26
Nov
07

Tiba masanya boikot media dilancarkan semula

Tidak ada sebab mengapa upaya menentang monopoli maklumat pihak BN kali ini tidak boleh lebih berhasil daripada inisiatif pada tahun 1999 itu – dan memang sepatutnya dilaksanakan dalam semangat meneruskan kejayaan perhimpunan rakyat 10 November tersebut.


Oleh Rustam A Sani
Mingguan Siasah 25 Nov 2007

Perhimpunan rakyat pada 10 November lalu telah dengan jayanya mencatatkan bantahan rakyat terhadap suatu kecacatan besar dalam sistem demokrasi negara ini: pilihanraya yang tidak telus lagi tidak adil.

Sewaktu membidas tindakan rakyat berdemonstrasi, baik Zainuddin Maidin, Khairy Jamaluddin maupun Nazri Aziz telah menyatakan bahawa cara itu bukanlah cara kita. Kita kononnya bukan Burma maupun Pakistan, kita masih punya pilihanraya, dan rakyat perlu menggunakan pilihanraya itu untuk mencatatkan bantahan mereka.

Namun itulah inti persoalannya. Wujudnya pilihanraya yang diadakan sekian tahun sekali sahaja tidaklah bermakna wujudnya demokrasi yang tulen. Pilihanraya itu sendiri perlulah dilaksanakan dengan telus lagi adil sebagai institusi untuk mencatatkan keputusan rakyat yang sebenarnya.

Pilihanraya yang dijalankan dengan cara memberikan kelebihan yang tidak adil terhadap pihak tertentu, selalunya pihak berkuasa yang dari segi teorinya hanya memainkan peranan “penjaga” sewaktu pilihanraya dijalankan, pastinya merupakan institusi demokrasi yang pincang.

Pilihanraya yang demikianlah yang menjadi sasaran bantahan rakyat yang diwakili oleh Bersih dalam perhimpunan pada 10 November itu. Hanya beberapa pemimpin Umno – seperti Zainuddin Maidin, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin – yang tidak mempunyai kejituan intelek bagi memahami intipati protes rakyat tersebut.

Pembetulan
Bersih sebenarnya telah mengemukakan secara khusus ciri-ciri pilihanraya negara ini yang dibantahnya beserta dengan langkah-langkah pembetulan yang dituntutnya – supaya institusi tersebut dijadikan lebih bersih, lebih telus dan lebih adil, demi mencapai sistem demokrasi yang tulen.

Salah satu prasyarat yang dituntut sebagai salah satu institusi terpenting ialah wujudnya media bebas – yakni media yang tidak diperalatkan dan didalangi pihak berkuasa, tetapi berperanan menyalurkan makluman yang benar, sebagai bantuan kepada rakyat dalam membuat pilihan dan mengambil keputusan yang bijak lagi tepat.

Sebagaimana yang kita ketahui, media yang bebas merupakan salah satu institusi yang terpenting dalam sebarang sistem demokrasi yang tulen lagi benar-benar berfungsi.

Sayangnya, dalam sistem pemerintahan negara ini institusi media bebas ini bukan sahaja semakin hari semakin terhakis kebebasan dan ketulenannya, malah semakin hari semakin dinodai dan ditransformasi untuk menjadi alat propaganda pihak pemerintah sahaja.

Malah, sejak akhir-akhir ini – sejak institusi ini dibayangi oleh sikap dan pandangan seorang Menteri Penerangan yang pernah menjadi wartawan (Zainuddin Maidin) tetapi samasekali tidak memahami, apa lagi menghargai, konsep kewartawanan bebas yang tulen – penodaan institusi tersebut semakin menjadi-jadi.

Oleh yang demikian, sebuah proses pilihanraya yang tulen, yang demokrastis lagi adil, sudah pasti tidak akan tercapai dalam sebuah sistem sosial dan politik yang hanya membenarkan wujudnya media yang dikuasai pihak yang memerintah dan dijadikan alat propaganda dan alat putarbelit maklumat yang kotor oleh pihak tersebut.

Di sebaliknya pula, kewujudan media yang mewakili pihak yang menentang pihak berkuasa itu terus menerus dihalang dan ditindas secara yang tidak adil dan tidak demokratis.

Jika dalam keadaan normal suasana media negara ini dapat dikatakan tidak adil, maka dalam suasana pilihanraya ketidakadilan itu bukan sahaja akan meningkat tetapi akan dilaksanakan dengan caranya yang tidak beretika dan tidak bermoral.

Dalam buku saya, Menjelang Reformasi (2004), saya pernah memerikan situasi penggunaan media secara tidak beretika pada waktu kempen pilihanraya itu sebagai suatu “kegilaan.” Dan kita dapat menjangkakan bahawa kegilaan ini akan berulang lagi sewaktu pilihanraya yang akan datang – semakin terdesak pihak kerajaan maka akan semakin tenatlah “kegilaan” tersebut.

Oleh kerana orang yang paling berpengalaman dalam melaksanakan kegilaan ini dalam kerangka sebuah syarikat akhbar, yakni Utusan, kini sudah menjadi Menteri Penerangan maka dapatlah dijangkakan bahawa liputan kegilaan itu akan menjadi lebih luas lagi – meliputi semua media cetak dan eletronik yang dikuasai pemerintah maupun parti-parti politik BN.
Kotor

Bayangan tentang kewartawanan kotor yang mampu dan sanggup dimainkan oleh Zainuddin Maidin ini, misalnya, sudah dapat kita lihat dalam tindak-tanduk pelbagai media tersebut sewaktu berlangsungnya beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini.

Di tangan ahli propaganda dan pakar misinformation seperti Menteri Penerangan itu, perkara remeh temeh seperti Anwar Ibrahim yang bergerak menurut rentak lagu Tamil misalnya boleh sahaja ‘dispin’ menjadi persoalan nasional yang besar!

Oleh kerana itu, bagi saya, semua pihak yang komited terhadap menegakkan institusi pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini perlulah bersiap sedia bagi menghadapi serangan dari jentera propaganda dan putar belit maklumat yang akan digerakkan pada waktu pilihanraya nanti.

Tujuan persediaan itu sebenarnya bukanlah sekadar untuk “melawan” jentera propaganda kerajaan itu secara partisan, tetapi juga sebagai suatu langkah untuk melaksanakan pendidikan politik dan etika demokrasi di kalangan rakyat dan para pengundi di negara ini.

Jika upaya dan usaha melakukan “spin” berita dan maklumat merupakan pendekatan utama jentera propaganda pemerintah, maka kita mestilah pula bersedia dengan teknik dan kebijaksanaan despin kita pula – untuk menelanjangi kepada rakyat apakah maksud dan niat jahat di sebalik spin mereka itu.

Dalam hubungan ini saya amat tertarik dengan suatu item berita yang disiarkan oleh portal berita KL.pos baru-baru ini. Menurut portal tersebut PAS dengan disokong oleh sebilangan NGO dan parti-parti pembangkang lain, akan melancarkan suatu kempen besar-besaran bagi memboikot media pro-BN – sebagai lanjutan dari kejayaan inisiatif gerakan gelombang kuning 10 November itu.

Kempen “boikot media” yang demikian itu sebenarnya sudah pernah dilakukan pada tahun 1999 dahulu dan hasilnya, menurut pertimbangan saya, cukup memberangsangkan. Sebagai hasil inisiatif tersebut, jumlah edaran akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times telah merudum.

Sebaliknya pula, akhbar-akhbar parti pembangkang dan beberapa penerbitan bebas lainnya, seperti Harakah, Detik dan sebagainya, telah mengalami peningkatan edaran yang belum pernah dialami sebelum ini – sehingga pihak kerajaan terpaksa bertindak mengurangkan kekerapan penerbitannya.

Boikot media
Kempen pada tahun 1999 itu telah dilaksanakan oleh Barisan Alternatif dengan mendapat sokongan daripada sejumlah NGO.

Atas pertimbangan dan kebijaksanaannya sendiri, DAP tidak menyokong secara rasmi kempen boikot media itu, tetapi beberapa tokoh pemimpinnya (seperti Ronnie Liu) senantiasa menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang melaksanakan kempen tersebut.

Selain itu, sewaktu pilihanraya tahun 1999 itu pihak BA juga turut mengadakan program-program tertentu bagi “membilas” tindak tanduk media BN. Misalnya, pihak BA menggerakkan sebuah pusat maklumat bersama yang bertindak menangani sebarang bentuk misinformation yang disebarkan pihak BN dan mengadakan sidang media setiap pagi untuk keperluan media tempatan maupun antarabangsa.

Pada hemat saya, dengan pengalaman penyelarasan yang telah diperolehi daripada upaya menganjurkan perhimpunan rakyat 10 November baru-baru ini oleh pihak parti-parti pembangkang dan Bersih, inisiatif tahun 1999 itu bukan sahaja dapat diulang malah dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi kali ini.

Selain itu perkembangan maklumat yang terdapat hari ini bukan sahaja akan membolehkan kempen memboikot media dilaksanakan tetapi juga usaha melawan dan menelanjangi sebarang bentuk misinformation yang akan cuba disebarkan melalui media terpasung yang dikuasai pihak pemerintah akan dapat dilakukan.

Gerun

Haruslah diingat bahawa kempen tahun 1999 itu telah dilaksanakan dengan agak berjaya juga pada ketika teknologi maklumat baru yang melibatkan laman web, laman blog, web tv dan sebagainya masih belum berkembang seperti sekarang.

Kini teknologi-teknologi tersebut bukan sahaja sudah berkembang dan meluas dipergunakan, malah ternyata amat digeruni oleh pihak BN yang amat bergantung terutamanya pada kemampuannya menyaring alat-alat dan teknologi penyebaran maklumat – yang sebenarnya tidak mampu disaringnya itu.

Tidak ada sebab mengapa upaya menentang monopoli maklumat pihak BN kali ini tidak boleh lebih berhasil daripada inisiatif pada tahun 1999 itu – dan memang sepatutnya dilaksanakan dalam semangat meneruskan kejayaan perhimpunan rakyat 10 November tersebut.


0 Responses to “Tiba masanya boikot media dilancarkan semula”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: