30
Aug
07

Jeanne usahakan kebun ulam-ulaman di Seri Perdana

KUALA TERENGGANU 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah meminati bidang pertanian terutama produk buah-buahan dan sayur- sayuran. Menurutnya, disebabkan minat itu Jeanne mengusahakan kebun ulam-ulaman di Seri Perdana, Putrajaya.

‘‘Allahyarham Datin Seri Endon dulu minat batik, songket dan kraf tangan tetapi Jeanne suka pertanian, sayur-sayuran dan buah-buahan.

‘‘Di Seri Perdana kami pun ada kebun tetapi kebun yang dipilih ialah kebun ulam-ulaman,” kata Abdullah sambil berseloroh ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 di Dataran Batu Burok di sini hari ini.

Bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau turut mengamalkan dasar Kepimpinan Melalui Teladan, Abdullah berkata, beliau turut menanam buah-buahan ‘rock melon dan ‘golden Langkawi’ secara fertigasi.

Perdana Menteri berkata, beliau juga membela dua ekor kambing yang dihadiahkan kepadanya di kampungnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

‘‘Dahulu saya galakkan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) perbanyakkan ladang kambing Boer dan dia sedang usahakan kerana kambing itu jenis baik dan cepat membesar.

‘‘Saya pun ada kambing Jamnapari, depa bagi dua ekor. Saya hantar balik ke Kepala Batas suruh Shariff Omar (Timbalan Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani) jaga. Saya pun lama tak tanya khabar tentang kambing itu.

‘‘Selepas itu saya teringat, apa khabar kambing saya, berapa ekor anaknya. Saya tanya Datuk Osman Desa, Setiausaha Politik saya, dia senyap membisu. Saya tanya, Man dengar tak saya tanya, dia jawab dengar Datuk Seri.

‘‘Saya tanya habis kenapa tak jawab, dia kata susah sikitlah Datuk Seri… kambing Datuk Seri orang curi. Saya kata kambing Perdana Menteri pun kena curi, macam mana ini?” kata Abdullah sambil disambut dengan hilai tawa kira-kira 10,000 hadirin.

Bagaimanapun, Abdullah memberitahu, kambing tersebut telah diganti dan kini sudah mempunyai 10 ekor anak.

Sebelum itu, Abdullah yang tiba di Terengganu pagi ini diberikan sambutan meriah termasuk diiringi 50 motosikal berkuasa tinggi, 50 beca berhias, paluan gendang kaum Cina dan India serta muzik rodat.

Bertemakan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’, sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 diadakan selama seminggu bermula dari 27 Ogos sehingga 2 September ini.

Majlis penutup program itu akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 September ini.


0 Responses to “Jeanne usahakan kebun ulam-ulaman di Seri Perdana”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: