24
Sep
07

Pendedahan : Mana yg Satu d’UTAMAKAN ??

img530/4647/20070923ramli1xr3.jpg

 

 img231/3378/20070923ramli2rb9.jpg

 

 img340/8463/20070923ramli3bd3.jpg

Surat Apakah ini….????

 

Siapa Yang Menguruskan Rumah Orang Gila?
(Who’s running the asylum anyway?)
Oleh Raja Petra Kamarudin  – Laman M@RHAEN


Satu gerakan besar-besaran secara siang dan malam di seluruh negeri sedang dilaksanakan untuk menjejak 37 orang daripada 41 orang penunjuk perasaan yang gagal menyerah diri sejurus tamatnya tempoh ‘Pengampunan’ semalam. Hanya empat orang yang mengambil peluang keihsanan yang diberikan oleh Polis DiRaja Malaysia dan menyerah diri seperti yang digesa. Operasi mencari menyeluruh negeri itu adalah ekoran satu operasi tunjuk perasaan (ralli) yang dianjur oleh BERSIH – satu gabungan barisan kumpulan NGO dan parti politik, yang menggesa dilakukan satu perubahan kepada sistem pengundian Malaysia yang begitu kotor dengan penipuan dan kaedah ‘gerrymandering’ (kaedah mengubah sempadan kawasan pengundian sesuka hati pihak pemerintah – penterjemah) – yang menyebabkan dua orang rakyat biasa yang telah ditembak dan masih lagi berada di hospital bertarung dengan nyawa mereka.BERSIH mendakwa bahawa mereka memiliki satu permit polis untuk menganjurkan perhimpunan itu. Lokasi tunjuk perasaan telah merupakan lokasi diadakan banyak perhimpunan yang lain sejak sedekad yang lalu dan di sana memang sudah terbina pelbagai prasarana yang sesuai untuk tujuan tersebut. Namun, pihak polis membuat dakwaan bahawa permit polis sudahpun ditarik balik kerana perhimpunan itu berada terlalu hampir dengan istana Raja Muda Terengganu,. Malahan bukan sahaja terlalu hampir, tetapi sejak dahulu, perkara ini bukanlah menjadi sebarang isu. Hari ini, ia ternyata menjadi satu masalah — dan kerana itu berlakunya satu tindakan polis untuk menarik balik kelulusan permit tersebut.

Ada satu Artikel 20 (1) dalam Pengisytiharan Universal Hak Asasi Manusia yang diterima pakai oleh Persidangan PBB pada 10 Disember 1948 yang menyebut bahawa sesiapa sahaja mempunyai hak kebebasan berkumpul secara aman dan berpersatuan secara aman. Deklarasi Kaherah mengenai hak Asasi Manusia beragama Islam yang telah ditandatangani oleh 45 orang Menteri Luar Pertubuhan OIC pada 5 Ogos 1990 membenarkan individu hak kebebasan untuk bersuara. Malahan ia juga menggalakkan mereka mengembangkan apa juga yang hak dan merumuskan betapa hak dan kebebasan tersebut adalah mengikut kehendak Undang-undang Syariah, yang menjadi sumber rujukan deklarasi tersebut. Dengan demikian deklarasi amar maaruf, nahi mungkar adalah merupakan tanggungjawab setiap individu dan mesti dipertahankan hingga ke titisan darah terakhir .

Penarikan izin untuk berkumpul secara aman kepada penganjur BERSIH pada hari itu di Batu Buruk, Kuala Terengganu, sesungguhnya telah mencemar kedua-dua Universal Declaration of Human Rights dan juga Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam.

Akan tetapi kenapa pula dilancarkan satu gerakan besar-besaran, siang dan malam, dengan cara menggeledah rumah ke rumah untuk menjejak 37 orang Melayu yang diisytiharkan oleh kerajaan sebagai ‘perusuh’ menjadi begitu penting? Kenapakah tidak ada usaha besar-besaran untuk menjejak mereka yang dianggap ‘penjenayah’ terhadap keadilan sedangkan mereka hanya menyempurnakan hak yang dikurniakan oleh Allah untuk menyatakan penentangan kepada satu sistem pilihan raya yang begitu haprak? Pada waktu yang sama pihak polis sedang bersuara lantang melalak bahawa tindakan akan diambil terhadap ibu bapa kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang mati dibunuh dan dizalaimi dengan kejam sebelum dirogol sedangkan polis seharusnya melancarkan satu gerakan besar-besaran untuk menjejaki mereka yang bertanggungjawab merogol dan membunuh lapan orang kanak-kanak. Akhbar “The Star” berkata masih terdapat 17 kanak-kanak yang masih hilang sedangkan akhbar The Straits Times Singapura berkata setakat ini 130 kanak-kanak sudah pun hilang sejak bermulanya tahun ini.

Adalah amat mengelirukan apabila keutamaan polis ditumpukan untuk menghambat 37 orang penunjuk perasaan dan mendakwa ibu bapa kepada seorang anak yang telah mati dibunuh sedangkan sudah jelas betapa wujudnya perkara yang lebih mendesak di tangan mereka. Seolah-olah ini masih belum mencukupi, kita kini diberitahu bahawa dua orang pegawai tinggi polis sedang disiasat kerana memiliki hartanah bernilai RM35 juta dengan salah seorang mereka memiliki RM27 juta sebagai milik peribadinya.

Mengikut hukum, Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak sepatutnya mendedahkan sebarang maklumat tentang siasatan rasuah sehingga selesainya siasatan mereka dan memang telah terbukti selama ini bahawa orang yang disiasat itu sememangnya seorang yang korup. Ini adalah bertujuan menentukan bahawa orang yang sedang disiasat bukanlah seorang mangsa kepada desas-desus ataupun tuduhan palsu. Ada kalanya, dakwaan korupsi dilakukan oleh musuh-musuh orang tertentu yang sedang dituduh hanya untuk menyusahkan hidupnya. Seandainya siasatan itu ternyata tidak berasas, maka tidak akan berlaku sebarang bencana yang ditanggung oleh yang tertuduh. Seandainya dia memang bersalah, maka dia akan dibawa ke muka pengadilan. Akan tetapi seandainya dia tidak bersalah, sedangkan namanya sudahpun disebarkan kepada pihak media, dan sekiranya dia kemudiannya didapati tidak bersalah, stigma pertuduhan itu akan kekal menghambat kehidupan, untuk selama-lamanya.

Inilah sebabnya laporan kepada BPR diikhtiraf mengikut Undang-Undang Rahsia Rasmi Negara (OSA). Tujuannya adalah untuk melindungi mereka yang sedang disiasat seandainya dakwaan yang ditohmah itu tidak berasas dan si tertuduh dibersihkan daripada segala dakwaan. Akan tetapi dalam kes membabitkan Pesuruhjaya Polis Dato’ Pahlawan Ramli bin Yusuf, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, mereka telah melakukan satu tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini dengan mengumumkan bahawa beliau sedang disiasat kerana memiliki aset bernilai RM27 juta sedangkan siasatan terhadapnya belum lagi dilancarkan.

Apakah semacam ada udang di sebalik batu? Apakah ini merupakan satu siasatan korupsi yang mudah ataupun ini sesungguhnya satu kes untuk menjatuhkan seorang pegawai polis yang merupakan perosak ketenteraman kumpulan haram? Eloklah kita kaji dengan teliti episod Ramli ini dan melihat apakah kita mampu memahami perkara yang sebenarnya.

Ramli merupakan seorang pegawai kanan polis yang melancarkan satu siasatan terhadap kumpulan sindiket haram orang Cina yang menguasai pelacuran, dadah, perjudian haram dan pinjaman ceti haram di merata negara Malaysia. Apa yang satu ketika dahulu merupakan satu usaha kecil-kecilan kini sudah berkembang menjadi besar dan begitu terancang dengan jaringan yang menyelubungi seluruh negara. Perusahaan kecil dan bersendirian yang enggan bergabung dengan jaringan yang besar itu telah dipaksa untuk melupuskan perniagaan mereka dan kawasan operasi haram mereka itu telah diambil-alih oleh sindiket itu di merata negara.

Apa yang telah diselongkar oleh Ramli ialah satu pendedahan bahawasanya pihak samseng haram sudah menjadi begitu terancang dan tersusun dengan jaringannya menyeluruhi Malaysia, malahan pertubuhan samseng itu mempunyai hubungan rapat dengan pucuk kepimpinan organisasi polis sehingga mereka menjadi begitu perkasa untuk menentukan naik-pangkat dan pertukaran pegawai polis. Pegawai polis yang enggan bekerjasama dengan mereka menerima layanan disejuk-bekukan dan dipindahkan kepada jawatan yang tidak lagi menjadi penghalang kepada kegiatan sindiket jenayah terancang tersebut.

Segelintir ketua kumpulan haram itu telah ditangkap mengikut Ordinans Darurat dan ada yang telah dihantar untuk ditahan ataupun dikenakan sekatan terhad. Akan tetapi sebelum anda mampu berkata “anda bebas sekarang” para tahanan itu telah dibebaskan dengan serta-merta dan berlaku pula siasatan terhadap pegawai polis yang menahan mereka dahulu, dengan dakwaan mereka “menyalahgunakan kuasa”. Ada antara pegawai polis yang melakukan tangkapan terhadap ketua samseng itu dahulu telah ditahan serta-merta dan disumbat ke dalam lokap polis, sedangkan penjenayah yang mereka tahan dibiarkan bebas sebebas-bebasnya. Sejak itu mana lagi ada pegawai polis yang berani menangkap ketua kumpulan samseng?

Pihak polis bergantung kepada pemberi maklumat (ataupun talibarut) seperti juga pihak Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Badan Pencegah Rasuah. Lebih daripada 90% kes yang diselesaikan adalah terlaksana melalui hasil maklumat pihak talibarut. Undang-undang memestikan agar si pemberi maklumat itu diberikan perlindungan. Inilah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika dia berkata agar si pemberi maklumat mesti diberikan perlindungan. Malahan adalah satu perjanjian antarabangsa di mana pemberi maklumat mesti diberikan perlindungan oleh kerajaan.

Akan tetapi dalam kes Ramli, walaupun dia cuba melindungi dan mempertahankan para pemberi maklumat beliau seperti yang dikehendaki oleh undang-undang dan konsensi antarabangsa, mereka telah mendedahkan semua pemberi maklumat dan sekarang ini sesiapa sahaja dapat mengenali siapakah yang memberikan maklumat itu. Inilah yang membuatkan si pemberi maklumat menjadi kecut perut dan mula gusar apakah mereka akan dihambat untuk dibunuh oleh kumpulan yang mereka telah dedahkan. Semua pemberi maklumat yang lain kini sedar bahawa adalah amat berbahaya untuk memberikan maklumat kepada polis dan semuanya sudah lari lintang-pukang menyorok dan bersembunyi. Kini PDRM sudah semakin sukar mendapatkan maklumat yang amat mereka perlukan untuk membantu menyelesaikan pelbagai bentuk jenayah yang berjejeran dan menghantui Malaysia. Pernahkah anda terfikir kenapa 130 kanak-kanak hilang lesap di Malaysia sejak awal tahun ini dan setakat ini hanya lapan orang yang diketahui sudah mati dibunuh dan pihak polis semakin kematu bagaimana mahu menyelesaikan segala kes jenayah ini? Siapakah yang berani sekarang melangkah ke hadapan untuk membantu polis menyelesaikan jenayah sedangkan nama mereka berkemungkinan didedahkan dan mereka pula yang akan menerima bencana dan musibahnya?

Ramli dikatakan memiliki RM27 juta atas nama peribadinya. Bagaimana mungkin BPR tahu perkara ini sedangkan ia tidak pun selesai melakukan siasatan? Apakah beliau memiliki asset bernilai RM50 juta dan tanggungan bebanan hutang bernilai RM23 juta dan dengan itu memberikan nilai peribadinya RM27 juta? Ataupun dia memiliki RM27 dalam bentuk asset tanpa ada tanggungan hutang? Angka RM27 juta itu boleh dipertikai dan tidak ada jalan angka itu dapat diberikan nilaian demikian kecuali angka RM27 juta itu telah disebut secara khayalan sebagai helah untuk mensensasikan isu tersebut.

Ramli sudahpun menyediakan satu penyata akaun selama 37 tahun beliau berkhidmat dengan PDRM sejak 1970 dan tidak pula ada disebut angka RM27 juta. Akan tetapi, setakat hari ini maklumat yang dibocorkan kepada pihak media menyebut beliau adalah bernilai RM27 juta. Jika demikian siapakah dalang yang merancang sebutan RM27 juta ini? Apakah itu satu mesej kepada Ramli supaya beralah dan biarkan kumpulan samseng tanpa gangguan seandainya dia tidak mahu didakwa dan dipenjarakan kerana memiliki RM27 juta? Kalau seorang Timbalan Perdana Menteri boleh disumbat dalam penjara selama 15 tahun berdasarkan dakwaan yang sengaja diada-adakan sudah tentu seorang yang berpangkat Pesuruhjaya Polis boleh disumbat dalam penjara kerana RM27 juta yang dia tidak miliki.

Sekarang eloklah kita jelas perihal satu perkara. Ramli tidak disiasat kerana memiliki RM27 juta dalam bentuk aset. Tidak ada salahnya kalau seseorang itu memiliki asset bernilai RM27 juta kalau ia diperolehi secara sah dan bukan melalui cara haram. Kalaulah ayah anda seorang peneroka FELDA dan apabila dia meninggal, kerajaan telah mengambil-alih tanah peningalannya anda sudah tentu mempunyai nilaian sebanyak RM3 juta dalam sekelip mata. Anda tidak perlu masuk penjara kerana durian runtuh ini. Seandainya anda laburkan wang itu di Langkawi beberapa tahun dahulu, tanah yang bernilai RM3 juta sudah tentu kini bernilai RM30 juta. Anda tidak perlu masuk penjara kerana perkara ini. Anda hanya perlu masuk penjara kalaulah RM3 juta itu ataupun RM30 juta telah diperolehi melalui rasuah.

Ramli tidak pun dipanggil kenapa dia bernilai RM27 juta sekarang. Dia telah ditanya kenapa tidak mengisytiharkan yang dia mempunyai aset bernilai RM27 juta. Bukan sahaja Ramli berkemampuan membuktikan yang dia tidak pun bernilai RM27 juta, dia juga telah membuktikan yang dia telah mengisytiharkan segala asetnya mengikut hukum undang-undang, dan ini sesungguhnya yang menjadi isu sebenar terhadap beliau.

Ramli pernah menjadi Pesuruhjaya Polis di Sabah. Seperti kelazimannya, selepas anda berkhidmat di negeri itu dan sebelum bersara anda akan ditukarkan ke negeri lain. Sabah akan menjual kepada anda sebidang tanah pada harga nominal sebagai gratuiti kepada perkhidmatan yang anda berikan. Tetapi tanah itu tidak boleh didaftarkan dengan nama anda. Ia mesti didaftarkan dengan nama syarikat anda. Kerana itu Ramli kena mendaftarkan sebuah syarikat untuk membolehkan beliau membeli tanah berkenaan.

Pada 31 Mei 2006, Ramli telah menulis sepucuk surat kepada KPN meminta izin menjadi seorang pengarah/pemegang saham sebuah syarikat bernama Kinsajaya Sdn Bhd yang telah didaftarkan pada 20 April 2006 dan yang dimiliki bersama dengan Jeneral (B) Datuk Muhamad Yassin bin Yahaya. Tujuan syarikat itu ialah untuk menjadi pemilik tanah seluas 950 ekar yang diberikan oleh Kerajaan Sabah mengikut skim kurnia dan gratuiti.

Pada 29 Jun 2006, Ibu pejabat Polis telah menulis kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri meminta izin untuk Ramli menjadi seorang pengarah/pemegang saham syarikat berkenaan. Pada 7 Julai 2006, kelulusan telah pun diberikan.

Kesalahan Ramli adalah satu kesilapan berbentuk teknikal. Kesilapannya adalah kerana tidak membuat deklarasi tersebut. Bukan sahaja dia mengisytiharkan pembabitan dalam syarikat berkenaan, malahan dia pernah membuat pengakuan bahawa syarikat itu adalah untuk mendapat faedah menerima tanah. Dan dia telah pun mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian.

Kenapakah perkara ini dibangkitkan sekarang? Kenapakah mereka memutarbelitkan isu itu dan menyebut angka RM27 juta, yang kini ternyata satu khayalan semata-mata? Adakah satu kebetulan bahawa perkara itu dibangkitkan bertepatan dengan usaha untuk membanteras sindiket terancang kumpulan Cina?

Sesungguhnya banyak lagi perkara lain dalam kisah ini tetapi kita akan menamatkannya di sini untuk seketika dan membenarkan anda menghadamkan apa yang telah dibentangkan. Kalau anda fikir isu ini adalah laksana dinamit, saya ingat eloklah anda tunggu sehingga membaca bahagian 2 kisah ini. Jikalau kisah ini dan perihal kisah kehilangan dan pembunuhan ramai kanak-kanak termasuk kisah tembakan di Batu Buruk yang baru sangat terjadi tidak cukup melunturkan keyakinan anda terhadap PDRM, tentulah bahagian 2 laporan ini akan meyakinkan anda betapa perlunya dilakukan rombakan besar-besaran kepada pasukan polis negara ini.

Adalah tidak memadai untuk kita menuding jari ke arah KPN sebagai penyebab kereputan yang sudah terjadi. Kita juga perlu menuding jari ke arah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri termasuk menteri mereka yang tidak lain dan tidak bukan adalah Perdana Menteri Malaysia. Semua ini tidak akan berlaku dan tidak menjadi, mungkin kecuali ada sesuatu yang tidak kena di pihak atas. Ini bermakna adalah tidak memadai untuk membersihkan pasukan polis. Kita juga perlu membersihkan mereka yang berlenggang di koridor kuasa, yang sesungguhnya mengurus pasukan polis dan pemegang amanah rakyat. Pemegang amanah rakyat ini telah menyalahgunakan amanah yang diberikan dan mereka perlu dihukum kerana jenayah itu. Kita letakkan mereka di sana untuk memelihara kepentingan rakyat. Mereka telah mencabul amanah itu dan orang tidak siuman ini sedang menguruskan rumah orang gila.

Sila Lihat segala lampiran (addendum) daripada laman Malaysia-Today.

ADDENDUMS


0 Responses to “Pendedahan : Mana yg Satu d’UTAMAKAN ??”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: