01
Sep
07

XPDC Dakwah: Catatan di Konsert AF di SMK Seri NIlam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt…

Jam 4.30 Petang aku terima call dari seorang kawan. “Amdang, call Sinar Harian! Malam ni pemuda KT nak buat demo bantah konsert di SMK Seri Nilam!”. Dalam kepala aku demo, banner, takbir, polis, FRU dan topi merahnya. Aku sebetulnya tak suka demontrasi ni. Kerana ianya melambangkan betapa pihak yang perlu dihadap itu terlalu DEGIL! Ya lah, setelah kita bincang dan beritahu itu dan ini pun belum ambil satu keputusan yang ‘wajar dan saksama’, maka cara lain yang rakyat perlu tunjuk adalah dengan demonstrasi. Sebab ini akan mendapat perhatian media, mendapat perhatian pihak atasan, dan kadang-kala akan disokong oleh orang ramai yang belum memahami isu yang hendak disampaikan. Juga bukti kita perjuangkan satu isu itu bukan main-main. Kita bersungguh dan komited!.

Aku dah lupa berapa kali aku ikuti demonstrasi. Tapi bilangannya tidak terlalu banyak. Masih cukup jari tangan dan kaki jika aku renung kembali apa isu yang pernah aku juangkan dalam menyertai demonstrasi ini. Semuanya pada aku adalah perhimpunan aman. Berhimpun menyatakan sokongan pada pihak tertentu dan mungkin juga mengecam pihak tertentu. Kami berhimpun dengan aman, tetapi dikejar dan dihambat oleh FRU menjadikan suasana kacau dan bilau. Macam rakyat ni nak perang dilanyak mereka. Apa boleh buat, mereka memikul amanah pemimpin. A kata pimpinan, A yang dibuat. B kata pimpinan, B yang diturut. Ada muka-muka FRU yang aku lihat kesal dalam perbuatan mereka. Ada yang seolah-olah tidak redha. Nak je aku kata, “Carilah kerja lain yang lebih diberkati dari menjadi anjing suruhan!” Maaf, bukan aku samakan FRU dengan anjing, tetapi istilah anjing suruhan adalah bagi menggambarkan betapa setianya pelaksana amanah itu menjalankan suruhan.

Jam 6.30 Petang aku sms seorang kawan untuk turut sama. Jam 6.45 petang terima sms info terkini “Program berbentuk sebaran risalah, bukan demo. Kumpul di Surau Kubang Tangga. SOlat Isyak Berjemaah”. Aku forward sms tadi kepada seorang teman yang aku ajak tadi. Dia reply “Ohh.. Kalu gitu ambe gi lewat skit la” Aku dah agak. Kalu program menyebarkan risalah, tenaga biasanya tak ramai diperlukan. Cukuplah beberapa orang yang ada. Jika demonstrasi sudah tentu perlukan kekuatan ahli yang ramai. Baru gah! Bukan gah untuk bertempur, tetapi gah dalam menunjukkan ramai tak setuju dengan sesuatu perbuatan itu.

Oh, aku lupa nak sebut. Sebenarnya pada tarikh 18 Ogos baru ni ada satu Sambutan Minggu Belia. Tempat diadakan di Padang Sek Men Kebangsaan Seri Nilam, Kuala Terengganu. Pada siangnya diadakan pertandingan pancaragam, malamnya diadakan penyampaian hadiah kecemerlangan belia. Penutup program pada malam itulah yang aku nak tekankan di sini. Konsert bekas peserta AF. Jika lihat pada kain rentang dan bunting yang dipasang, Dekna, Dafi dan Marsha yang akan menghadiri program ini. Aku secara peribadi tidak mengenali artis-srtis baru ini. Bukan tidak minat muzik, tetapi pada aku kelahiran artis yang ada hari ini umpama sampah masyarakat! Bertambah bukan membangun ummah dan masyarakat, tetapi menjadi racun dan duri perosak dalam masyarakat.

Jam 8.50 malam aku tiba di tapak program. Aku perasan polis agak ramai dan kawalan agak ketat. Di simpang trafik light ada satu banner berbunyi “Kami Penduduk Kampung Membantah Konsert dari Artis AF”. Aku senyum. Aku meneruskan perjalanan sehingga sampai depan pintu pagar sekolah. Mencari parking, maka aku lajakkan motor aku ke depan lagi. Orang dah mula memenuhi kawasan. Aku agak terlewat bilamana aku turun dari motor, kelihatan beberapa pemuda sudah mula mengedarkan risalah.

 

Aku mendapatkan seorang pemuda yang menyebarkan risalah bagi mendapatkan satu salinan. Risalah yang cukup umum pada aku. Hanya diletakkan satu Hadith yang agak panjang tentang “LIMA BELAS PERKARA MENDATANGKAN BALA”. Risalah itu juga bertanggungjawab bilamana diletakkan nama Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu sebagai pihak yang mengeluarkan risalah itu.
Aku bergerak ke depan pintu masuk utama. Setiba di sana, aku lihat beberapa orang polis berpakaian biasa menghalang dan menegur beberapa pemuda yang menyebarkan risalah. Aku kira dalam 15 orang polis yang berpakaian biasa. Mereka juga menakut-nakutkan pemuda tersebut dengan mengambil Video. Aku tak tahu sejauh mana perbincangan mereka, tetapi akhirnya aku lihat pemuda mula bergerak meninggalkan pintu masuk utama. Sambil berundur, mereka terus menyebarkan risalah kepada pengunjung yang baru hadir. Melihat perkara inilah beberapa polis yang ada di situ dengan tegas menahan beberapa pemuda yang ada di situ bagi mendapatkan kad pengenalan. Beberapa pemuda dicatatkan pengenalan diri mereka. Mereka berkeras menghalau pemuda ini dari terus menyebarkan risalah. Terfikir aku, tidak tahukah pihak polis terbabit yang pemuda-pemuda ini juga membantu polis dalam mengurangkan jenayah dan gejala sosial?Dalam melihat suasana itu, aku terpandang sekumpulan pelajar sekolah yang bertudung labuh keluar dari kawasan sekolah. Semua berpakaia putih menandakan mereka datang kerana diarahkan untuk datang. Bersama mereka seorang guru pengiring. Seorang kawan yang bersama aku sempat menegur cikgu terbabit. “Apa boleh buat, arahan suruh mari sini”. Rupa-rupanya mereka adalah pelajar SMKA Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu. Sebuah sekolah agama yang agak terkenal di sini.Aku tergerak hati melihat suasana di dalam kawasan sekolah. Aku ajak seorang kawan untuk masuk sama. Kebetulan ketika aku masuk, majis penyampaian anugerah dan hadiah kepada belia-belia yang dikatakan berjaya dan menjadi contoh. Banyaklah persatuan itu dan ini menjadi juara dan mendapat anugerah itu dan ini. Aku perhatikan para pelajar yang mengambil bahagian dalam perbarisan di situ langsung tidak memberikan perhatian kepada pentas, kecuali sekumpulan pemuda UMNO yang berada betul-betul di hadapan pentas yang bertepuk dan menyorak mereka yang naik ke pentas. Kebetulan pengiring penerima hadiah adalah perempuan, maka habis mereka diusik oleh pemuda-pemuda UMNO terbabit. Aku kira pengiring itu adalah pelajar-pelajar sekolah memandangkan mereka berpakaian Uniform Persatuan.Kesian aku melihat anak-anak muda ini yang berteriak dan bertempik. Bila Idris Jusoh yang sedang memberikan hadiah seolah tidak senang dengan perbuatan mereka, para pemuda UMNO ini berteriak Gelombang! dan disambut oleh rakan-rakan mereka dengan Biru!. Ketika itu Idris akan senyum kembali. Aku tidak tahu siapa yang cerdik dalam situasi ini. Tetapi adakah Idris akan mengira melaung slogan itu menandakan akhlak mereka adalah baik? berbanding berteriak dan sekadar bertepuk?Selesai Majlis menyampaikan anugerah, Din Adam pula bangun mendekati microfon dan melaung Gelombang Biru beberapa kali. Kelakar bilamana ada pemuda yang dihadapan aku menjawab dengan Hijau! Satu bukti mereka tidak menerima program seumpama ini diadakan. Kemudian, pentas utama diubah. Pentas untuk acara konsert pun bermula. Aku tidak pasti jam berapa ketika itu. Kawan aku hanya minta aku tunggu beberapa ketika bagi diambil gambar penyanyi pertama sebagai bukti memang program ini menganjurkan konsert! Jika sekadar persembahan biasa, kenapa tidak menggunakan pentas yang sama.Kami berjalan keluar bilamana Dekna selesai menyanyi lagu pertama. Aku lupa lagu apa. Cuma yang aku tahu, itu bukan lagu dia sendiri. Dalam perjalanan keluar, aku melihat suasana yang amat tidak sihat. Penonton konsert dengan suatu hal, para pelajar yang terdiri dari lelaki perempuan tadi (mereka ambil bahagian dalam perbarisan) mula bergaul bebas. Duduk berdua, dalam kumpulan, bertepuk tampar dan sebagainya. Pelajar Melayu Islam dan anak Terengganu yang terkenal (kononnya!) dengan adat Timur.
Aku mula bergerak ke arah motor yang diparking. Tetiba aku perasan satu kain rentang yang dikeluarkan pihak sekolah (kementerian pun boleh jadi), tentang “Kempen Pulang Dari Sekolah, Terus Ke Rumah”. Dibawah itu juga ditambah “Gunakan sepenuh masa di rumah dengan belajar dan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah bersama keluarga”. Termenung panjang bila berfikir yang kempen yang baik itu dibuat oleh pihak Kerajaan, konsert maksiat pun pihak kerajaan yang anjurkan dengan anak muda meliar di malam hari. Jika suasana ini berterusan dan dibiarkan, apakah ada jaminan masa depan anak-anak akan terjamin? Ohh.. Tetiba aku ingat filem Idris Jusoh, Masa Depanmu Terjamin.

Labels: , , ,

posted by amdang81 @ Monday, August 20, 2007


0 Responses to “XPDC Dakwah: Catatan di Konsert AF di SMK Seri NIlam”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: