04
Oct
07

‘Ustaz & Ustazah’ Samperit, Chef dan Sami Burma !

artikel ini saya petik dari Blog faisal tehrani yang saya amat persetujui mesej yang ingin disampaikan kepada Ustaz ustaz, Ustazah ustazah diluar sana!!

malah ia juga harus menjadi  renungan buat kawan kawanku yang pulang  dari Mesir, Jordan dan Madinah.

apakah anda lemas dalam  keselesaan pemerintah Hadhari, sehingga antum semua jauh dari jamaah, mungkin ada dari mereka  sampai takut bertegur sapa risau dicop orang Bulan…

petikan : http://tehranifaisal.blogspot.com/

reformis muda
———————————————————

‘Ustaz & Ustazah’ Samperit, Chef dan Sami Burma

+ Ustaz gentel betul-betul ya. Nanti saya tengok cara ustaz gentel betul ke tak.

– Gentel macam ni ke?

+ Meh saya tengok ustaz punya besar ke tak lepas gentel.

Memang, memang dialog aib itu disalin hampir bulat-bulat dari sebuah rancangan masakan yang menampilkan ustaz dan ustazah (selepas ini uus iaitu s untuk samperit) berpadanan dengan seorang chef. Persembahan rancangan masakan itu ialah dengan sang uus sama-sama menguli atau menggentel tepung sambil sang uus bercerita tentang zakat, hikmah puasa, haramnya berjimak di siang hari bulan Ramadhan dan beberapa hal remeh temeh seperti jangan membazir, jangan malas terawih dan macam-macam lagi.

Buset! Memang memualkan. Tanpa menafikan niat baik untuk berdakwah secara amat pop dan komersil, kita hari ini berasa malu dengan kerenah uus menggentel tepung suji kerana uus ini telah hilang peranan sebagai agamawan.

 

 VS



Wahai uus, janganlah mencemarkan disertasi, kajian dan keilmuan akademis anda dengan kepopan ala semperit. Malu, malulah antum sekalian dengan sami yang tak makan daging pun, dan hanya makan sayur-sayuran kerana mereka lebih berani ke hadapan dalam memimpin masyarakat untuk mempersoalkan ketidakadilan.

Di mana peranan antum uus sebagai pewaris nabi? Tak malukah kalian tersipu-sipu menggentel tepung dengan planta terhegeh-hegeh menempel membaca hadis sedangkan dunia dilandai porak peranda, sedang masyarakat memerlukan bimbingan. Takkan kalian buta!

Antum tahu ke tak yang dalam rancangan Gol & Gincu misalan, hukum berjudi boleh saja dipersendakan, antum tahu ke tak korupsi telah merebak piak sehinggakan kami sebagai ahli masyarakat telah ditindas.

Antum mesti tahu yang penindasan tidak bererti dibelasah dipukul diganasi (walaupun memang ada) tetapi penindasan juga berlaku secara spiritualnya. Dan inilah penindasan terbesar. Kami tidak mendapat hak rohani kami dan antum uus tidak pun berjuang untuk itu, sebaliknya antum uus mencemarkan ilmu kalian dengan menguli kuih samperit! Asiah isteri Firuan, ditindas secara spiritual, begitulah kami! Nah kalian uus buat apa? Menggentel di dapur dan kemudian saling membandingkan apakah lepas diuli itu gentelan itu besar atau kecil?

Uus apakah kalian lupa yang sehari dua ini kita umat Islam (satu masa dahulu) kehilangan sebuah kawah ilmu iaitu Amirul Mukminin Saidina Ali as-Siddiq, al Faruk yang kesyahidannya membawa falsafah besar untuk kalian sebagai agamawan.

Duhai uus, malulah; berhentilah menggentel tepung di dapur sebaliknya pimpinlah kami seperti sami memimpin pengikutnya!

Tahukah kalian uus yang setelah peristiwa syahidnya Saidina Ali, Saodah puteri Ammar bin Yasir, telah menemui Khalifah Muawiyah, sang penguasa pertama dari Bani Umaiyah. Saodah dan papanya memang dikenali sebagai pendokong Saidina Ali secara total. Maka Muawiyah langsung menyambut kedatangannya dengan amarah. Muawiyah bertanya dengan angkuh apakah maksud kunjungan Saodah.

Saodah sang feminis yang tidak terperuk menguli tepung gandum dengan lantang (ambil perhatian: meski dia perempuan) berkata: “Hei Allah SWT pasti akan mengazab penguasa yang tidak memperhatikan hak-hak hamba Allah. Kau memilih pemimpin yang berbuat aniaya kepada rakyat dan kau pasti akan mendapat murka Allah. Sekarang engkau telah menetapkan pemimpin yang berkuasa atas kami, di mana laki-laki kami dibunuh dan harta kami mereka rampas, kerana itu turunkan dia dari jawatannya. Jika tidak kami akan bangkit.”

Kemudian Saodah menambah: “Sungguh, kurnia Allah terlimpah kepada jiwa suci yang sekarang berbaring dalam makamnya dan dengan ketiadaannya, keadilan turut terkubur dalam bumi. Dia adalah penegak kebenaran dan hak, kebenaran olehnya tidak digantikan dengan apa saja. Hak dan iman telah dipadukan dalam satu tempat.”

Mendengar ucapan ini, Muawiyah kebingungan. “Kamu berbicara tentang siapa?” tanya Muawiyah. “Tentang Saidina Ali.” jawab Saodah. “Aku teringat suatu saat di mana aku pergi menghadap kepadanya untuk mengadu tentang perangai para amil zakat. Ketika aku tiba, beliau dalam keadaan siaga untuk memulai solat. Akan tetapi beliau menangguhkan seketika, dan dengan ramahnya beliau bertanya maksud kedatanganku.

Ketika aku jelaskan pengaduanku, air mata baginda bergenangan di kelopak matanya. Beliau berkata: “Ya Allah engkau tahu dan menyaksikan bahawa sama sekali aku tidak pernah memberi perintah kepada para petugasku agar mereka berlaku aniaya kepada hamba-hambaMu.” Setelah itu Saidina Ali langsung menangani pengaduanku dan memecat para petugas pengumpul zakat yang terbukti berlaku aniaya.

Uus, kalian lihatlah betapa pekanya menantu Rasulullah yang mulia ini bertindak sebagai pewaris nabi. Dalam kemelut korupsi dan penyelewengan yang kronik dan memerlukan campur tangan segera sebagai pemimpin, antum uus masih boleh main tepung dan gentel menggentel seraya membandingkan betapa besar atau tidak gentelan itu!

Tugas kalian bukan main mentega sambil berbisik-bisik tentang serba sedikit fardu ain tetapi tugas kalian lebih dari itu, kalian uus dari menara gading dan mesti menjadi pengganti nabi dalam menegakkan keadilan dan membela hak manusia. Kalian uus adalah ‘media’ keIlahian dan kemanusiaan. Kalian harus memimpin bukan menggentel semperit!

Dan kalian juga jangan jadi agamawan angkuh yang mengeluarkan fatwa remeh temeh seperti ‘apa hukum darah nyamuk pada baju melayu saya untuk dibawa solat’ sedang darah umat Islam ditumpahkan secara pedih oleh musuh Islam kalian tidak bersuara pun dan tidak kalian letakkan hukumnya.

Duhai uus!

Belajarlah dari Ali, belajarlah dari pewaris nabi ini, kerana kalian sepatutnya mengambil tugas pewarisan ini dan bukannya tersipu-sipu senyum-senyum kenari di sisi chef menggentel kuih biskut London!

Biarkan tat dengan pembakar tat, kalian uus dikehendaki memimpin masyarakat. Kalian uus harus malu dengan Sami Burma. Harus malu, mana kalian nak letak muka? Tidakkah kalian jadikan itu semua pengajaran kerana kejadian di Yangon itu memang dicipta Allah supaya menjadi bukti kepada kalian; supaya menjadi tempelak untuk kalian di bulan Ramadhan ini. Pilihlah Amirul Mukminin Ali duhai uus!


Bangkitlah duhai agamawan, duhai ulama, pimpinlah kami keluar dari cahaya kegelapan dan kebatilan ini dan bawa kami kepada kepatuhan Ilahi. Bawa kami keluar dari penindasan rohani seperti yang dialami Asiah, duhai ustaz dan ustazah – ambillah nasihatku, muridmu yang tidak penting ini supaya berperanan dalam ummah –


Paling tidak pun, Allah mendatangkan ‘ayatnya’ – Malulah kalian dengan sami!

 


0 Responses to “‘Ustaz & Ustazah’ Samperit, Chef dan Sami Burma !”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: