29
Sep
07

Suspek Wanita Dalam Kes Nurin Buat Panggilan Kepada Rakan Cop

Berita aKUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Wanita yang ditahan polis malam semalam ekoran pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin membuat beberapa panggilan telefon kepada “Rakan Cop” untuk mengetahui perkembangan dalam tugas polis mengesan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang ketika itu masih hilang.

Sumber polis berkata siasatan awal menunjukkan wanita berumur 23 tahun itu menggunakan sekurang-kurangnya lima kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua telefon bimbit untuk membuat panggilan itu serta menghantar SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) kepada Rakan Cop.

Dia juga dipercayai menghubungi Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin, ketika kanak-kanak itu mula hilang dan memberitahu bahawa Nurin Jazlin berada dalam jagaannya, kata sumber itu.

Ketika menahan wanita itu, yang dipercayai seorang warga asing, polis merampas dua telefon bimbit dan empat kad SIM, kata sumber itu. Bagaimanapun, tanpa disedari polis, wanita itu meletakkan satu kad SIM, iaitu kad kelima, di bawah lidahnya.

Sumber itu berkata wanita terbabit cuba menelan kad SIM itu, dipercayai mengandungi maklumat berhubung panggilan yang dibuatnya kepada Jazimin, semasa dia dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tengah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya selama tujuh hari.

Ketika itulah dia rupa-rupanya tercekik kad itu dan hampir pengsan, kata sumber itu lagi.

Bernama difahamkan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei kemudian membawa wanita terbabit ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) bagi mengeluarkan kad SIM itu.

Polis turut membawa wanita berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3.30 petang ini untuk diambil darahnya bagi ujian DNA.

Hubungan antara wanita itu dengan empat suspek lelaki yang ditahan semalam masih belum dipastikan.

Wanita itu ditahan tengah malam semalam di Bazar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan, di mana dia bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah gerai menjual baju. Dia dikatakan bertanggungjawab memberi makan Nurin Jazlin sepanjang kanak-kanak itu ditahan iaitu antara waktu dia dilaporkan hilang pada 20 Ogos berhampiran rumahnya di Wangsa Maju di sini dan sehingga mayatnya ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya pada 17 Sept.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee mengesahkan penahanan wanita itu.

Dia ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan segera dibawa ke Bukit Aman untuk disoalsiasat.

Pada Khamis malam, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita, berumur antara 27 dan 33 tahun, dalam tiga serbuan berasingan di Seksyen 7, Shah Alam. Mereka membebaskan wanita itu tetapi memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas lelaki berkenaan.

— BERNAMA

Berita sebelumnya

Suspek Wanita Ditahan Bantu Kes Bunuh Nurin

 

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Seorang wanita pembantu gerai menjual pakaian merupakan suspek terbaru yang ditahan tengah malam tadi bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam kanak-kanak lapan tahun, Nurin Jazlin Jazimin.

Wanita dipercayai warganegara asing itu dikatakan orang yang bertanggungjawab memberi makan dan minum pada Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee mengesahkan penahanan itu.

Wanita berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama polis Daerah Petaling Jaya pukul 12 tengah malam ketika sedang bekerja di sebuah gerai di Pasar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sebaik ditahan wanita itu terus dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan.

Polis kemudian mendapatkan perintah tahanan reman tujuh hari terhadap wanita itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Wanita itu yang memakai baju berwarna kuning bercorak batik dan berseluar coklat muda tiba di perkarangan mahkamah pukul 12 tengah hari ini diiringi dua anggota polis wanita menaiki sebuah kereta polis.

Terkejut dengan kehadiran ramai pemberita dan jurugambar yang menanti, wanita itu tiba-tiba rebah seolah-olah pengsan di hadapan pintu masuk mahkamah tetapi diusung anggota polis wanita masuk ke dalam mahkamah.

Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Maimunah Aid kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei, menjadikan kini sejumlah lima orang ditahan reman berhubung kes tersebut.

Semalam, polis menahan lima orang berusia antara 27 dan 33 tahun termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan Nurin Jazlin dalam tiga serbuan di Seksyen 7, Shah Alam.

Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan selepas keterangannya.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin dilaporkan hilang selepas keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Sekyen 1 Wangsa Maju. Mayatnya ditemui 27 hari kemudian di dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di Petaling Jaya.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu menjadi mangsa deraan seksual.

— BERNAMA


0 Responses to “Suspek Wanita Dalam Kes Nurin Buat Panggilan Kepada Rakan Cop”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: