasi yang mengaku untuk turut serta “menyelamatkan Malaysia” hanya pandai berteori, bermuzakarah dan berdiskusi.

Penjajahan bentuk baru di bawah Abdullah Ahmad Badawi – yang dibantu (diperkudakan) rapat Khairy dan sekutunya dalam Umno-BN – mesti dipecahkan. Anak-anak kita di kampus-kampus 20 IPTA harus dibebaskan, bukan saja daripada kongkongan Akta Universiti dan Kolej Universiti, malah daripada pelbagai “peraturan gila” yang “tidak masuk akal”. Begitu juga dengan kakitangan awam yang dibisukan, peniaga dan kontraktor kecil yang dilekakan dengan seribu satu harapan sambil pada masa sama diugut, dan tidak lupa buat ahli-ahli Umno yang makin menikus hanya untuk mengharapkan sekelumit habuan.

Khairy boleh datang dan pergi, namun tradisi memperbodohkan minda rakyat sudah menjadi warisan penguasa. Secebis kecil usaha Harakahdaily untuk mengisahkan liku-liku perjuangan kemerdekaan tidak akan berhasil jika ia terhenti setakat ini. Pendemokrasian maklumat dan fakta sejarah mesti merakyat. Ia tidak harus tinggal bisu dan kaku di khutub khanah yang sememangnya jarang dikunjungi awam. Ahli-ahli sejarah juga harus turun membantu. Pembohongan ini mesti dileburkan, dan ia tidak boleh sama sekali terhenti setakat ini.

Dan kami cuba melakukannya bersama anda sekelian.

Penyejuk mata dari Istana Perak

Alhamdulillah, tika mana pimpinan muda Umno seperti Khairy melompat menyanggah fakta, titah dari Istana Perak menyejukkan dada. Semasa berucap pada majlis muzakarah ulama 2007, di Ipoh, 5 Julai lalu, Raja Nazrin menegaskan, pengiktirafan negara kepada bangsa harus mengatasi premis politik kepartian kerana negara bangsa yang menghargai sejarah bangsa akan dapat mencipta sejarah bangsa yang lebih gemilang.

Selain menamakan beberapa institusi pendidikan seperti Maahad al-Ehya as-Shariff, Madrasah al-Idrisiah Padang Rengas, MCKK dan Kolej Perguruan Sultan Idris, baginda turut menyebut nama Dr Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Baharuddin Abdul Latif (bekas Setiausaha Agung PAS) dan Dr Zulkifli Muhammad (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) sebagai tokoh-tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa.

Ingatan Dr Muhammad Nur Manuty dalam seminar kemerdekaan anjuran Lujnah Penerangan PAS baru-baru ini elok untuk direnungi juga: “Dapatkah bangsa kita bangun menjadi satu bangsa yang maju, bermoral tinggi serta bermaruah jika sejarah perjuangan dan makna kemerdekaan masih tidak difahami dengan betul serta direalisasikan sepenuhnya dalam kehidupan seharian?”

Bersambung …


0 Responses to “Merdeka: Antara pembohongan Umno-Khairy dan penjelasan Raja Nazrin”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: