18
Oct
07

‘‘Kami sedia pindah tetapi…’’

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUIKUALA LUMPUR 17 Okt. – ‘‘Kami sedia berpindah hari ini tetapi selesaikan tiga persoalan terlebih dahulu,’’ demikian reaksi Penduduk Rumah Pangsa Tuanku Abdul Rahman (TAR) atau lebih dikenali sebagai Flat Pekeliling yang didakwa enggan berpindah daripada kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pemindahan Rumah Pangsa TAR, Richard Poh Soon Seng, berkata, tiga persoalan itu adalah seperti berikut.

* Bilakah rumah Rumah Kos Rendah (RKR) yang dijanjikan kepada mereka pada tahun 2005 akan siap?

* Jika mereka berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, berapa lamakah perpindahan itu?

* Apakah jaminan mereka akan mendapat RKR yang dijanjikan itu kerana sehingga hari ini rumah tersebut gagal disiapkan walaupun setelah tiga tahun berlalu?

Soon Seng berkata, mengikut persetujuan yang dibuat antara penduduk, pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2005, sebuah RKR akan dibina di Parcel S Sentul bagi menempatkan pemilik asal flat berkenaan.

‘‘Jika ikutkan perancangan, dalam tempoh tiga tahun flat tersebut akan siap dan kami akan dipindahkan ke situ tetapi sampai hari ini bayang flat berkenaan pun tidak nampak.

‘‘Walaupun pelbagai mesyuarat dan dialog diadakan tetapi tiada jalan penyelesaian diperoleh.

‘‘Oleh sebab itu kami mengambil keputusan untuk tidak berpindah selagi kami tidak jelas dengan perjanjian yang dibuat, ‘’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah, penduduk tidak berminat berpindah ke PPR Desa Rejang, Setapak, kerana flat tersebut tidak dilengkapi kemudahan asas.

‘‘Malah penduduk yang telah berpindah merungut flat tersebut banyak masalah seperti kebocoran serta kesesakan tempat letak kenderaan,’’ katanya.

Seorang lagi penduduk, Zulkiflee Mohd. Nor, berkata, projek mega yang bakal dilaksanakan di tapak flat itu amat dialu-alukan oleh penduduk demi pembangunan rakyat namun perlu dibuat dengan cara yang betul.

‘‘Kami adalah tuan tanah dan kami berhak ke atas tanah yang kami duduki ini, jadi pihak pemaju seharusnya mengutamakan kehendak kami sebelum melakukan sesuatu.

‘‘Kami hanya inginkan jaminan bahawa RKR yang dijanjikan itu siap dan bukannya janji-janji kosong,” tegasnya yang juga selaku Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Pemindahan Rumah Pangsa TAR.

Seorang penduduk, Koh Heng Chun, 77, yang telah tinggal di flat tersebut sejak 38 tahun lalu berkata, pihak DBKL dan pemaju tidak sepatutnya mengambil sikap sambil lewa tentang perkara itu.

‘‘Kami sudah tua dan tidak mampu untuk berpindah jauh, jadi kami harap sangat DBKL dapat pertimbangkan RKR itu, ‘’ katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shua Sia Moi, 66, yang turut dukacita dengan tindakan DBKL dan pemaju itu merayu agar dilaksanakan projek RKR itu secepat mungkin.

‘‘Saya telah tinggal di sini sejak 40 tahun yang lalu dan merasai kesukaran tinggal di sini.

‘‘Jadi sebelum saya menghembuskan nafas yang terakhir saya teringin untuk tinggal di rumah yang telah dijanjikan itu bersama anak dan cucu saya,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Wong Tuck Sum, 50, menafikan keengganan penduduk berpindah seperti yang gembar-gemburkan sebelum ini.

‘‘Kami akan berpindah hari ini juga sekiranya kami mendapat penjelasan yang jelas dari mereka, namun apa yang berlaku tidak seperti yang kami harap.

‘‘Kami tidak meminta pampasan lebih cuma mengharapkan RKR di Parcel S dapat disiapkan segera,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penduduk terbabit turut menyuarakan tiga cadangan yang pernah diberikan kepada DBKL sebelum ini untuk menyelesaikan masalah itu.

Antaranya ialah penduduk meminta pindah terus ke Parsel S sekiranya projek itu siap pada 2008, berpindah terus ke rumah pangsa kos sederhana Melor, Bandar Baru Sentul ataupun tinggal di Blok E Flat Pekeliling yang telah diubah suai untuk dijadikan kediaman sementara menunggu Parsel S siap dibina.


0 Responses to “‘‘Kami sedia pindah tetapi…’’”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: