31
Oct
07

Roboh rumah Rimba Jaya, penduduk kecewa Umno mungkir janji

Nyza Ayob
Wed | Oct 31, 07 | 5:54:34 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) – “Mana perginya Wanita Umno yang berjanji untuk menolong kami. Hingga tiba hari ini, rumah kami dah dirobohkan batang hidung mereka pun tidak nampak,”demikian luahan Zainatun Dasuki dan Rusiah Rashid, mangsa perobohan rumah di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam, semalam.

<!––>

Semalam, 274 keluarga bukan sekadar diusir oleh pihak berkuasa tempatan bagai pendatang asing, bahkan nasib mereka tidak mendapat perhatian pimpinan negeri.

ImageJika penduduk India dikunjungi Presiden MIC, Dato’ Seri S. Samy Vellu, mereka hanya dikunjungi Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Dato’ Mohd Mokhtar Dahlan. Bahkan kunjungan seketika cuma tidak mampu mengubat kedukaan mereka.

Jelas Zainatun, tanpa sebarang notis daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan tanpa hitam putih daripada pihak berkenaan hanya melalui notis yang diberikan melalui peguam mereka, Teng Chang Kim and Co bertarikh 19 Oktober, mereka diberi tempoh selama seminggu untuk berpindah.

Dalam tempoh yang singkat itu, mereka tidak sempat untuk melakukan persiapan perpindahan apatah lagi untuk mencari rumah untuk di sewa.

Zainatun yang menetap di Kampung Rimba Jaya sejak 1979 lagi menyatakan kekecewaannya kerana , pemaju tidak mengotakan janji mereka sebagaimana dijanjikan kepada 800 orang penduduk yang telah berpindah sebelum ini.

Rumah yang disediakan pemaju juga katanya belum siap sepenuhnya serta tidak mendapat sijil layak menduduki (CF).

“Mereka mengatakan sesiapa yang nama mereka disenarai hitam serta telah berusia boleh membuat pinjaman. Tetapi itu hanya janji-janji kosong semata-mata. Sehingga kini mereka yang telah berpindah ke Seksyen 16 tidak dapat membuat sebarang pinjaman. Mereka juga tidak mampu membayar sewa rumah pangsa yang diduduki.

Image“Kami faham dan kami juga bukan tidak mahukan pembangunan. Cuma kami mengharapkan diberi tempoh sehingga anak-anak kami tamat penggal persekolahan tahun ini. Jika kami tidak dapat membuat pinjaman, biarlah anak-anak kami dapat buat pinjaman tersebut,” katanya yang rumahnya dirobohkan kira-kira jam 7.30 pagi.

Jelas Zainatun lagi, air matanya sudah kering untuk menangisi nasib yang menimpa, apatah lagi apabila melihat rumahnya diranapkan oleh tangan yang tidak bertanggungjawab dalam sekelip mata.

“Kami membangunkan rumah ini dengan titik peluh kami sendiri. Walau lima sen pun mereka tidak membantu kami. Mereka kata akan membela nasib orang Melayu, tetapi mana pembelaan tersebut di saat keadaan kami seperti ini

“Sewaktu pilihan raya kami tetap mengundi, tetapi apa yang kami dapat? Kenapa susah sangat mereka beri rumah yang selesa kepada orang Melayu? Jika bangsa asing mereka begitu senang mendapatkan penempatan tetap,”katanya yang melahirkan kekesalan dengan sikap pemimpin yang tidak membela nasib mereka.

Buat sementara waktu, Zainatun dan keluarganya menumpang di rumah adiknya yang tinggal di kampung berhampiran.

Dalam pada itu, bagi Rusiah Rashid, yang telah menghuni di kampung tersebut selama 30 tahun juga terpaksa menanggung kepedihan dan kesukaran apatah lagi salah seorang daripada anaknya mengidap penyakit kronik.

ImageNor Fatihah Abdullah Zin yang mengidap penyakit jantung berlubang dan mempunyai masalah buah pinggang, mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, selain masalah kewangan, dengan situasi yang terpaksa dihadapi Rusiah dan suaminya yang cuma seorang pengawal keselamatan, menyukarkan lagi baginya untuk berulang alik ke hospital.

“Tiada siapa pun yang mengambil tahu penyakit yang menimpa anak saya ini. Selain jantung berlubang, Nor Fatihah juga terpaksa menanggung beberapa penyakit lain.

“Dah kena pindah ni, makin sukar untuk saya ke HKL untuk mendapatkan rawatan Nor Fatihah. Kami pun tidak tahu di mana kami hendak tinggal,”jelas Rusiah, sambil menyeka air mata yang berlenangan.

Sungguhpun menanggung sakit dengan terpaksa bergantung dengan tiub di badannya, Nor Fatihah masih mampu tersenyum di sisi ibunya. Mungkin penderitaan yang ditanggung tidak dipamerkan anak kecil ini.

Rusiah juga melahirkan kekesalan kerana Wanita Umno yang pernah berjanji menghulurkan bantuan, sekadar meninggalkan janji-janji kosong.

“Di saat Nor Fatihah sakit, tiada seorang pun datang menghulurkan bantuan walau satu sen pun. Kerajaan memang tidak memahami rintihan rakyat, ” tegasnya sambil menahan sebak.

Ibu kepada 12 orang anak ini juga bertambah gusar apabila ada antara anaknya terpaksa tidak ke sekolah serta mengambil peperiksaan penggal akhir persekolahan.

“Bagaimana nak ke sekolah dalam keadaan rumah nak dirobohkan? Macam mana nak belajar? Buku dan pakaian sekolah pun tidak tahu kat mana letaknya,”katanya sambil menahan sebak.

Dalam pada itu, tinjauan Harakahdaily di tapak yang hampir menjadi padang jarak padang terkukur itu, menyaksikan bagaimana penduduk kampung terpaksa mengutip ‘sisa-sisa’ daripada perobohan mereka. Ada yang mengutip papan, kayu dan zink yang mungkin boleh dikitar semula.

Malahan dalam situasi yang agak sayu itu ada juga gelagat di kalangan mereka yang mencuri perhatian orang ramai.

Gelagat seorang kanak-kanak bernama Nabil mengikat Jalur Gemilang yang agak lusuh di lehernya serta berlari ke hulu ke hilir ala ‘Superman’ menyebabkan beberapa orang penduduk kampung menjerit ke arahnya sambil melaungkan ‘Inilah Malaysiaku yang gemilang’.

Dalam pada itu, seorang wanita yang bernama Rohaya juga secara simbolik memacakkan jalur gemilang di bumbung rumahnya yang menunggu waktu untuk dirobohkan.

“Lihatlah Malaysiaku yang gemilang, Malaysiaku yang cermerlang dan lihatlah keadaan Malaysia yang aman damai ini,” katanya sambil mengibarkan bendera tersebut.

Dalam situasi tersebut juga, kanak-kanak kecil, Iman Nur Aina, 7, terpaksa menahan kesakitan akibat terpijak paku yang menembusi kasutnya sewaktu mencari barang-barang persekolahannya.

Malahan ada kalangan mereka yang mendirikan khemah untuk berteduh.

Entah bagaimana nasib mereka, hari ini dan seterusnya. Mungkinkah mereka akan terus tidur berbumbungkan langit, atau juga berbumbungkan tilam yang dijadikan tempat berteduh serta beralaskan rumput serta daun-daun?

Atau mungkinkah juga mereka akan terus berkhemah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Kampung Batu 8, Hulu Klang? – mks.


0 Responses to “Roboh rumah Rimba Jaya, penduduk kecewa Umno mungkir janji”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: