08
Dec
07

Dosa-dosa UMNO yang sentiasa diingati ahli PAS

Respon @ Ulasan Oleh Herman Shamsudeen

aMEMBACA minda Rustam A. Sani (foto) dalam tulisannya bertajuk “Suara Umat Melayu: Rundingan belakang tabir Pas-Umno? ” sangat mengujakan. Menarik untuk dibaca namun masih terlalu banyak yang tidak dikupas oleh beliau. Agak janggal rasanya kalau kita membiarkan tulisan itu hanyut tanpa hala tuju dan fakta yang benar-benar sahih.

Menghormati ’seniority’ beliau dalam dunia penulisan, saya beranggapan bahawa itu adalah suatu azam dan cita-cita beliau yang begitu murni sesuai dengan situasi massa yang menuntut gabungan 2 parti Melayu terbesar dapat duduk semeja bagi membicarakan masa depan bangsa ini.

Gerakan Hindraf menjadi modal polemik dan dilihat seolah-olah menggugat ketuanan Melayu. Mereka dilihat seperti cuba mencabar hak dan maruah bangsa ini. Namun ianya masih lagi menjadi polemik yang tiada penghujungnya. Teori “Rundingan belakang tabir Pas-Umno?” diperkenalkan dengan doa semoga ianya menjadi realiti.

Dalam penuh pengharapan, umat Melayu begitu menanti saat penyatuan bersejarah itu. Namun, ianya masih tak kunjung tiba kerana disitu masih ada lagi kekontangan harapan yang masih tidak terisi lantaran realiti keegoan dan juga sikap tamak yang masih menjauhkan PAS dari UMNO.

Umum menyedari kekuatan UMNO yang didasari dengan pemikiran Melayu ‘Glokal’ dan ‘Mengangkasa Bangsa’. Namun ia sebenarnya masih terlalu rapuh untuk diertikan dalam konteks matlamat dan kehendak semua pewaris bangsa Melayu.

Hadirnya PAS dalam mengisi vakum yang dibiarkan oleh UMNO telah mengembalikan dambaan harapan untuk melihat bangsa Melayu menjadi lebih gagah dengan potensi Iman dan Islam yang menjadi akal budaya dan cambahan fikiran ahli dan penyokongnya.

Perbezaan Ideologi begitu nyata

Ideologi Islam yang dibawa oleh PAS amat bertentangan dengan UMNO yang hanya Melayu pada baju Melayu dan songkoknya. Cara dan perjuangan UMNO masih tersasar jauh dari gemblengan keringat pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya telah mengadai nyawa bagi menghalau penjajah.

Tok Janggut, Hj. Abd Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Tok Gajah, dan ramai lagi pejuang Melayu, bangkit menentang penjajah bukan kerana bangsa semata. Tapi kerana ilmu dan iman didada. Mereka malu bertuankan British yang cuba ‘merompak’ maruah dan keimanan mereka, maka mereka bangkit walaupun terpaksa bermandi darah!.

PAS juga memperjuangkan bangsa Melayu, cuma gaya dan cara paparannya agak berbeza. PAS lebih suka memberikan dampak keimanan dan pendidikan akhlak dalam perjuangannya. Pendekatan yang lebih ruhaniah memberikan pilihan untuk ahlinya memahami cara hidup Islam yang sebenar dan juga erti tanggungjawab terhadap amanah yang diberi.

Barisan kepimpinan PAS juga diasuh untuk tidak bersikap terlalu taksub kepada soal bangsa, tetapi harus menyayangi dan menghormati bangsa sendiri disamping memberikan layanan yang adil kepada bukan Islam.

Konteks ideologi ini sedikit pun tidak mengenepikan semangat ‘Hak dan Keistimewaan’ Melayu yang wajar dijaga. Dalam erti kata yang lebih umum, PAS melindungi Umat Melayu bukan sekadar pada nama bangsa dan hak tetapi pada akidah dan akhlak mereka.

Dalam bab ini harus juga diingat bahawa PAS juga mengambil tanggungjawab dalam meneladani kaum bukan Melayu agar mereka berasa selamat dengan cara tadbir Islam yang lebih telus, konsisten dan mempunyai matlamat insaniah yang jauh terkehadapan.

Disaat UMNO baru bertatih soal modal Insan, PAS telah berada begitu jauh dalam soal ini. Kualiti kepimpinan yang berilmu dan multi-skill telah lama wujud dalam PAS.

Dosa-dosa UMNO yang sentiasa diingati ahli PAS

UMNO hanya mampu menjual nama bangsa Melayu bagi mendapatkan simpati rakyat. Hakikatnya, bukan sekadar ideologi sempit mereka sahaja yang menjauhkan PAS, tapi dasar UMNOPUTRA mereka juga amatlah mendukacitakan rakyat.

Segala projek-projek rasmi Kerajaan diberikan kepada kontraktor bumiputra yang secara realitinya mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO. Tanah-tanah Kerajaan pula diagih-agihkan dikalangan pemimpin mereka dari peringkat pusat hinggalah ke peringkat ketua-ketua cawangan.

Tidak cukup dengan itu, syarikat-syarikat kroni mereka yang bankrap telah dibeli atau diberikan nafas baru menggunakan wang negara melalui program ‘penggabungan kapital’ atau pun ‘bailout’.

Pimpinan-pimpinan UMNO sendiri mengakui bahawa mereka masih belum mampu melepaskan umat Melayu dari belenggu kemiskinan. Bangsa Melayu menduduki tangga teratas dalam senarai kemiskinan tegar negara.

Dan bagi menutup kelemahan itu, mereka menghantar seorang anak muda Melayu ke angkasa bagi mendapatkan pengiktirafan dunia bahawa mereka berjaya memecahkan tradisi dengan menghantar orang Melayu pertama ke angkasa walaupun hanya pergi ‘melancong’ disana.

Pakej ini juga dilihat sebagai pembaziran pimpinan UMNO yang tidak dapat memberikan manfaat kepada 8% umat Melayu yang hidup dalam kemiskinan.

Rasanya cukuplah dulu pendedahan tentang dosa-dosa kering UMNO ini. Ianya akan disambung dalam tulisan-tulisan saya yang lain.

Menjawab Teori Pak Rustam

Ruangan ini saya khususkan bagi menjawab teori ‘nakal’ Pak Rustam yang saya kira masih belum begitu tajam untuk menusuk pemikiran sebahagian besar pengikut UMNO mahu pun PAS. Pimpinan dan ahli parti KeAdilan mungkin sedikit gusar tentang kesetiaan PAS dalam Barisan Alternatif selepas membaca teori itu. MIC, MCA, Gerakan dan komponen perkauman BN lain pula mungkin lebih gelisah dengan berita ‘angin’ ini.

Justeru itu, saya bertanya dengan beberapa sahabat pimpinan lain. Abdullah karim, pimpinan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa tiada sebarang pertemuan rasmi dibuat oleh pimpinan atasan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pak Rustam.

Perhimpunan ‘kesepaduan Melayu’ yang mengangkat ‘isu palestine’ sebagai tema utama di zaman Dato Fadhil Noor dan Mahathir adalah suatu perhimpunan dan sesi cambah fikiran secara terbuka bagi menyatakan kebersamaan dalam isu Palestine.

Program itu tidak lebih dari penyatuan pendirian terhadap isu Palestine. Ianya tidaklah mewajarkan soal-soal hubungan ‘belakang tabir PAS dan UMNO’ yang merangkumi hal-ehwal politik Melayu dan survival kedua-dua parti.

Debat YB Salahuddin Ayub dan Dato Nazri Aziz selepas itu dalam isu Sekolah Agama Rakyat membuktikan bahawa PAS masih belum bisa duduk berkompromi dengan UMNO yang menjadi perosakkan kepada masa depan generasi muda yang dahagakan ilmu.

Dan selepas itu, tidak ada lagi sebarang dialog rasmi antara pimpinan PAS dan UMNO.  Dialog spontan dilobi parlimen atau ketika rakaman debat dikaca TV sahaja yang kedengaran. Soal ‘perundingan belakang tabir’ masih belum didengari.

Isu Hindraf ini pun masih tidak mampu merapatkan PAS kepada UMNO kerana keceluparan Pemimpin UMNO sendiri dalam soal-soal hukum dan pembelaan hak asasi.

Jadi, adalah mustahil pada waktu ini, PAS ingin berkompromi dengan UMNO. Tuan Guru Nik Abd Aziz pernah menyatakan bahawa PAS akan terbubar dengan sendirinya bila mana UMNO menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai nadi perjuangan mereka. Maka pada waktu ini, harapan itu masih kelam lagi jauh.

Maka tidaklah selayaknya Pak Rustam terus menerus mengasak provokasi yang tidak benar kepada khalayak rakyat. Wajar kiranya Pak Rustam membahaskan soal kepentingan Umat Melayu itu bersatu melalui akidah dan bukannya bangsa kerana Islam itu agama penyelesaian bukannya agama yang hanya diberikan nama tanpa adanya adab dan akhlak untuk diajari.

Usahlah dirisaukan lagi tentang nasib dan masa depan Melayu dinegara ini. Yang penting adalah kewajaran UMNO untuk terus memimpin Umat Melayu dan negara ini. Ianya perlu dinilai sekali lagi agar kita dapat memahami sejauh mana keikhlasan UMNO terhadap umat Melayu.

Diharapkan jawapan ini dapat memberikan suatu ketetapan bahawa kita masih lagi terikat dalam aspek hormat-menghormati dan sentiasa berusaha membekalkan fakta dan bukannya gosip liar semata.

Pada waktu dan ketika ini, PAS masih selesa berlayar dengan bahtera Barisan Alternatif yang dikongsi dengan Parti Keadilan Rakyat. Dan biarlah UMNO dengan juak-juak mereka disana, terpulanglah pada mereka untuk mengemudi hala tuju mereka.


0 Responses to “Dosa-dosa UMNO yang sentiasa diingati ahli PAS”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: