31
Aug
07

Merdeka: Belum pun miliki kuasa Umno Kelantan tunjuk ‘belang’

KOTA BHARU, 31 Ogos (Hrkh) – Belum pun diberi peluang rakyat mentadbir Kelantan, Umno yang diketuai Dato’ Seri Annuar Musa sudah menunjukkan segala kuasa dimilikinya.Malam tadi sambutan ambang merdeka di Kelantan diadakan di dua tempat berasingan. Satunya dianjurkan Umno di atas nama Majlis Kemajuan Negeri di Dataran Warisan Kada, Kok Lanas.

Dan satu lagi sebagaimana lazimnya dianjurkan kerajaan negeri bertempat di Stadium Sultan Mohammad Ke IV.

ImageSedangkan di negeri-negeri lain, sambutan ambang merdeka hanya dianjurkan kerajaan negeri. Manakala di peringkat persekutuan diadakan di Dataran Merdeka yang menyaksikan banyak bendera Umno dan parti-parti kompenan lain Barisan Nasional dikibarkan.

Kalau pada awal 1990-an, ada pihak yang tergamak menabalkan raja lain juga tidak jauh dari Kok Lanas, mungkin semata-mata mahu mempamerkan kuasa dimilikinya tanpa batasan.

Dan hari ini situasi hampir serupa berlaku. Malah mengikut sumber kira-kira RM1 juta ‘wang rakyat’ dibelanjakan pada program anjuran Umno tersebut.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, agak tidak manis Umno menganjurkan program tersebut kerana kerajaan negeri sudah diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah sambutan Ambang Merdeka.Image

“Ini belum lagi mempunyai kuasa sudah hendak menunjukkan sesuatu yang tidak pernah orang lain lakukan sebelum ini. Kelihatan seperti kerajaan dalam kerajaan.

“Bagi saya tidak manis sama sekali kerana difahamkan bukan sedikit duit yang dibelanjakan bagi penganjuran program terbabit,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Stadium Sultan Mohammad Ke IV di sini, hari ini.

Sebelum itu diadakan perarakan kontinjen daripada sekolah-sekolah, jabatan kerajaan negeri, jabatan kerajaan pusat, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, institusi pengajian tinggi dan pasukan berpakaian seragam.

Selain itu turut diadakan perarakan motosikal klasik, vespa, kenderaan milik agensi kerajaan dan kelengkapan senjata milik Angkatan Tentera Malaysia.

Malam tadi Umno Kelantan menganjurkan sambutan Ambang Merdeka di Dataran Warisan Kada yang diketuai Annuar. Pelbagai acara diadakan termasuk perarakan gajah, kuda, kereta berhias dan persembahan artis.

Kawasan itu yang terletak di tepi laluan utama Kota Bharu – Machang menyebabkan kesesakan teruk kerana lokasinya agak sempit. Banyak kereta terperangkap kerana jalan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada perarakan yang diadakan.

Pada peringkat awal Umno Kelantan menguar-uarkan kira-kira 100,000 orang akan hadir pada program tersebut. Bagaimanapun mengikut laporan akhbar hanya 10,000 hadir malam tadi.

Sedangkan sepanduk, banting dan risalah diedar ke seluruh Kelantan sehingga menggelamkan sepanduk pihak lain.

Manakala di Stadium Sultan Mohammad Ke IV, sambutan ambang merdeka diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias.

ImageTiada persembahan artis di stadium kecuali nasyid, dikir barat dan pembacaan puisi yang mampu menarik lebih 10,000 penduduk tempatan.

Malam sebelumnya diadakan syarahan mengenai peranan ulama ketika menuntut kemerdekaan di Balai Islam, Lundang. Ia dianjurkan kerajaan negeri.

Perarakan kemerdekaan yang diadakan di Jalan Mahmoood pagi tadi dipenuhi ribuan penduduk tempatan. Pada perarakan itu kontinjen terbaik bagi kategori sekolah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat.

Kategori jabatan kerajaan negeri dimenangi kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, kategori Jabatan Persekutuan (kontinjen Pejabat Pelajaran Negeri), penguasa tempatan (kontinjen Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam), kategori pejabat tanah dan jajahan dimenangi Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu.

Badan berkanun persekutuan dimenangi (Kesedar), pertubuhan sukarela (Kesatria Negara Batalion 4, UiTM), swasta (Tenaga Nasional Bhd), institusi pengajian tinggi (UiTM) dan pasukan berpakaian seragam (Jabatan Penjara).

Johan keseluruhan bagi kategori pakaian terbaik dimenangi kontinjen Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, manakala Kesedar menjadi juara kontinjen terbaik perarakan.

Program itu dihadiri pemimpin-pemimpin kerajaan negeri, Adun, pegawai kanan kerajaan negeri dan pusat. Bagaimanapun tidak kelihatan wakil rakyat BN. – mj


0 Responses to “Merdeka: Belum pun miliki kuasa Umno Kelantan tunjuk ‘belang’”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: