16
Dec
07

Tiga askar maut, pokok balak hempap kem

15-12-2007 09:54:20 PMGERIK:  Tiga anggota tentera maut manakala empat yang lain cedera apabila pangkalan sementara mereka di Sungai Ketar, Taman Negeri Royal Belum dekat sini dihempap sebatang pokok balak yang tumbang selepas hujan lebat awal pagi ini.

Panglima II Briged Brig Jen Datuk Fazlurrahman Mohamad Irfan berkata kesemua mangsa merupakan anggota 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan yang sedang menjalankan operasi rondaan di kawasan berkenaan.

“Kejadian berlaku pada kira-kira 4.50 pagi tadi. Tiga mangsa yang terbunuh dihempap batang pokok lebarnya kira-kira enam kaki (dua meter)… pokok besar yang tumbang itu berada di luar kem,” katanya kepada pemberita di Hospital Gerik di sini hari ini.

Anggota yang terkorban ialah Kpl Fauzi Yamat, 35, berasal dari Kelantan; Prebet Mohd Yazman Yaakub, 35, dari Pasir Putih, Kelantan dan Prebet Roslin Hassan, 22, dari Setiu, Terengganu.

Mereka yang cedera pula ialah Lt Shah Amirul Izham Shamsul Kamar; Lans Kpl Mohd Yusri Yusuf, Prebet Mohd Izham Ishak dan Prebet Amar Mohamad Nordin.

Katanya Shah Amirul Idzham hanya cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital Gerik manakala Mohd Yusri dan Mohd Izham dirawat di hospital yang sama dan Amar pula dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Keadaan mereka dilaporkan tidak serius.

Fazlurrahman berkata operasi menyelamat dijalankan sebaik selepas kejadian dan empat anggota yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bot pada kira-kira 10 pagi tadi.

Selain menggunakan pesawat, laluan masuk ke Taman Negeri Royal Belum yang terletak di utara Tasik Temenggor adalah dengan menaiki bot dari Pulau Banding, kira-kira 50km dari sini dan memerlukan kira-kira dua jam perjalanan, katanya.

Beliau berkata tiga anggota yang terkorban tersepit di bawah batang balak berkenaan dan usaha mengeluarkan mereka dilakukan dengan kerjasama pasukan bomba dan pekerja balak yang membantu memotong pokok berkenaan.

Katanya, jenazah Roslin terbenam di bawah batang pokok berkenaan dan pasukan bantuan terpaksa memotong pokok serta mengorek tanah untuk mengeluarkannya.

Dua mangsa dibawa keluar tengah hari tadi manakala mangsa terakhir hanya dapat dikeluarkan dengan bantuan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira 2.30 petang tadi, katanya.

Beliau berkata kem berkenaan menempatkan sebuah platun yang terdiri daripada 24 anggota dan sebahagian daripada mereka sedang tidur dan sebahagian lagi berkawal semasa kejadian itu berlaku.

Katanya, platun berkenaan telah berada di kawasan berkenaan lebih sebulan lepas dan dijangka menamatkan operasi rondaan sempadan yang dijalankan itu pada bulan depan.

“Platun berada di kem sementara itu sejak dua hari lepas dan dijadual meneruskan rondaan hari ini selepas hujan lebat selama 48 jam. Hujan baru berhenti pada kira-kira 2 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata dua mangsa yang terkorban sedang bertugas melakukan kawalan dan masih memakai baju hujan semasa nahas itu berlaku.

“Pokok berkenaan tumbang dengan akarnya sekali tercabut… pokok itu terletak di kawasan tebing bukit dan hujan lebat dipercayai menyebabkan tanah menjadi lembut,” katanya.

Fazlurrahman berkata pokok di hutan berkenaan sememangnya besar-besar dan tinggi kerana kawasan berkenaan merupakan hutan dara.

“Pokok tumbang kejadian biasa di dalam hutan… kebetulan jatuh menimpa pangkalan. Ini kemalangan biasa, operasi rondaan akan diteruskan seperti biasa, tidak lentur semangat,” katanya.

Sementara itu, jenazah kesemua mangsa telah dihantar ke kampung masing-masing petang ini selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Gerik. BERNAMA


1 Response to “Tiga askar maut, pokok balak hempap kem”


  1. 1 SHAHRUL
    July 30, 2008 at 12:39 am

    SALAM TAKZIAH KEPADA KETIGA-TIGA MANGSA.YANG HIDUP PERJUANGAN PERLU DITERUSKAN.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: