14
Sep
07

PAS hilang percaya kredibiliti polis

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Keengganan polis mengambil tindakan terhadap individu yang membakar bendera menyebabkan PAS sangsi dan hilang kepercayaan kepada kredibiliti pasukan polis, kata Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Serentak dengan itu, Malaysiakini melaporkan beliau menggesa supaya badan penyiasat bebas di bawah Majlis Raja-raja Melayu dibentuk bagi menyiasat kejadian tersebut.

Menurut beliau, menjelang tengah malam, ketika anggota polis dan orang ramai beredar meninggalkan kawasan kejadian, datang satu pasukan lain dengan membuat kacau dan merosakkan harta benda awam di kawasan sekitar tragedi berdarah itu.

Kemudian, katanya, datang orang yang membawa bendera (Malaysia) dan telah bertindak membakarnya.

Walaupun ramai anggota polis berkawal di kawasan itu, katanya, tetapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan.

Abdul Hadi menegaskan, tindakan polis membatalkan ceramah anjuran (Bersih) di saat akhir menjadi punca kepada tragedi yang berlaku di Batu Burok, Kuala Terengganu malam Sabtu lalu.

Bukan setakat itu sahaja, malah Presiden PAS itu mendedahkan bahawa beliau mendapat maklumat mengenai tindakan pihak polis yang sengaja membuat provokasi ke atas orang ramai supaya tercetus kekacauan pada malam tersebut.

“Anggota polis berpakaian preman yang memakai riben di lengan dan membuat provokasi di tengah-tengah orang ramai, dikesan oleh penyokong PAS.

“Ini menyebabkan anggota terbabit telah melepas tembakan rambang menggunakan peluru hidup dan terkena orang awam,” katanya.

Menurut beliau, walaupun permohonan permit ditolak, PAS sebagai pengendali majlis ceramah itu tidak mampu memberitahu orang ramai mengenai pembatalan tersebut.

Katanya, PAS cawangan Kuala Ibai telah membuat permohonan permit kepada pihak polis seminggu lebih awal dari yang disyaratkan, tetapi tidak mendapat jawapan.

“Polis hanya menjawab mengenai penolakan permohonan tersebut pada hari Khamis, tetapi PAS tidak boleh membuat rayuan kerana keesokannya iaitu Jumaat dan Sabtu merupakan cuti umum.

“Orang ramai menyangka majlis ceramah berjalan seperti biasa, kerana kami tidak dapat menghebahkan pembatalan tersebut.

“Mereka mula datang ke tempat ceramah tetapi dihalang anggota polis yang membuat sekatan, jauh dari tempat tersebut.

“Kekecohan berlaku di tempat sekatan dan bukannya di tempat ceramah,” katannya kepada Malaysiakini ketika ditemui di rumahnya di Rusila, Marang, semalam.

Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

Abdul Hadi berkata, kejadian tersebut berlaku ketika penceramah PAS sedang berunding dengan tuan rumah setelah mengambil keputusan untuk membatalkan program tersebut.


0 Responses to “PAS hilang percaya kredibiliti polis”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: