01
Nov
07

Suasana semakin kusut dan kalut

Siapa yang tidak bimbang jika melihat perkembangan yang tersingkap di depan mata kepala kita sejak kebelakangan ini? 50 tahun Merdeka dan kini kita sedang dipertontonkan dengan beberapa perkembangan yang tidak pernah terbayang boleh berlaku dibenak kepala kita selama ini.Saya yakin kita tidak pernah selama ini melihat seorang pegawai kanan polis memanggil sidang akhbar lengkap dengan pakaian seragam dan dikelilingi oula oleh para pegawainya, mempertahankan dirinya dan menyerang sebuah agensi kerajaan yang lain. Dalam waktu yang sama beliau juga mendakwa yang pasukan (PDRM) tidak mempertahankan beliau dan para pegawai beliau dalam menjalankan tugas mereka.

Mungkin senario seperti ini biasa terjadi di Filipina, dimana jeneral sesama jeneral boleh berbalah secara terbuka, tetapi di Malaysia, ini sejarah!

Pegawai Kanan Polis itu juga dengan penuh yakin menyatakan beliau melakukan tugasnya menyiasat seorang Raja Ah Long, dan kemudian menahannya atas arahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ini juga sesuatu yang baru bagi saya. Biasanya pegawai kanan polis, dari mana jabatan sekalipun, kalau pun menyebut menerima arahan, maka nama yang akan disebut adalah pegawai tertingginya iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Polis Negara. Mengapa dalam hal ini pegawai ini tidak berbuat demikian sebaliknya menyebut nama seorang Timbalan Menteri. Sejak bilakah seorang Pengarah Jabatan Polis menerima arahan terus dari orang politik dan bukan pegawai atasan atau tertingginya?

Saya tidak berhasrat mengulas pendedahan pegawai kanan itu semalam serta keserabutan kes ini yang mana, pegawai yang dikatakan bernilai RM27 juta itu difahamkan akan diseret ke mahkamah oleh pihak BPR hari ini. Saya lebih berminat menunjukkan betapa, satu demi satu perkembangan mutakhir ini yang membuktikan betapa kroniknya keadaan pentadbiran dan pengurusan negara hari ini, kebetulan tepat 4 tahun pentadbiran PM Dollah Badawi!

Semalam juga Menteri di JPM Nazri Aziz yang juga merupakan suatu lagi karektor yang banyak menyumbang ke arah kusut-masainya pentadbiran negara kita, menasihatkan pegawai kanan polis itu agar jangan melepaskan geramnya melalui sidang akhbar tetapi sebaliknya mempertahankan dirinya di mahkamah. Sedangkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri pula berkata, apa yang dibangkitkan oleh pegawai itu perlu diteliti dan disiasat.

Sementara itu hari ini, dalam NST seorang Menteri Pusat melanyak pula seorang MB dari parti kerajaan secara terbuka. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Radzi Sheikh Ahmad mendedahkan bahawa rungutan MB Perlis, Shahidan Kasim (yang senegeri dengan beliau) berkenaan kononnya lambakkan pekerja asing di Perlis itu tidak berasas. Sebelum ini MB Perlis dilaporkan telah berkata bahawa Perlis tidak memerlukan pekerja asing dan sebaliknya akan mengatasi masalah itu dengan mengunakan tenaga tempatan sepenuhnya.

Kata Radzi , Shahidan seorang MB yang tidak tahu apa yang berlaku dalam negerinya sendiri! Menurut Radzi, Perlis hari ini menggunakan 5,480 orang pekerja asing dengan sebahagian besarnya bekerja di ladang-ladang tebu negeri tersebut. Beliau bersedia membatalkan kesemua permit pekerja asing di Perlis jika benar Shahidan boleh mendatangkan tenaga tempatan.

Dan kata Radzi lagi mengapa Shahidan sendiri menggajikan 5 orang pekerja asing sebagai orang gajinya sedangkan ramai ibu tunggal di Perlis boleh diambil bekerja!

Begitulah nasib yang menimpa negara kita hari ini. Pegawai sesama pegawai bertelagah, Timbalan Menteri dan Menteri dan kini Menteri dengan Menteri Besar. Bagi saya ini membuktikan betapa longgar dan lemahnya pentadbiran negara, dan jika tidak dikawal ianya bakal mengundang akibat buruk kepada rakyat dan negara.

Rupanya tidak cukup dengan yang Melayu, yang bukan Melayu pun bertikam-tikam lidah dan bermusuhan. Semalam Timbalan Menteri di JPM yang juga Presiden PPP, M Kayveas telah menyelar Presiden MIC Samy Vellu kerana menggelar partinya sebagai parti nyamuk. Kata Kayveas, Samy menyangka yang semua rakyat keturunan India adalah nyamuk sedangkan beliau tidak sedar yang beliau seekor ular sawa yang menelan apa sahaja di hadapannya dan kini mahu menelan PPP.

Pernahkah anda melihat kecelaruan antara pemimpin dan para pegawai sebegini sebelum ini secara terbuka? Almarhum Tunku dahulu selain menghadapi ancaman kominis selepas Merdeka, berhadapan juga dengan krisis dengan Filipina di bawah Marcos dan Indonesia di bawah Sukarno. Tetapi pentadbirannya kemas dan berwibawa. Demikian juga Allahyarham Tun Razak yang bangkit dari runtuhan 13 Mei sehingga mampu terbit dengan gelaran Bapa Pembangunan. Hari ini kita tiada ancaman diperingkat antarabangsa mahupun dalaman, namun suasanaya sungguh tegang dan tidak meyakinkan.

Ke manakah kita selepas ini?

SILA KE ROSLAN SMS CORNER
http://n32.blogspot.com
roslansms@gmail.com


0 Responses to “Suasana semakin kusut dan kalut”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: