02
Sep
07

Kerajaan negeri gesa henti kutipan tol Sungai Nyior

NIBONG TEBAL 1 Sept. – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Kementerian Kerja Raya mempertimbang menghapuskan kutipan tol di laluan Sungai Nyior, dekat sini, berikutan mendapat bantahan pelbagai pihak.Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata, pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada kementerian berkenaan agar pembinaan plaza tol di laluan itu dikaji semula dan dibincangkan secara serius di Kabinet.

Beliau berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap rungutan orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah yang membantah keras pembinaan plaza tol yang digunakan secara percuma sebelum ini.

“Kita ambil kira semua pandangan rakyat dalam isu ini dan jelas bantahan mereka berasas dan kita mahu kutipan tol di laluan itu diteliti semula.

“Kami berharap isu ini dipanjangkan ke peringkat kabinet kerana kita tidak mahu rakyat membuat andaian-andaian yang tidak betul dalam isu ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kemerdekaan di Taman Sungai Duri, di sini, hari ini.

Pada 14 Ogos lalu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengumumkan kutipan tol serendah RM0.50 di plaza tol tersebut berkuat kuasa mulai hari ini selepas ditangguhkan sejak 21 Februari lalu.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan penduduk sekitar Seberang Perai yang mahu kutipan tol di laluan itu dimansuhkan.

Beberapa persatuan penduduk di sekitar Butterworth, dekat sini, kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Membantah Bayaran Plaza Tol Sungai Nyior dan bercadang memboikot laluan itu pada hari pertama operasinya.

Gabungan itu yang juga dikenali sebagai Jawatankuasa Membantah Pembinaan Plaza Tol Sungai Nyior turut mengumpul kira-kira 10,000 tandatangan daripada penduduk sebagai tanda protes terhadap pembinaan plaza tol berkenaan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdul Rashid menambah, kerajaan negeri akan meneruskan kerja-kerja membina beberapa laluan alternatif berhampiran plaza tol tersebut untuk digunakan para pengguna jalan raya yang sering berulang-alik dari Butterworth ke Seberang Jaya.

“Jalan alternatif di Taman Kimsar sudah siap dan kita akan memperbesarkan laluan di Permatang Pauh dan Taman Chai Leng bagi mengelakkan kesesakan sekiranya pengguna mahu mengelak daripada menggunakan laluan di Sungai Nyior,” jelasnya.


0 Responses to “Kerajaan negeri gesa henti kutipan tol Sungai Nyior”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: