31
Aug
07

Taib Mahmud kalah bertaruh dengan Ting Peng Khiing

MIRI:  Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud kalah “bertaruh” dengan pemaju terkemuka Tan Sri Ting Pek Khiing apabila Ting dapat menyiapkan projek Jejambat Pujut sebelum sambutan Merdeka hari ini, kira-kira 11 bulan lebih awal daripada jadual.

Bercakap kepada pemberita selepas memeriksa jejambat itu sepanjang 498 meter itu dengan menaiki kenderaan hari ini, Taib yang telah mencabar Ting semasa kali pertama beliau memeriksa projek jejambat berharga RM45 juta itu, tidak sampai dua minggu sebelum ini, berkata beliau tetap gembira walaupun kalah dalam “pertaruhan” itu kerana Ting mampu menyiapkan projek itu lebih cepat.

“Saya sepatutnya membayarnya wang pertaruhan RM10, tetapi sebaliknya hari ini saya akan memberinya RM70 kerana beliau telah melakukannya 70 kali lebih baik,” katanya dan menambah bahawa tindakannya itu adalah sebagai menghargai kerja-kerja yang telah dilakukan dengan sangat baik itu.

Global Upline Sdn Bhd, yang Ting adalah penasihatnya, telah dilantik melaksanakan projek itu pada bulan Februari tahun ini dan diarah menyiapkan projek itu menjelang 1 Ogos tahun depan.

Syarikat itu juga kini sedang menyiapkan satu lagi projek pembinaan jejambat di persimpangan Puchong dekat pusat bandar ini dan dijangka membina sebuah projek infrastruktur bernilai RM400 juta iaitu pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan kawasan perindustrian Kuala Baram terus ke lapangan terbang di sini.

Taib berkata Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membiayai projek lebuh raya itu yang dijangka dapat membantu pertumbuhan bandar raya ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau menambah bahawa tugas untuk memajukan bandar raya ini melibatkan banyak tugas dan perancangan yang panjang tetapi bukan kerana mengambil kira aduan dan rungutan yang telah ditimbulkan oleh parti pembangkang.

Katanya melaksanakan sesuatu projek hanya semata-mata sebagai reaksi kepada aduan pembangkang akan melahirkan masyarakat yang kucar-kacir, menggalakkan politik melampau dan menyebabkan rakyat menderita.

Ketua Menteri berkata beliau telah memberikan penjelasan mengenai rancangan pembangunan bandar ini sejak lebih 20 tahun yang lalu, yang telah mengambil kira pertambahan besar jumlah penduduknya, terutamanya yang disebabkan oleh kemasukan penduduk dari kawasan pedalaman di Bahagian Miri.

“Pada mulanya mereka tidak nampak akan kebenarannya (fakta-fakta mengenai rancangan pembangunan itu) tetapi pada hari ini mereka telah melihat kenyataan yang berlaku,” tambah beliau. BERNAMA


0 Responses to “Taib Mahmud kalah bertaruh dengan Ting Peng Khiing”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: