06
Nov
07

Powerful vs bloodyful – Pentadbiran Abdullah makin dangkal dan bebal

Mahfuz Omar
Tue | Nov 06, 07 | 3:59:57 pm MYT
Selepas negara digemparkan oleh kegiatan “judges shopping” baru-baru ini, kini satu lagi penyelewengan kuasa didedahkan apabila Ketua Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Dato’ Ramly Yusuff didakwa kerana memiliki harta bernilai RM27 juta.

<!––>

Pemilikan harta di luar kemampuan ini bukanlah isu utama, tetapi bagaimana pendedahan ini berpunca daripada kegiatan broker-broker kroni dalam mencaturkan jawatan pegawai-pegawai tinggi polis – seperti mana Dato’ VK Lingam didakwa mencaturkan para hakim.

Apa yang jelas di dalam skandal ini ialah kelemahan dan kegagalan Kerajaan Umno/BN yang dipimpin oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam melahirkan budaya good governance di negara ini.

Amat memalukan sekali apabila Perdana Menteri gagal mengawal pegawai-pegawainya, bahkan membiarkan pihak ketiga menentukan masa depan negara. Dulu ramai juga yang tercengang apabila Tun Dr Mahathir mendakwa “Tingkat 4” menguasai pejabat Perdana Menteri dan menentukan polisi-polisi negara.

Rupa-rupanya, kini orang-orang yang berada jauh daripada Putrajaya juga turut menggunakan kuasa “remote control” ke atas pejabat Perdana Menteri. Apa yang boleh kita simpulkan ialah para pemimpin kita seolah-olah begitu dungu terhadap tanggungjawab masing-masing.

Rakyat pernah tertanya-tanya bagaimana pengawal peribadi Timbalan Perdana Menteri boleh ‘mencuri’ bom canggih untuk mengebom rakyat Mongolia.

Hari ini rakyat semakin tidak keruan apabila Perdana Menteri sendiri kehilangan pedoman sehingga dikawal kiri dan kanan, atas dan bawah oleh pelbagai pihak dalam menentukan dasar-dasar negara.

Pemimpin yang brtanggungjawab dan berwibawa sepatutnya menyedari tugas dan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kedaulatan negara, melaksana keluhuran undang-undang, memastikan keadilan untuk rakyat, mengukuhkan ekonomi negara, memastikan kebajikan terbela dan sebagainya.

Pendek kata kuasa pemerintahan yang diwakilkan oleh rakyat kepada mereka diguna dan dimanfaat dengan bersungguh-sungguh bagi menjaga kepentingan rakyat.

Amat malang sekali bagi kita semua apabila kuasa yang diwakilkan kepada Umno/BN ini disalahgunakan untuk menindas rakyat.

Pelbagai kezaliman telah diperkatakan orang. Bukan hanya musuh-musuh politik ditindas dengan ISA, bahkan rakyat-rakyat termiskin termasuk setinggan yang setia kepada Umno pun menjadi mangsa tindasan mereka.

Sekolah-sekolah agama yang begitu berjasa pun dinafikan hak mereka, apatah lagi hal-hal yang diaggap tidak ada kena mengena dengan mereka. Lihatlah bagaimana pilihan raya yang menjadi lambang demokrasi kini menjadi simbol kuku besi!

Kini tidak cukup dengan kuasa yang ada disalahgunakan untuk menindas rakyat, kuasa yang sama juga diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apa guna rakyat menyerahkan kuasa kepada Umno/BN jika kuasa itu kemudian diserahkan pula kepada taikon-taikon yang menguasai politik negara.

Kepada VK Lingam dan Vincent Tan ‘diserahkan’ kuasa untuk melantik hakim-hakim, dan Tengku Goh pula didedahkan mempunyai kuasa untuk menentukan perlantikan pegawai tinggi polis.

Ini belum dihitung kuasa-kuasa yang dimiliki oleh ‘Tingkat 4′ dan kuasa magik yang dimiliki oleh menantu Perdana Menteri.

Cerita VK Lingam dan Vincent Tan mencaturkan perlantikan hakim telah dibongkar melalui rakaman video yang didedahkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ternyata usaha pembangkang membongkarkan perkara ini memberi kesan apabila sebuah Pasukan Penyiasat dibentuk oleh kerajaan.

Lebih berkesan lagi apabila Majlis Raja-raja menolak cadangan Perdana Menteri untuk mengekalkan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Halim sebagai Ketua Hakim Negara.

Akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya mendakwa Majlis Raja-raja menolak cadangan untuk menyambung semula tugas Tun Ahmad Fairuz sebagai protes terhadap peranan VK Lingam dan Vincent Tan dalam skandal ini.

Sungguh aneh sekali apabila Perdana Menteri mengumumkan perlantikan Pemangku Ketua Hakim Negara kerana khidmat Tun Ahmad Fairuz berakhir pada 31 Oktober 2007.

Secara logiknya Perdana Menteri sudah tahu tentang tarikh tamat perkhidmatan Tun Ahmad Fairuz, tetapi mengapa tidak diserahkan cadangan nama kepada Majlis Raja-raja untuk perlantikan ketua hakim yang baru sehingga terpaksa melantik pemangku.

Ini menunjukkan kelemahan ketara seorang Perdana Menteri. Lainlah jika nama yang dikemukakan itu telah ditolak oleh Raja-raja Melayu. Boleh jadi benar juga dakwaan akhbar Singapura itu, walaupun akhbar perdana di negara kita menyembunyikannya.

Pendakwaan ke atas Datuk Ramly terus menjadi persoalan di benak rakyat. Jika berlaku rasuah atas kekayaan luar biasa itu, rakyat sudah lama menyedarinya.

Tetapi biasanya isu-isu rasuah terhadap pegawai tinggi polis seperti Tan Sri Musa Hassan dan Dato’ Zulkifli dahulupun diselamatkan. Tetapi yang menjadikan cerita Datuk Ramly lebih hebat kerana adnya watak Tengku Goh, seorang ketua kumpulan kongsi gelap yang bukan sahaja mencaturkan pegawai tinggi polis, tetapi turut bersekongkol dengan PDRM dalam kegiatan jenayah.

Saya bukan bermaksud untuk mempertahankan Ramly, tetapi saya terpanggil untuk mempersoalkan mengapa Datuk Ramly hanya didakwa kepada kegagalannya mengisytiharkan harta dan tindakan beliau menjadi lembaga pengarah sebuah syarikat.

Adakah pegawai tinggi polis yang lain, termasuk menteri dan timbalannya telah mengisytiharkan harta mereka serta tidak berniaga dalam mana-mana syarikat. Maka Ramly sahaja yang layak didakwa.

Kita menyedari bahawa Ramly telah menjadi mangsa balas dendam kerana telah menyiasat kegiatan Tengku Goh dan mencadangkan supaya Tengku Goh dikenakan tahanan di bawah Ordinan Darurat.

Hasil laporan Jabatan Jenayah Perdagangan, Tengku Goh telah ditahan dan dibuang daerah ke Jeli dan ketua kongsi gelap itu mendapatkan perintah habeas corpus daripada mahkamah dengan sokongan BPR dan PDRM sendiri.

Kita boleh memahami bagaimana peranan Tengku Goh ini terhadap kedudukan pegawai-pegawai tinggi polis.

Dia bukan sahaja boleh menentukan kenaikan pangkat pegawai-pegawai polis, tetapi boleh menyebabkan pegawai polis yang tidak bersekongkol dengannya didakwa seperti yang dialami oleh Ramly.

Ternyata masalah yang menghantui MCA satu ketika dahulu kini menular dan menjadi ‘hantu raya’ kepada polis pula.

Satu masa dahulu, perkara seperti ini pernah berlaku ke atas MCA apabila seorang ketua kongsi gelap, “Jacky Chan” telah didakwa oleh ahli-ahli parti itu sebagai mencatur kepemimpinan parti.

Walaupun polis telah mempunyai bukti terhadap kegiatan jenayah beliau termasuk terlibat dengan kes bunuh, senjata api dan sebagainya, beliau hanya ditahan di bawah Ordinan Darurat yang ketika itu Presiden MCA, Dato’ Seri Ong Ka Ting menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Saya tidak bermaksud untuk mengaitkan kegiatan kongsi gelap dalam MCA dengan kongsi gelap dalam PDRM, tetapi sekadar memperlihatkan betapa getirnya masa depan Negara.

Bukan sahaja parti pemerintah seperti MCA dikuasai kongsi gelap, pasukan kselamatan juga turut dikuasai anasir kongsi gelap. Lebih malang lagi apabila para pemimpin dengan sengaja membiarkan mafia-mafia politik ini menentukan perlantikan para hakim dan pegawai tinggi polis.

Kita akan berasa hairan dengan sikap yang begitu dangkal dan bebal para pemimpin yang diberi amanah oleh rakyat apabila mereka sengaja membiarkan kuasa mereka diragut oleh mafia-mafia ini.

PAS bersyukur kepada Allah apabila Majlis Raja-raja menggunakan kuasa mereka untuk menolak perlantikan semula Tun Ahmad Fairuz yang dalam kata lain Raja-raja memberi isyarat untuk tidak mahu bersekongkol dengan mafia-mafia ini.

Peliknya, pemimpin BN seperti buta hati tidak memahami amanah yang diberikan kepada mereka.

Sebagai pemimpin, apabila mereka diberikan amanah atau kuasa oleh rakyat, mereka adalah ‘powerful’.

Maka, hak kuasa ini mesti dijalankan oleh pemimpin dengan sepenuh hati untuk kepentingan rakyat.

Tetapi apa yang terjadi ialah, para pemimpin kehilangan arah dan tidak tahu menggunakan kuasa mereka sehingga kuasa itu diragut secara haram oleh mafia politik. Ia seolah-olah pemimpin kita sebenarnya ‘bloody fool’. Seperti kata pepatah Inggeris “seorang pemimpin menggunakan kuasanya dianggap ‘powerful’ tetapi jika ia gagal menggunakan ‘power’nya, dia akan dianggap fool”.

Signal yang ditunjukkan oleh Majlis Raja-raja ini patut menjadi pengajaran bagi rakyat.

Kuasa yang sebenarnya dimiliki oleh rakyat telah gagal dimanfaatkan kerana sikap rakyat yang tidak prihatin terhadap penyelewengan. Rakyat hanya berdiam diri terhadap salah laku dan salah guna kuasa pemimpin.

Raja-raja terpaksa menggunakan kuasa mereka untuk mengimbangi kelemahan rakyat.

Rakyat mesti bangkit mempertahankan hak mereka dan menyahut seruan Raja Muda Perak untuk menghapus pemimpin rasuah habis-habisan. Kesempatan pilihan raya ke-12 ini adalah peluang terbaik untuk rakyat bertindak.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! – mr


0 Responses to “Powerful vs bloodyful – Pentadbiran Abdullah makin dangkal dan bebal”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: