04
Oct
07

PAS anggap kenyataan Johari ‘cakap politik murahan’

Artikel Oleh Muda Mohd Noor
Malaysiakini

aPAS Terengganu menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum bahawa parti itu menjadi punca kejadian rusuhan di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud pada 8 September lalu sebagai “cakap-cakap politik murahan semata-mata”.

Setiausahanya, Yahaya Ali berkata, Johari cuba mengalih perhatian masyarakat mengenai kejadian sebenar, terutama tindakan seorang anggota polis melepaskan tembakan peluru hidup ke arah orang awam, yang mengakibatkan dua ahli PAS cedera.

“Jika polis tidak ganggu, tidak akan berlaku rusuhan kerana kita (PAS) telah mengadakan berpuluh-puluh ceramah di kawasan berkenaan tanpa sebarang kekecohan.

“Untuk menyalahkan PAS memang mudah tetapi apabila bercakap, kita kena tengok adakah jawapan itu logik atau tidak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Johari bahawa kejadian rusuhan di Batu Buruk pada 8 September lalu adalah kesilapan parti PAS kerana ingkar dengan arahan pihak berkuasa.

Menurut Timbalan Menteri itu lagi, kejadian itu tidak mungkin terjadi sekiranya PAS mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak mengadakan ceramah tanpa permit polis.

“Mereka sudah tahu permit untuk mengadakan ceramah tidak diluluskan, tetapi PAS tetap degil sehingga mencetuskan ketegangan,” kata Johari kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.

Dakwaan provokasi

Sehubungan itu, Yahaya berkata, walaupun dilempar dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan, PAS akan terus mengadakan ceramah bagi menyampaikan maklumat semasa.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Salahuddin Ayub tetap mendakwa bahawa Umno telah menghasut pihak polis supaya melakukan provokasi sehingga tercetusnya rusuhan tersebut.

Berdasarkan pengalaman, katanya, tidak pernah berlaku rusuhan atau kejadian buruk di majlis ceramah PAS.

“PAS boleh mengendalikan sendiri ceramah dengan aman sebagaimana yang kita lakukan sebelum ini,” katanya.

Rusuhan di Jalan Sultan Mahmud itu tercetus selepas pihak polis tidak membenarkan satu ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya, Bersih – gabungan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang – di pantai Batu Buruk pada malam berkenaan.

Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mendakwa polis tidak mengeluarkan permit tersebut setelah mendapat arahan dari Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh (foto) yang juga Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Bagaimanapun, Wan Farid telah menafikan dakwaan tersebut.


0 Responses to “PAS anggap kenyataan Johari ‘cakap politik murahan’”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: