16
Sep
07

Najib perlu jawab kes 6 kapal peronda TLDM bernilai RM6.75 bilion!

Minda LutfiLebih menarik (sebenarnya lebih menyesakkan dada rakyat) apabila pihak Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan.

Oleh Ahmad Lutfi Othman


Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (KBN) menjadi bualan umum baru-baru ini dan mendapat perhatian media.

Ramai terpegun bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Selain itu, sebuah kren menara berharga RM2.73 juta dibeli untuk IKBN Chembong dan sebuah lagi berharga RM2.990 juta untuk IKBN Bachok, sedangkan harga pasaran masing-masing hanya RM1.45 juta dan RM1.53 juta.

Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina pada empat IKBN Bachok, Chembong, Kinarut dan Kuala Perlis telah dibeli dengan harga R4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej sedangkan harga pasaran hanya RM9,250 bagi satu pakej, yakni kos keseluruhan RM1.41 juta.

Sebanyak 430 set papan bancuh simen untuk jurusan Jurubina Bangunan dan jurusan Jurulepa dan Penjubinan pada empat IKBN yang sama telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Sedangkan harga pasaran hanya RM150 sahaja (harga untuk 430 set hanya RM64,500) dan menurut tenaga pengajar IKBN, kosnya boleh dikurangkan lagi sekiranya pihak IKBN membeli papan sendiri dan pelajar diberi tugas untuk membuat papan bancuh simen sendiri.

Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap satu untuk dijadikan bilik kuliah jurusan Operator Kren Menara di IKBN Bachok dan IKBN Chembong. Pihak Jabatan Audit Negara mendapatkan sebut harga sebuah kabin yang sama termasuk upah pengangkutan, kos memasang 2 penghawa dingin dan sewa kren, iaitu RM20,000 sahaja (RM60,000 untuk tiga unit).

Harga sebenar RM417 tetapi dibeli TM10,700

Sebanyak 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di KBN Bachok, Chembong dan Kuala Perlis, dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Semua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM417 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar Kementerian Belia dan Sukan  adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.

Begitu juga dengan harga satu set pen teknikal yang dibeli dengan harga RM1,146.56 sedangkan harga pasaran hanya RM160.

Okey, saya tidak mahu membutirkan lebih banyak pendedahan laporan Audit itu. Dan segala yang dibentangkan di atas pun bukanlah prioriti catatan ringkas ini. Ia mungkin boleh diibaratkan sebagai kes ikan bilis sedangkan ada kes membabitkan ikan jerung yang tidak diberikan keutamaan oleh pihak media. Tidak pula saya anggap pembaziran wang rakyat dalam kes-kes IKBN ini boleh didiamkan begitu sahaja.

Menteri bertanggungjawab, ketika itu, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein harus menjelaskan bagaimana keadaan pincang itu boleh berlaku. Kita pun pelik juga dengan peranan Biro Inovasi dan Perundingan, Universiti Teknologi Malaysia yang dilantik sebagai perunding untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti keperluan peralatan IKBN, dan sehingga Disember 2006, sejumlah RM6.54 juta telah dibayar kepadanya.

Kita tinggalkan sekejap isu-isu yang membabitkan perbedaan harga yang begitu ketara itu, dengan menyedari jumlah terkumpul yang sepatutnya boleh dijimatkan tidak kurang daripada RM10.80 juta, selain dapat mengelak permohonan penambahan perolehan peralatan sehingga kosnya berjumlah RM267,90 juta. Kerajaan juga terpaksa membayar tidak kurang RM88.45 juta untuk peralatan yang masih tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum disebabkan tiada keperluan, tenaga pengajar tidak pakar dan pembelian yang terlalu awal.

Ooop, cukup dulu hal berkenaan, kita fokus isu lebih besar.

Giliran Najib menjawab

Kita beralih kes yang lebih besar membabitkan Kementerian Pertahanan, yang kini diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Najib Razak. Semalam, di Pekan, Najib berkata kerajaan bersedia mengguna pakai apa sahaja kaedah baru yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara asalkan dapat menyumbang ke arah pentadbiran kewangan awam lebih cekap, telus dan mempunyai akauntabiliti. Beliau mengulas langkah Audit  hendak memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri bermula tahun depan.

Najib seterusnya berkata, langkah memperkenalkan sistem ini dapat mengelakkan berulangnya salah urus dana di kementerian dan jabatan berkaitan. ‘‘Kalau tidak ada sistem penilaian, perkara-perkara ini (salah urus kewangan) akan berulang dan membuatkan banyak pihak mengatakan laporan audit itu (sekadar) merupakan cerita lama yang diulang balik,” katanya. Bagaimanapun, beliau menambah kerajaan tidak mahu pelaksanaan sistem itu menyebabkan berlaku perubahan yang besar dari segi pentadbiran kewangan di semua kementerian.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan 6 buah kapal peronda (Petrol Vessel – PV) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang tidak dibuat dengan baik dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan. Saya minta rakan saya, Lifeboat, yang berpengalaman dalam hal pengauditan ini, untuk membuat analisis lebih terperinci dalam Harakah cetak keluaran depan.

Kos membina 6 buah PV ini ialah RM5.35 bilion. Kontraktor awal ialah Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB), yang kemudiannya selepas diswastakan menjadi konsortium PSC-NDSB, diketuai Penang Shipbuilding And Construction Sdn Bhd (PSC), yang dipengerusikan Dato’ Amin Shah Omar Shah.

Bagaimanapun Panglima Tentera Laut ketika itu, Dato’ Seri Mohd Shariff Ishak menekankan TLDM tidak bersetuju dengan cadangan penswastaan kepada PSC, antaranya kerana PSC merupakan limbungan yang kecil, prestasinya tidak baik dan hanya mempunyai pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil. Kapal yang telah dibina oleh PSC juga terbukti kurang baik mutunya, selain pengurusannya yang kurang cekap.

Tiada tuntutan denda lewat walaupun boleh dikenakan RM214 juta

Mengikut kontrak asal, 6 kapal peronda itu sepatutnya diserahkan secara berjadual, bermula Mac 2004 (PV1), seterusnya Januari 2005 (PV2), Oktober 2005 (PV3), April 2006 (PV4), Oktober 2006 (PV5) dan April 2007 (PV6). Malangnya hanya PV1 dan PV2 dapat diserahkan, itu pun masing-masing pada Jun 2006 (terlewat 27 bulan) dan Julai 2006 (terlewat 18 bulan).

Semasa penyerahan PV1 yang dikenali sebagai KD Kedah pada 2 Jun 2006, terdapat 100 item/kerja masih belum diselesaikan. Keadaan yang sama juga berlaku semasa penyerahan PV2 (KD Pahang) pada 27 Julai 2006 di mana sebanyak 383 item/kerja masih belum diselesaikan.

Bagaimanapun, semakan Audit mendapati tiada tuntutan denda lewat dibuat Kementerian Kewangan walaupun Unit Perancang Ekonomi melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan (Perolehan) Kementerian Pertahanan pada bulan September 2005 telah mencadangkan supaya denda lewat berjumlah RM107 juta dituntut bagi PV1 dan PV2. Berdasarkan perkiraan Audit, sejumlah RM214.01 juta denda lewat boleh dikenakan terhadap kontraktor atas kelewatan keenam-enam PV berkenaan.

Pada 17 Januari lalu, tarikh penyerahan kapal peronda itu dirombak dengan memberi ruang lebih selesa. Bagi PV3, tarikhnya dianjak daripada Oktober 2005 kepada Disember 2008; PV4, Julai 2009; PV5, November 2009; dan PV6, Mac 2010.

Jika diambil secara purata, kos bagi membina sebuah kapal peronda ialah RM848.19 juta (iaitu kos keseluruhan RM5.08 — yakni tidak termasuk bayaran Commercial Package Achievement Fee bernilai RM267.50 juta — dibahagi enam).  Berdasarkan Laporan Pasukan Projek PV setakat bulan Disember 2006, merujuk peratusan kemajuan fizikal pembinaan kapal, PV3 baru 55.89% dibina, PV4 (44.75%), PV5  (19.81%) dan PV6 (18.47%).

Setelah dibuat perkiraan, nilai semua 6 kapal peronda itu,  mengikut peratusan siap hanya RM2.875 bilion, manakala kos yang masih diperlukan untuk menyiapkan empat lagi PV berkenaan ialah RM2.214 bilion. Persoalan besarnya, kerajaan sudah pun membayar RM4.256 bilion kepada kontraktor!

Peruntukan yang berbaki hanya RM832.92 juta, sedangkan yang diperlukan ialah RM2.214 bilion, itu pun belum diambil kira kos yang semestinya meningkat. Ya, Najib, bagaimana hal ini boleh berlaku?

“Tak cukup? Tak apa, takda hal punya”

Maka bagi memulihkan projek ini, menurut Audit, kerajaan bersetuju menambah nilai kontrak sebanyak RM1.4 bilion lagi (senang-senang wang pembayar cukai dihanguskan, untuk kesekian kalinya!), iaitu daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion. Bagaimanapun, pihak Audit tidak dapat menentukan justifikasi untuk menambah nilai kontrak sejumlah RM1.4 bilion itu.

Lebih menarik (sebenarnya lebih menyesakkan dada rakyat) apabila pihak Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan!

Masya Allah, wang rakyat hampir RM1 bilion itu boleh “dibuat main-main” begitu sahaja. Ini bukan pembelian seringgit dua. Rekod menunjukkan baucer yang tidak dikemukakan itu daripada serendah RM6.69 juta sehingga yang tertinggi RM222.06 juta.

Jadi, kepada Najib, apa penjelasan anda kepada isu ini? Dan kita tunggu analisis menarik Lifeboat dalam Harakah cetak tentang satu lagi kes yang menjahanamkan duit rakyat!


0 Responses to “Najib perlu jawab kes 6 kapal peronda TLDM bernilai RM6.75 bilion!”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: