31
Aug
07

Sambutan di ambang 31 Ogos: Tanpa malu, Umno jajah Dataran Merdeka!

Ahmad Lutfi Othman

Ketika saya dan Pengarang Harakah, Taufek Yahya memikirkan tajuk muka depan Harakah keluaran 1-15 September 2007, ada tiga tajuk yang kami bincangkan, iaitu “Sambut Merdeka Untuk BN”, “BN Rampas Sambutan Merdeka”, dan “Merdeka Jadi Kempen BN”.

Apabila kami memilih “Merdeka Jadi Kempen BN”, tidak terlantas langsung bahawa sambutan Di Ambang Kemerdekaan malam tadi akan menjadi lebih buruk, sarat dengan propaganda murahan BN (dulunya Perikatan) dan begitu meloyakan.

Malah, bagi saya, sambutan yang dianggap paling gemilang itu (dan pastinya paling banyak menghanguskan wang rakyat walhal ia tidak dapat menyemai semangat patriotisme warga) akan dikenang sebagai acara yang sebenarnya dianjurkan oleh parti pemerintah (dan bukannya kerajaan) untuk berkempen politik menjelang pilihan raya umum ke-12, tetapi dengan menggunakan dana dan kemudahan awam.

Menjelang Maghrib semalam, ketua pemberita Harakah, Wan Nordin Wan Yaakob menghantar SMS kepada saya, maklumkan gelagat dan aksi hadirin yang mula memenuhi Dataran Merdeka. “Di antaranya, Puteri Umno yang bergurau-senda dengan anggota Pemuda, tampar menampar, tidak hormat langsung azan,” SMS Nordin dipetik.

Ia tentulah langsung tidak mengejutkan kita, apatah lagi mutakhir ini pelbagai gosip tentang perlakuan “luar batas” wakil rakyat Umno, baik lelaki mahupun wanita, heboh diperkatakan. Dan masyarakat umum pun sudah “mangli” dengan hal berkenaan.

Beberapa rakan Pemuda Umno juga agak kerap “membuat lawak kotor” perihal hubungan mereka dengan anggota Puteri, terutama semasa kempen-kempen pilihan raya kecil.

Apa pun, ketika menyaksikan lintas langsung dari Dataran Merdeka, sebelum ketibaan tetamu kehormat, darah saya mula menyirap. “Apa sudah jadi ni? Sambutan merdeka atau perayaan Umno?” Jerkah saya apabila nampak bendera Umno berkibaran di mana-mana, memenuhi padang, sambil bendera dua lagi parti utama komponen BN, iaitu MCA dan MIC kelihatan beriringan.

Anggota Putera, Puteri dan Wanita Umno berpakaian rasmi parti, seolah-olah suasana perhimpunan agung Umno di PWTC. Begitu juga dengan rakan-rakan sejawat mereka dalam MCA dan MIC. Wahhh … mudah sekali “Perikatan” hijacked sambutan merdeka selepas segala fakta sejarah menyingkirkan penjajah British diputar-belitkan.

Mata saya berbinau-binau melihat panji-panji tiga parti berkenaan melingkungi lokasi strategik, bukan kerana marah di atas sentimen politik kepartian, tetapi jelak dengan sikap penguasa yang begitu rakus-tamak memanipulasi apa jua keadaan untuk kepentingan mereka. Bagi saya, ini satu penyelewengan dan salah guna kuasa yang cukup ketara.

Belum cukupkah dengan senarai panjang korupsi Umno-BN memilikpartikan segala kemudahan, jentera dan dana awam? Belum puaskah dengan komisyen politik (rasuah) atas setiap projek “pembangunan”, daripada projek potong rumput, papan tanda jalan hinggalah kepada pembinaan Istana Negara baru dan Port Klang Free Zone?

Ya, kalaupun mahu berkempen, bersikaplah bagai anak jantan, guna peruntukan parti sendiri (itupun pastinya dikumpulkan melalui tebaran rangkaian korupsi yang makin canggih).

Isteri saya yang ada di sebelah hampir tersedak. “Sabarlah bang, bukankah dah jangka dulu lagi?” katanya cuba menyejukkan gelora di dada saya. Beliau mungkin merujuk kenyataan Rais Yatim – menteri yang bertanggungjawab mengendalikan acara sambutan merdeka – tidak lama dahulu, yang menjelaskan bahawa parti-parti di bawah Perikatan yang kononnya bertanggungjawabkan memerdekakan negara akan diberi penghormatan khusus.

Nurin, anak bongsu kami, riang apabila melihat sausana di Dataran Merdeka. “Nurin nak pegi, nak pegi …,” sambil menunjuk kaca tv, mungkin mengingatkan kami baru saja membawanya ke sana, tiga malam lalu, ketika persiapan akhir sibuk diatur.

Abangnya, Umar Mukhtar menyampuk: “Tak baik ke sana Nurin, itu tempat Umno.” Biarpun baru sembilan tahun, Umar mempunyai tanggapan negatif terhadap apa saja yang dikaitkan dengan Umno.

Baru-baru ini, Umar bertanya saya: “Ayah, mengapa orang perempuan Umno jarang pakai tudung? Umar tengok mereka pakai tudung waktu orang mati saja. Itu pun bukan pakai macam tudung ibu, masih nampak rambut.” Saya rasa Umar tidak maksudkan isteri Perdana Menteri atau isteri timbalannya. Takut nanti saya dituduh “menghasut” anak saya “derhaka” kepada pemimpin utama negara pula.

Saya mulanya tersandar keletihan kerana seharian ziarah saudara-mara dari Tanjong Karang, ke Bukit Badong dan seterusnya Kundang bingkas bangun untuk mempastikan betul-betul apakah benar “Perikatan” yang diketuai Umno sudah menawan (sebenarnya menjajah) Dataran Merdeka.

Tidak syak lagi. Pandangan mata saya tidak dibohongi. Memang bendera Umno bersama MCA, MIC, berceracak di segenap pelosok padang bersejarah itu. Saya segera menelefon beberapa rakan untuk meluahkan rasa jengkel di hati.

Mereka turut berkongsi rasa, malah ada yang melepaskan geram dalam nada lebih keras. “Biasalah tu, perangai anak-anak warisan penjajah,” kata seorang darinya.

Maaf, sambung petang nanti …


0 Responses to “Sambutan di ambang 31 Ogos: Tanpa malu, Umno jajah Dataran Merdeka!”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: