02
Dec
07

Umno pencetus demonstrasi, tapi kini jadikan negara umpama ‘jakun’ – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Hrkh) – Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata Umno adalah parti yang memulakan budaya demonstrasi sekitar tahun 1946 dan tahun-tahun berikutnya tetapi hari ini menafikan hak yang termaktub dalam amalan demokrasi itu.Sekitar tahun 1946, Umno cukup kerap mengadakan himpunan di jalan-jalan raya menentang gagasan Malayan Union, bagaimanapun hari ini menafikan budaya itu adalah budaya di negara ini, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Markas PAS Ampangan (sebelah Surau Hitam), Seremban pada 30 November lalu bersama Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Ustaz Dr Badrol Amin Bahron dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohammed Omar.

Meneruskan ceramah perdananya Mohamad Sabu berkata, ketika pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kerajaan perikatan ketika itu membenarkan rapat umum di setiap kali pilihan raya diadakan.

Setiap parti yang berdaftar boleh mengadakan rapat umum dan berceramah di mana-mana lokasi dengan pihak berkuasa polis menjaga keselamatan, katanya.

“Ketika itu Tunku membenarkan parti Umno, bulan bintang, parti rakyat semuanya berceramah dan mengadakan rapat umum tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Demokrasi ‘jakun’

Bagaimanapun Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghalang himpunan aman, dan mengugut untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada mana-mana pihak yang berhimpun, katanya.

Ini membuatkan demokrasi Malaysia semakin sempit dan tidak ubah seperti negara ‘jakun’ katanya sambil disambut dengan sorakan lebih 1000 peserta yang hadir.

Paling menyedihkan apabila Perdana Menteri mencabar rakyat Malaysia dengan laungan ‘saya pantang dicabar’ beberapa hari sebelum himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) diadakan, katanya.

Menantu, cucu ‘beruk’

Ia ditambah lagi dengan kenyataan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno yang secara biadap menyatakan ‘mereka yang berhimpun di jalan raya adalah beruk’, katanya.

“Ini satu kenyataan yang lahir dari seorang menantu kepada Perdana Menteri yang lupa tentang sejarah demonstrasi.Ketika negara di awal ambang kemerdekaan bapa kepada Perdana Menteri, Ahmad Badawi adalah antara mereka yang menggerakkan himpunan aman di jalan raya, jika Khairy menyatakan mereka yang berhimpun di jalan raya sebagai beruk, maknanya Khairy adalah cucu beruk,” dakwanya.

“Hei Khairy, ‘hang'(awak dalam dielek Kedah) berani kata macam tu sebab hang menantu kepada Perdana Menteri.Tapi kalau aku jumpa hang aku ‘luku’ kepada hang,” katanya.

Selain itu kata Mohamad Sabu, datuk kepada Ketua Pemuda Umno, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar adalah antara pemimpin yang mengepalai himpunan di jalan raya.

Justeru jika Khairy menyifatkan mereka yang turun berhimpun di jalan raya adalah ‘beruk’, maknanya Ketua Pemuda Umno, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien adalah ‘beruk’ juga, katanya sambil ketawa.

Akibat keceluparan dan sikap ‘bongkak’ Perdana Menteri dan menantunya itu, rakyat termasuk ahli Umno marah dengan tindakan itu dan mereka menyertai himpunan aman Bersih pada 10 November lalu.

Amarah rakyat

Natijahnya kata bekas ahli Parlimen Kuala Kedah itu, lebih 100,000 rakyat menujukkan protes besar-besaran dengan turun ke Kuala Lumpur pada 10 November lalu.

Himpunan yang diadakan Bersih adalah himpunan rakyat dalam menuntut satu pilihan raya yang adil dan bersih setelah melihat bahawa perjalanan pilihan raya sebelum ini dicemari dengan penyelewengan, katanya.

Justeru pada 10 November lalu, Bersih yang dianggotai lebih 60 NGO dan beberapa parti politik menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan pihak Istana Negara sebagai badan yang melantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menilai aduan rakyat, katanya.

Hal ini dilakukan kerana setelah beberapa kali Bersih dan beberapa parti politik lain seperti PAS, tidak mendapat respon dari SPR dalam pelbagai aduan mengenai penyelewengan pilihan raya kepada badan itu.

Akhirnya, kata sepakat dibuat untuk mengadakan satu memorandum kepada pihak Istana Negara bagi membuat aduan tanpa niat mempolitikkan badan itu, katanya.

Umno, kerajaan tertekan

Bagaimanapun selepas himpunan aman diadakan, kerajaan Abdullah Badawi menuduh Bersih mempolitikkan Istana Negara, katanya.

Tuduhan itu tidak berasas sama sekali memandangkan Yang di-Pertuan Agong adalah pihak yang berhak mengetahui soal perjalanan pilihan raya di negara ini memandangkan kuasanya melantik SPR, katanya.

Bagi Mohamad Sabu, kenyataan beberapa pemimpin Umno mengenai isu himpunan aman anjuran Bersih menunjukkan betapa Umno kini terdesak dan tertekan dengan gelombang kebangkitan rakyat, katanya.

Justeru katanya, momentum kebangkitan rakyat menuntut perubahan ini akan diteruskan lagi dengan cara aman tanpa sebarang unsur keganasan atau ‘militan’ supaya demokrasi dapat dipulihkan di negara ini. – mks.


0 Responses to “Umno pencetus demonstrasi, tapi kini jadikan negara umpama ‘jakun’ – Mohamad Sabu”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: